
Biasanya hidangan kuih-muih untuk dinikmati. Tapi kali ini, tiga jenis kuih-muih tradisi yang digemari ramai seperti Seri Muka, Kuih Lapis dan Kuih Koci dihasilkan khas buat santapan fesyen para hijabi. Wah, unik & ‘menyelerakan’!
Terkenal sebagai jenama hijab premium yang mampu membuatkan peminatnya sanggup beratur panjang dan terjual dalam masa singkat, dUCkscarves sekali lagi mencetuskan fenomena baru apabila melancarkan koleksi terkini Edisi Terhad, The Yummy dUCk. Diinspirasikan daripada ketiga-tiga jenis kuih tradisi tersebut, pelancaran edisi terhad kali ini juga sebagai penghargaan kepada individu terlibat yang berusaha menyambung tradisi budaya dan warisan Malaysia sepanjang tahun.

Menurut Pengasas The dUCk Group, Vivy Yusof yang mengakui tidak mampu menolak keenakan kuih tradisi dan sering membelinya di gerai pembuat kuih, kempen kali ini membawa makna yang besar dan cukup dekat di hatinya.

“Pembuat kuih-muih tradisi ini adalah contoh rakyat Malaysia yang bekerja keras dan kepakaran mereka menghasilkan kuih-muih akan hilang begitu saja kalau kita tak menyokong bisnes mereka. Sempena Hari Malaysia, kami mahu meningkatkan kesedaran tentang pekerja mahir ini yang menghasilkan juadah unik dan mengagumkan.”
The Yummy dUCk mengetengahkan rekaan geometri yang setiap satunya diinspirasikan daripada elemen Kuih Seri Muka, Kuih Lapis dan Kuih Koci. Rekaan skarf Seri Muka misalnya menerapkan rona hijau lembut. Sementara kombinasi warna pastel merah jambu pula sebagai identiti kepada Kuih Lapis dan garapan rona ungu untuk koleksi skarf Kuih Koci.

Di sebalik penghasilan The Yummy dUCK, turut tersirat kisah suka dan duka pembuat kuih tradisi iaitu Makcik Rahmah, Uncle Lee dan Uncle Peter yang menghadapi pelbagai cabaran sepanjang mengekalkan sajian tradisi Malaysia. Lebih indah, kisah mereka turut dikongsi dalam Instagram @theduckgroup.
Berita baik buat peminat setia dUCKscarves, Edisi Terhad The Yummy dUCK telah dilancarkan hari ini dengan harga jualan RM300 sehelai. Anda boleh membeli koleksi ini di dUCK Store, Pavilion Kuala Lumpur atau pembelian secara dalam talian di www.fashionvalet.com.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keluhan Wanita Dilabel ‘Kilang Anak’ Kerana Kerap Hamil. Ini Mungkin Berguna Buat Anda

Sekurang-kurangnya 200 wanita di seluruh dunia ingin menggunakan kaedah perancangan keluarga yang selamat dan berkesan tetapi tidak berbuat demikian berikutan kekurangan maklumat mengenainya. Pada masa yang sama, setiap tahun 190 juta wanita di seluruh dunia hamil dan hampir 50 juta daripada mereka telah melakukan pengguguran.
Merancang keluarga bermaksud menentukan masa yang paling sesuai untuk mempunyai anak, jarak kehamilan dan berapakah bilangan anak yang diinginkan oleh pasangan suami isteri. Selain bertujuan memastikan kehidupan keluarga terjamin dan mempunyai ekonomi yang kukuh, pelan perancangan keluarga ini juga penting bagi mengurangkan risiko yang boleh memudaratkan kesihatan bayi dan ibu.
Usia yang semakin meningkat, memiliki anak yang ramai dan masalah kesihatan ibu yang tidak terkawal merupakan antara faktor utama mengapa anda perlu merancang keluarga.
Tidak bermakna mahu menolak rezeki, kaedah merancang keluarga boleh dilakukan dengan mudah, selamat dan berkesan oleh setiap pasangan. Terpulang kepada pasangan masing-masing sama ada mahu melakukan kaedah merancang keluarga yang bersifat kekal atau sebaliknya.

KAEDAH MERANCANG KELUARGA
INTRAUTERINE CONTRACEPTIVE DEVICE (IUCD)
Bahan utama IUCD diperbuat daripada kuprum atau tembaga. Kaedah ini dapat menghalang berlaku percantuman selepas persenyawaan berlaku di samping memekatkan lendiran faraj supaya ia kurang mesra untuk sperma. Tempoh pemakaian IUCD di antara 3 hingga 5 tahun. Wanita yang memakai IUCD memiliki kebarangkalian 96 hingga 97 peratus untuk tidak mengandung.
KONDOM DAN DIAFRAGMA
Pilihan utama, murah dan senang bagi mengelak kehamilan. Pun begitu, peratus untuk hamil juga agak tinggi. Kondom adalah alat perancang keluarga yang digunakan oleh lelaki sementara diafragma pula dianggap seperti kondom untuk golongan wanita. Sangat jarang digunakan oleh wanita pada masa kini.
IMPLAN
Rod atau batang sepanjang 4 sentimeter dan selebar 4 milimeter disusuk di bawah lapisan kulit. Kesannya, kitaran haid menjadi kurang teratur, sedikit atau tiada haid langsung.
SUNTIKAN HORMON
Ini juga antara kaedah pilihan pasangan suami isteri untuk merancang keluarga. Ia bertindak untuk menghalang pengeluaran hormon seterusnya merencatkan risiko kehamilan. Bagi wanita yang mengambil suntikan hormon, mereka juga terdedah dengan kitaran haid yang tidak menentu.
PIL
Pengambilan pil perancang lebih sesuai untuk yang tidak menyusu badan. Pil perancang kehamilan ini membantu menghalang pengeluaran telur dan memberi kesan haid yang sangat teratur dan singkat.
KAEDAH KEKAL
Mengikat kedua-dua tiub peranakan untuk wanita dan tiub vas untuk lelaki. Walaupun kekal, risiko untuk hamil juga adalah tidak mustahil.
Bilakah kaedah perancang keluarga perlu dimulakan?
- PIL
Bagi wanita yang tidak hamil, anda boleh mengambil pil perancang pada bila-bila masa terutama dalam masa 7 hari. Manakala bagi yang baru melahirkan dan tidak lagi menyusukan bayi, anda disaran mengambil pil ini pada 3 minggu selepas melahirkan anak sementara yang masih menyusukan bayi perlu mengambil pil perancang 6 minggu selepas melahirkan anak.
- SUNTIKAN HORMON
Mulakan dalam masa 7 hari haid atau serta-merta selepas keguguran. Jika baru melahirkan dan tidak menyusukan bayi, boleh mengambil suntikan hormon dengan serta-merta.
- IUCD
Menggunakan IUCD serta-merta selepas keguguran atau 6 hingga 8 minggu selepas kelahiran atau sebelum memulakan hubungan seks.
- KAEDAH KEKAL
Ikatan tiub fallopio boleh dilakukan serta-merta selepas melahirkan atau 6 minggu selepas melahirkan atau semasa pembedahan caesarean. Ia juga boleh dibuat pada bila-bila masa termasuk mengikat tiub vas bagi lelaki.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dugaan Anak Cerebral Palsy, Ibu Adam Ini Belajar Banyak KAWAL EMOSI! Kalau Tak Anaknya Sawan Tau

Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.

Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.

RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.

JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.

Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.

Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
- Bank: Bank Simpanan Nasional
- No. Akaun: 1010841000064253
- Nama: Bibi Nurul Asyikin Binti Adnan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Makcik Kiah Goreng Pisang Viral Tersenyum! Puan Kiah Usahawan Mikro Juga Tidak Diketepikan

Alhamdulillah, Makcik Kiah mampu tersenyum bila Perdana Menteri bagi contoh mudah agar seluruh rakyat Malaysia faham dan senang kira. “Makcik Kiah penjual gorang pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.
Anak-anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat,
Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.
Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120.
Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200. Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.
Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, petang semalam.
Kebaikan Rakyat
Rasanya lebih daripada faham dengan penjelasan daripada Perdana Menteri tersebut. Rata-rata rakyat Malaysia telah menyambut baik Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut. Tahniah dan ucapan terima kasih rakyat buat kerajaan dan barisan pemimpin.
Terbaik Perdana Menteri kita dalam wajah tenangnya memberi ucapan yang penting dan serius tetapi disampaikan dengan cara yang begitu menarik untuk rakyat.
Sempat pula ada yang mencipta makna di sebalik nama Makcik Kiah, tersenyum sendiri membaca perkongsian ini:
M = Manfaatkan bersama keluarga
A = Ambil dan guna mengikut keperluan
K = Kawal perbelanjaan
C = Covid-19, perangi sehingga tamat
I = Ikut arahan PKP yang ditetapkan
K = Ketua keluarga sahaja yang keluar, bila perlu
K = Kendalikan kewangan dengan cermat
I = Ingat Allah
A = Awas, jangan boros
H = Home first, kekal dalam rumah
Selesai perkara berkenaan Makcik Kiah gorang pisang, kerajaan turut membantu masalah yang mungkin dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana termasuk usahawan mikro. Puan Zakiah usahawan muda juga bisa tersenyum apabila kerajaan dan Bank Negara akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 billion yang merangkumi lima inisiatif utama iaitu:
Pertama: Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.
Kedua: Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.
Ketiga: Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran.
Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan. Inisiatif ini adalah terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.
Keempat: PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.
Kelima: Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.
Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, kerajaan percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini.
Semoga semua bantuan ini dapat membantu semua pihak di setiap peringkat dan lapisan masyarakat, Pada masa yang sama, marilah kita terus memberi sokongan #dudukrumah #stayathome agar rantaian kuman virus COVID-19 dapat dihapuskan. Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


