Gaya Hidup

12 Kerabat Diraja Malaysia, Ikhlas Menghulur Bakti Buat Ringankan Beban Rakyat Jelata

Impian untuk memiliki kehidupan yang sempurna pastinya diidam-idamkan oleh setiap orang. Namun sesungguhnya dalam realiti kehidupan tidak semua daripada kita bernasib baik.

Pun begitu, harapan dan perhatian daripada insan-insan yang prihatin tentu mampu meleraikan kesukaran hidup. Pastilah lebih bertuah apabila budi yang ditabur datangnya daripada kerabat Diraja prihatin. Segala kepayahan berlalu pergi dan hubungan antara kerabat istana dan rakyat jelata terus tersimpul kukuh.

Siapakah individu-individu berhati emas ini?

(1) DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid

Baginda aktif dalam beberapa pertubuhan sukarelawan di Perlis. Antaranya Yayasan Tuanku Fauziah iaitu yayasan untuk mencari, mengenal pasti dan menganugerahkan wanita yang berjaya dalam akademik, kerja kemasyarakatan serta aktiviti yang melibatkan kemanusiaan. Selain itu, beliau juga aktif dalam memimpin beberapa organisasi bukan kerajaan antaranya Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Perlis, Yang di Pertuan Persatuan Pandu Puteri Negeri Perlis dan juga Naib Yang Dipertua Taman Asuhan Darul Farah Tengku Hajah Budriah Perlis.

(2) YTM Tunku Temenggong Kedah, Brigadier Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Diraja Tunku Puteri Intan Shafinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim

YTM Tunku Puteri merupakan salah seorang pencetus penubuhan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan dilantik sebagai salah seorang pemegang amanah seumur hidup selain memegang jawatan Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah. Yayasan Sultanah Bahiyah diwujudkan dengan rasminya pada 24 Ogos 1997 bertujuan membuat amal kebajikan kepada masyarakat khususnya rakyat Kedah Darul Aman. Antara komitmen YSB adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi keluarga disamping membantu mereka yang memerlukan bantuan kesihatan atau kecemasan.

(3) YMM Raja Permaisuri Tuanku Siti Bainun binti Mohd Ali

Baginda aktif dalam aktiviti kebajikan dengan menjadi penaung kepada beberapa organisasi dan persatuan amal di Perak iaitu Persatuan Bola Keranjang Wanita Perak, Persatuan Badminton Wanita Perak, Pergerakan Pandu Puteri, Persatuan Hoki Wanita Perak dan PERKIM.

(4) YAM Raja Dato’ Seri Azureen Binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Baginda banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menjadi Presiden Masterskill College of Nursing and Health di Perak dan juga Presiden Malaysian National Society for the Deaf. Juga merupakan penaung kepada Persatuan Wanita Perak yang banyak mengendalikan kerja-kerja amal khususnya untuk rakyat negeri Perak.

(5) YAM Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Merupakan penaung Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS). Penubuhan PTNS adalah untuk menyediakan tempat yang selesa kepada anak-anak supaya ibubapa dapat menjalankan tugas dengan lebih tenang serta menyediakan aktiviti-aktiviti yang sesuai mengikut kumpulan umur kanak-kanak.

(6) YAM Tengku Puan Panglima Perlis Tengku Puteri Puan Sri Datin Paduka Setia Dato’ Paduka Datin Seri Diraja Nur Zehan Binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Beliau sejak kecil dididik untuk mengenal erti penderitaan dan kepayahan masyarakat yang memerlukan pertolongan. Beliau adalah Yang Dipertua Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah atau RACTAR yang telah ditubuhkan pada 19 Jun 1990. Yayasan ini dikhaskan untuk anak-anak yatim dan kanak-kanak miskin di seluruh Malaysia.

(7) YMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin

Dengan sikap keprihatinan baginda terhadap mereka yang kurang bernasib baik, kurang upaya dan turut menjaga kebajikan orang miskin sudah terbukti kerana baginda merupakan Penaung Rumah Kanak-Kanak Tunku Ampuan Najihah di Temiang.

(8) YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Hajah Meriam binti Sultan Haji Ahmad Shah

YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang Tengku Tan Sri Hajah Meriam Sultan Ahmad Shah adalah Pengerusi INTAZ, sebuah badan amal yang ditubuhkan sempena mengingati Almarhumah Tengku Ampuan Afzan. Yayasan ini memberikan perkhidmatan kepada kanak-kanak istimewa yang kurang upaya, down syndrome dan untuk yang kanak-kanak yang kurang berkemampuan di bawah umur tujuh tahun di negeri Pahang.

Terdapat empat buah pusat yang terdapat di Peramu Pekan, di Kampung Padang Buluh Pekan, Taman Telok Cempedak Kuantan dan Taman Medan Tok Sira Kuantan. INTAZ ditubuhkan pada Oktober 1995 dan penaungnya ialah KDYMM Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah. INTAZ mendapatkan dana daripada majlis jualan amal ataupun kutipan amal seperti jualan bazar ataupun majlis makan malam.

(9) YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Hajjah Tengku Dato’ Muhaini binti Sultan Haji Ahmad Shah

YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini merupakan Yang Di Pertua BAKASA. Penaungnya ialah KDYMM Sultan Pahang. BAKASA atau Badan Amal Kasih Sayang merupakan sebuah badan amal di bawah badan bukan kerajaan (NGO). Rumah Kasih Tengku Ampuan Afzan (BAKASA) dibina untuk anak-anak yatim dan anak-anak yang kurang berkemampuan di daerah Raub, Pahang.

(10) KDYTM Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj

Baginda begitu aktif dalam kebajikan dan kemasyarakatan dengan menjadi Presiden Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) iaitu memberi sumbangan dari segi kewangan untuk pasangan suami isteri di Malaysia yang memerlukan pertolongan dalam perubatan. Tengku Puan Pahang juga merupakan Presiden Pahang Women’s Institute (WI).

(11) DYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah binti Adil Bakeri

Baginda merupakan penaung bagi Yayasan Tuanku Nur Zahirah iaitu sebuah yayasan berasaskan kebajikan yang ditubuhkan pada 19 Jun 2007 untuk menolong masyarakat yang berpendapatan rendah, terutamanya kaum wanita. Baginda juga banyak terlibat dengan aktiviti kemanusiaan iaitu sebagai penaung dalam organisasi, persatuan dan institusi pengajian di Terengganu. Antaranya ialah Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA), Persatuan Hospis Terengganu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Pusat Bukit Besar Terengganu(PIBG) dan Penaung Tadika An Nur.

(12) YMM Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid

Baginda aktif menyumbang idea dan khidmat kepada rakyat melalui penglibatan baginda sebagai penaung persatuan dan pertubuhan kebajikan. Antaranya Penaung Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan, Yayasan Kraftangan Kelantan, Yayasan Pesakit Jantung Kelantan, Program Latihan Vokasional, Tadika Tengku Anis, Rumah Asuhan Kanak-Kanak, Projek Tuisyen untuk anak-anak miskin dan Program Khas Motivasi DiRaja. KR

Foto: Sumber Google

IKLAN
Share