Anak Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Dira Abu Zahar Ikut Jejak Arwah Bapa Berbakti Untuk Masyarakat!

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Darah dan jiwa pemimpin yang mengalir dalam diri Datuk Dira Abu Zahar membuatkan figura ini nekad mengikut jejak langkah Allahyarham bapa tersayang menceburi bidang politik. Jika sebelum ini nama Khaidirah Datuk Seri Abu Zahar dikenali sebagai pelakon dan penerbit, kini namanya cukup sinonim dalam kalangan masyarakat di Melaka.

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Rim, jadual harian Datuk Dira padat dengan pelbagai lawatan turun padang bertemu masyarakat setempat dan menghadiri mesyuarat di peringkat negeri.

Meskipun tidak lagi mewarnai dunia seni, penampilan Datuk Dira Abu Zahar sentiasa menjadi perhatian khalayak. Dia juga makin rancak merencana usaha membangunkan kawasan Rim terutamanya melibatkan pembangunan industri TVET.

Datuk Dira Abu Zahar Kenang Pemergian Arwah Bapa

Meniti usia 41 tahun, Datuk Dira yang juga Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Melaka mengenang pemergian Allahyarham bapa tersayang iaitu Datuk Seri Abu Zahar Haji Ithnin pada 12 Julai 2013.

Tahun ini genap 12 tahun figura bapa kesayangan Datuk Dira berkenaan pergi menghadap ilahi.

Titipnya, “Semoga ayah tenang di sana. Rindu ayah tiada terhingga. Setiap kata jadi ingatan. Buat Ira jadikan panduan. Di dalam hati sebagai pedoman.

Semua usaha yang ayah ikhtiarkan. Untuk anak bangsa dan negara. Selepas 20 tahun masih dirasakan. Demi Melaka negeri tercinta.

Ayah pesan buat apa pun, jangan harap pada balasan. Tidak perlu menagih untuk dikenangkan. Biar Allah SWT hitungkan. Biar masa yang menentukan. Asal ikhlas, jujur, dan pegang pada amanah yang diberikan.”

Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Kelapan dari tahun 1997 hingga 1999.

Keluarga Datuk Dira Abu Zahar

Pernah menjadi penghias cover digital Nona 2022, Datuk Dira dikurniakan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam pada tahun 2020.

Datuk Dira mendirikan rumah tangga dengan Syfik Idzywan Sidek pada 21 Jun 2020. Dia kini bahagia menggalas tugas sebagai ibu kepada lima cahaya mata iaitu Tengku Anggun Deandra, Waris Iskandar, dan tiga orang anak suaminya hasil perkahwinan terdahulu.

Artikel https://www.nona.my/cantik-asli-usia-47-tahun-permaisuri-suthida-bekas-pengawal-peribadi-diraja-pikat-hati-raja-thailand/

 

Share
Published by
Suzi