
Shakira Tampil Buat Persembahan Kali Keempat Piala Dunia!
Wah, usia mencecah 49 tahun pun masih ‘laku’ dan tetap jadi pilihan untuk lagu kempen bola sepak Piala Dunia! Itulah aura yang dimiliki Shakira sehingga mencipta sejarah sebagai artis pertama membuat persembahan di kejohanan dunia berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada 2006, 2010, 2014 dan terbaharu, 2026.
Mengimbas kembali kemunculan penyanyi kelahiran Colombia itu, Shakira buat pertama kali membuat persembahan Piala Dunia menerusi lagu ‘Hips Don’t Lie’ pada 2006 di Jerman.
Diikuti nyanyian ikoniknya yang masih segar di ingatan pendengar iaitu ‘Waka Waka (This Time for Africa)’ ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Dek kerana populariti luar biasa yang diraih, Ratu Pop Latin ini sekali lagi dipilih menggalas lagu ‘La La La’ di Piala Dunia 2014, Brazil.
Tahun 2026 menyaksikan kemunculan semula penyanyi ini di pentas Piala Dunia. Aksi lincah dan energi yang ditonjolkan Shakira sewaktu upacara pembukaan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun lalu menjadi bualan ramai. Dia tampil dengan lagu ‘Dai Dai’ yang digandingkan bersama Burna Boy.
Pemilik nama Shakira Isabel Mebarak Ripoll ini memulakan karier nyanyian sejak remaja bersama Sony Music Colombia seawal usia 13 tahun. Album pertamanya berjudul Magia (1991) namun album yang benar-benar berjaya melonjakkan namanya adalah Pies Descalzos (1995).
Jelitawan berbakat ini mula menembusi pasaran lagu-lagu Inggeris pada tahun 2001 melalui albumnya, Laundry Service. Siapa sangka, sejak itu suara gemersiknya mula mendunia dan terjual lebih 3 juta salinan di seluruh dunia.
Wanita kelahiran Barranquilla, Colombia dan mempunyai keturunan Lubnan ini turut menerima pelbagai anugerah penghargaan menerusi Grammy dan Billboard.
Meskipun terkenal, kaya dan glamor namun wanita ini tidak alpa terhadap tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata.
Sebagai ibu tunggal, kehidupannya sering berkisar mengenai permata hati kesayangan iaitu Sasha dan Milan yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan pemain bola sepak, Gerard Pique.
Pasangan tersebut dikatakan berpisah selepas Pique menjalin hubungan sulit dengan wanita lain. Walau bagaimanapun, kini figura popular tersebut terus cekal menjalani kehidupan bersama anak-anak.
Selain bergelar penyanyi, dia juga merupakan Goodwill Ambassador UNICEF pada tahun 2003 yang membantu meningkatkan kesedaran dunia terhadap kanak-kanak rentan.
Pada tahun 2017, Shakira mendapat penghargaan kehormat dari World Economic Forum, atau Crystal Award atas kerja-kerja kemanusiaannya.
This website uses cookies.