Gaya Hidup

Anak Kaki Buli? Para Ibu, Tangani Segera Sebelum Terlewat

Sering kali kita dengar anak-anak menjadi mangsa buli rakan sebaya. Tetapi bagaimana pula jika anak sendiri yang menjadi kaki buli? Banyak punca berlakunya perkara ini seperti pergaulan rakan sebaya dan didikan. Hakikatnya perbuatan buli bukan saja tidak bagus untuk dirinya bahkan orang yang dibuli.

Setiap anak memiliki karakter yang berbeza. Namun paling dibimbangi jika ada salah seorangnya gemar membuli adik-beradik sehingga terbawa-bawa ke sekolah. Bukan hanya berkelakuan kasar bahkan perkataan mahupun sikapnya penuh dengan kebencian sekaligus mengundang tindakan buli terhadap orang lain.

Sebagai ibu bapa apa tindakan kita? Cara berikut mungkin dapat membantu jika anda menyedari si anak memiliki sikap pembuli.

  • BINA HUBUNGAN POSITIF DENGAN ANAK

Hubungan ibu bapa dan anak adalah faktor utama yang menentukan perilaku anak-anak dalam pergaulannya. Bagaimana teladan yang diberikan dan komunikasi bersama anak-anak amat penting agar dapat menerima didikan yang baik dalam perilakunya.

  • AJAK KEPRIHATINAN DAN EMPATI

Beri pengetahuan kepada anak tentang kelebihan dan kekurangan yang dimiliki oleh diri sendiri dan orang lain. Dengan adanya pemahaman tentang hal tersebut diharapkan anak memahami tentang rasa peduli dan bagaimana berempati terhadap orang lain.

  • ARAHKAN EMOSI ANAK

Marah atau menangis merupakan salah satu bentuk dari emosi yang masih belum dapat ditangani dengan baik oleh anak. Didik anak bagaimana untuk mengendalikan emosi secara sihat tanpa perlu melarangnya untuk marah atau menangis tetapi bukan dengan cara menyakiti diri sendiri atau orang lain.

  • TAPIS TONTONAN ANAK

Sebahagian besar perilaku seorang anak juga dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya di televisyen mahupun medium lain. Pantau atau tapis apa yang menjadi tontonan atau informasi yang belum dapat diterima dengan baik oleh anak. Tayangan mahupun video kekerasan dan perkataan negatif amat berbahaya jika diterima oleh seorang anak yang masih belum dapat memahami kesannya.AMY MOHD

 

IKLAN
Share