
Rani Mukerji menerima Doktor Kehormat La Trobe University, Australia, sekaligus menjadi personaliti filem India kedua selepas Shah Rukh Khan yang menerima pengiktirafan berprestij tersebut. Selepas hampir 30 tahun mewarnai industri Bollywood, legasi seni aktres tersohor ini akhirnya diiktiraf di pentas dunia menerusi penganugerahan Honorary Doctor of Letters (honoris causa) atas sumbangan luar biasanya terhadap dunia perfileman India, kerja kemanusiaan serta advokasi sosial.
Penghormatan tersebut meletakkan Rani sebagai personaliti filem India kedua selepas Shah Rukh Khan yang menerima pengiktirafan berprestij daripada universiti berkenaan. Shah Rukh terlebih dahulu dianugerahkan doktor kehormat pada 2019 atas sumbangannya terhadap dunia perfileman dan kerja-kerja kemanusiaan.
Rani menerima anugerah berkenaan dalam satu majlis khas sempena Indian Film Festival of Melbourne (IFFM) 2026. Lebih bermakna, penghargaan itu bukan sekadar meraikan popularitinya sebagai bintang layar perak, tetapi mengiktiraf perjalanan seni hampir 30 tahun serta sumbangannya dalam membawa isu hak wanita, kesaksamaan dan keadilan sosial menerusi sinema.


Rani Mukerji Bukan Sekadar Ratu Bollywood
Bagi Rani, penghormatan tersebut menjadi antara detik paling bermakna sepanjang kehidupannya. Sepanjang karier, beliau memilih untuk mempercayai cerita yang terlebih dahulu menyentuh hatinya sebelum memikirkan soal kejayaan komersial.
Prinsip itulah yang menjadikan perjalanan seninya begitu menarik. Rani tidak hanya mahu menjadi wanita cantik yang menghiasi layar, sebaliknya berani menghidupkan watak-watak wanita yang kuat, rapuh, tidak sempurna tetapi mempunyai keberanian untuk menentukan kehidupan sendiri.
Menurut Rani, beliau sentiasa percaya bahawa filem mampu “mengubah hati sebelum mengubah fikiran. Baginya, seni boleh mencetuskan empati, membuka ruang perbualan dan akhirnya mengubah cara masyarakat melihat sesuatu isu.”
Sepanjang kerjayanya, peminat menyaksikan sisi tersebut menerusi pelbagai karakter. Daripada Saathiya, Chalte Chalte, Hum Tum, Veer-Zaara dan Black, hinggalah karya lebih matang seperti Mardaani, Hichki serta Mrs Chatterjee vs Norway, Rani membuktikan seorang aktres tidak perlu terperangkap dalam satu acuan.



Rani Mukerji Anggap Seni Sebagai Suara Wanita
Apa yang membuatkan pengiktirafan ini lebih istimewa ialah bagaimana La Trobe University melihat pengaruh Rani melangkaui dunia hiburan.
Pihak universiti mengiktiraf sumbangannya dalam membawa persoalan keadilan sosial, kesaksamaan dan keterangkuman ke ruang perbincangan masyarakat. Rani juga melihat seniman sebagai duta budaya kerana filem berupaya memperkenalkan wajah sesebuah negara, masyarakat dan nilai kemanusiaannya kepada dunia.
Di luar layar, komitmennya terhadap usaha kemanusiaan turut menjadi sebahagian daripada legasi tersebut. Beliau sekian lama dikaitkan dengan usaha menyokong wanita, kanak-kanak dan komuniti kurang bernasib baik di India.
Buat Rani, setiap watak wanita yang pernah dijayakan bukan sekadar karakter di dalam skrip. Mereka membawa suara ramai wanita sebenar yang mahu dilihat, didengar dan dihormati.




Darah Seni Mengalir Dalam Jiwa Rani Mukerji Sejak Kecil
Dilahirkan pada 21 Mac 1978 di Mumbai, Rani berasal daripada keluarga Mukherjee-Samarth yang cukup berpengaruh dalam industri perfileman India. Bapanya, Ram Mukherjee, merupakan pengarah filem dan antara pengasas Filmalaya Studios, manakala ibunya, Krishna Mukherjee, pernah bergelar penyanyi latar.
Menariknya, meskipun membesar dikelilingi dunia filem, Rani pada awalnya tidak bercita-cita menjadi pelakon. Namun takdir akhirnya membawa beliau ke layar perak menerusi Biyer Phool pada 1996 sebelum kejayaan Ghulam dan fenomena Kuch Kuch Hota Hai pada 1998 melonjakkan namanya sebagai antara wajah paling dikenali dalam Bollywood.


Sejak itu, langkahnya tidak pernah benar-benar terhenti. Daripada heroin romantik kepada karakter wanita yang berdepan trauma, diskriminasi, cabaran fizikal dan perjuangan seorang ibu, Rani terus berevolusi bersama usia dan kematangan seninya.
Kini selepas hampir 30 tahun, wanita yang pernah membuat penonton jatuh cinta melalui senyuman dan sepasang mata indah itu mempunyai alasan baharu untuk diraikan.
Dr Rani Mukerji, gelaran yang terasa cukup manis buat seorang seniwati yang membuktikan bahawa kecantikan seorang wanita bukan sekadar pada wajah, tetapi pada keberanian menggunakan suara, bakat dan pengaruh untuk meninggalkan makna.
Dan mungkin itulah penghargaan paling indah buat seorang anak seni… Apabila karya yang pernah dicipta untuk menghiburkan akhirnya turut dikenang kerana berjaya menyentuh hati, mengangkat wanita dan merentas sempadan budaya.
Artikel berkaitan: Cristiano Ronaldo & Georgina Rodriguez Akhirnya Menikah Selepas 10 Tahun Bersama, Kisah Cinta Dari Butik Gucci Ke Gerbang Perkahwinan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


