
Bagaikan sekejap masa berlalu. Seperti baru semalam mendengar perkhabaran pengasas Dnars, Faziani Rohban kembali ke pangkuan ilahi. Tahun ini genap enam tahun pemergian usahawan kosmetik yang berjiwa pemurah tersebut. Kini legasi tinggalan Allahyarham, disambung anak perempuan kesayangan iaitu Irdina Hakim Jasman.
Bukan mudah bagi Irdina untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. Apatah lagi, jenama Dnars ketika itu merupakan antara label kosmetik ternama hingga menembusi pasaran ke negara jiran.
Pun begitu, ia sedikit pun tidak melunturkan semangat Irdina yang menginjak usia 22 tahun.
Dia kini matang dan cekal mempromosikan jenama Dnars lebih-lebih lagi nama perusahaan tersebut dipilih Allahyarham Faziani Rohban bersempena nama anak perempuannya itu.
Berkongsi suka duka menguruskan perniagaan arwah ibu, Irdina yang dikatakan mempunyai iras wajah Allahyarham Faziani menerusi media sosial meluahkan rasa syukur kerana diberi ‘kekuatan’ luar biasa untuk menjadi ahli perniagaan pada usia muda.
“Since day 1 aku take over business Dnars Skincare aku hanya seorang budak yang berusia 16 tahun waktu tu. Aku masuk tanpa tujuan tanpa perancangan tapi aku ada satu ‘semangat membara’ yang tak tahu dari mana meronta di jiwa.
Dan hari ini aku teruskan perjuangan ini dengan ‘semangat’ itu. Walaupun aku masih dalam proses berjuang aku percaya aku akan terbang lebih tinggi di waktu yang tepat.
Tiada proses yang mudah untuk tujuan yang indah tapi takdir milik Allah. Doa dan usaha milik kita.”
Tidak dinafikan, untuk sampai ke tahap sekarang Irdina berdepan masalah kesihatan mental yang serius seperti anxiety, depresi dan stres.
Allahyarham ibu tersayang, Faziani yang juga pengasas produk Dnars meninggal dunia pada 18 Mei 2019 selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.
24 April lalu menjadi detik indah buat Irdina apabila dia sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan yang dikenalinya sejak sekian lama yang hanya dikenali sebagai Farez Zuhaily.
Moga Irdina diberi kekuatan dan kecekalan untuk lalui suka duka kehidupan di samping suami tercinta.
Miliki set penjagaan wajah Dnars di sini.
This website uses cookies.