
Anuar Zain
Anuar Zain mencuri perhatian apabila tampil sporting meraikan wedding Syafiq dan Kayda, namun gelagat dua ibu pengantin, Datuk Seri Sheila Majid dan Tengku Norziehan Tengku Muda, yang paling sibuk menguruskan kelancaran majlis turut mencuit hati.
Berlangsung dalam suasana penuh adat dan kekeluargaan, majlis bertandang pasangan ini tampil cukup memukau dengan konsep Melayu kontemporari yang menggabungkan keindahan tradisi, dekorasi mewah dan sentuhan moden nan elegan.
Selepas selamat diijabkabulkan dalam sebuah majlis tertutup pada 2 Februari 2026, Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda Roslan, 34, dan Muhammad Syafiq Othman, 35, akhirnya diraikan dalam suasana lebih meriah bersama keluarga serta sahabat handai pada awal Jun lepas.
Jika majlis pernikahan mereka sebelum ini berlangsung cukup intim, persandingan kali ini menyerlahkan sisi tradisi Melayu yang diterjemahkan dengan sentuhan moden dan elegan.
Kehadiran penyanyi terkemuka, Anuar Zain, sebagai tetamu majlis resepsi ini turut mencuit perhatian. Bukan sekadar sahabat rapat keluarga, Anuar Zain hadir meraikan kedua-dua belah pihak dan cukup sporting bergambar serta beramah mesra dengan tetamu sepanjang majlis berlangsung.
Beliau sendiri kelihatan teruja melihat mempelai berarak ke pelamin, bahkan keindahan dekorasi pelamin di Rinjani Majestic hasil sentuhan Embun Wedding dan Seri Mutiara Events.
Tumpang bahagia melihat Syafiq dan Kayda di atas pelamin, Anuar sendiri kelihatan turut serta mengambil gambar kenangan seperti tetamu lain.
Paling menarik perhatian tentunya dekorasi pelamin yang menjadi latar utama hari bahagia pasangan ini. Mengangkat palet rona mocha, champagne, gangsa dan emas, ruang pelamin tampil mewah bagaikan singgahsana istana. Ukiran dekoratif bermotif flora dan sulur-suluran memenuhi latar pelamin, seakan menghidupkan semula kehalusan seni ukiran Melayu dalam interpretasi lebih kontemporari.
Hamparan fabrik draping yang disusun berlapis-lapis dari bahagian siling pula membingkai ruang dengan cukup romantis. Kehadiran jambangan bunga di kiri kanan pelamin menyuntik kontras dramatik, manakala lampu gantung berukir serta elemen logam berona antik memberikan sentuhan warisan.
Keseluruhan dekorasi tampak harmoni dengan busana mempelai yang memilih rona hijau keemasan. Syafiq yang merupakan putera kesayangan Tuan Haji Mohd Othman dan Tengku Norziehan segak dalam persalinan Melayu lengkap bertanjak dan aksesori tradisional, sementara Kayda tampil anggun dalam busana senada bersama perhiasan mahkota yang menaikkan seri seorang ratu sehari.
Sebuah interpretasi Melayu kontemporari yang cantik, tradisinya masih terasa, namun persembahannya segar untuk sebuah majlis perkahwinan moden.
Namun di sebalik segala kemeriahan majlis bertandang di sebelah pihak lelaki itu, ada satu pemandangan yang cukup menyentuh hati, gelagat dua orang ibu mempelai di sepanjang majlis.
Tengku Norziehan Tengku Muda atau mesra disapa Tengku Jie bersama besannya, Datuk Seri Sheila Majid dilihat sama-sama sibuk memastikan kelancaran majlis. Walaupun anak-anak sudah dewasa dan kini melangkah membina keluarga sendiri, pada hari paling penting sebegini, ibu jugalah antara insan yang paling tidak senang duduk.
Tengku Jie sendiri bukan nama asing dalam dunia kulinari. Beliau merupakan pemilik Gamelan Restaurant di Ara Damansara dan cukup dikenali dengan kepakaran menyediakan masakan asli tradisi Terengganu.
Mengimbau pertemuan lalu, Kayda pernah berkongsi bahawa dia mengenali Syafiq sejak 2023 dan hubungan mereka pada awalnya hanyalah sebagai kenalan biasa. Namun, keperibadian lelaki itu perlahan-lahan membuka hatinya.
Bagi Kayda, bukan mudah pada zaman sekarang untuk menemukan lelaki yang benar-benar baik hati dan pemurah. Sifat Syafiq yang rajin, bertanggungjawab serta boleh dipercayai membuatkan hatinya semakin yakin.
Lebih menyentuh hati apabila Kayda melihat sendiri cara Syafiq melayani keluarga dan sentiasa berada di sisi mereka. Nilai kekeluargaan itu akhirnya menjadi antara perkara yang membuatkan Kayda percaya bahawa lelaki tersebut layak menjadi teman hidupnya.
Kayda merupakan anak sulung hasil perkahwinan terdahulu Datuk Seri Sheila Majid dengan komposer dan penerbit muzik tersohor, Roslan Aziz. Mereka turut dikurniakan seorang lagi cahaya mata, Megat Abdul Majid Aziz. Roslan sendiri menyempurnakan tanggungjawab sebagai wali ketika pernikahan puterinya pada Februari lalu.
Tampil santai tetapi bergaya dalam kemeja batik rona jingga, sosok Anuar Zain kelihatan cukup sporting meraikan hari bahagia Syafiq dan Kayda. Sebagai sahabat keluarga yang rapat, Anuar bukan sekadar hadir sebagai tetamu, malah dilihat mesra bergambar dan melayani tetamu lain sepanjang majlis. Kehadirannya menambah seri sebuah majlis yang sememangnya terasa dekat dan kekeluargaan.
Malah ketika Kayda mengikat tali pertunangan pada Jun 2025, Anuar antara rakan selebriti yang tampil memberikan ucapan tahniah kepada keluarga Sheila Majid, bersama nama-nama seperti Ning Baizura, Ella, Noryn Aziz dan Che Puan Sarimah Ibrahim.
Akhirnya, di sebalik keindahan pelamin dan busana serba indah, persandingan Syafiq dan Kayda terasa istimewa kerana satu perkara, keluarga. Ada ibu yang sibuk memastikan segalanya sempurna, ada ayah yang sentiasa menyokong dari belakang dan ada sahabat handai yang datang berkongsi bahagia.
Bercerita tentang perkembangan terbaharu, Kayda Aziz yang merupakan seorang penyanyi dan penulis lirik kini kembali aktif di pentas nyanyian. Rancak memenuhi undangan dan persembahan di merata tempat, penyanyi genre pop, hip hop dan R&B itu juga tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Boneka’.
Semoga mahligai yang dibina Syafiq dan Kayda terus dipayungi kasih, dipermudahkan setiap perjalanan serta kekal bahagia hingga ke Jannah.
Foto: The Hayat & Co
Artikel berkaitan: Rani Mukerji Terima Doktor Kehormat La Trobe University Selepas Shah Rukh Khan, Legasi 30 Tahun Diiktiraf Dunia
This website uses cookies.