Tak Jamah Nasi, Hanya Salad & Air Kosong! Rahsia Langsing PUTERI SARIMAH

Tak Jamah Nasi, Hanya Salad & Air Kosong! Rahsia Langsing PUTERI SARIMAH

“Saya amalkan minum air putih yang banyak setiap hari. Ketika sarapan saya amalkan makanan organik untuk tenaga dan stamina. Untuk tengahari pula biasanya saya tak makan nasi. Sebaliknya, saya hanya makan salad bersama ayam atau salmon. Tapi kalau keluar makan dengan rakan-rakan saya akan jamah nasi sedikit saja.

Sebelah malam saya hanya makan makan buah, sayur dan air kosong. Saya turut kurangkan minum air manis bagi mengelakkan risiko penyakit genetik iaitu kencing manis. Rutin lain ialah selepas habis waktu kerja biasanya saya akan ke gim. Saya akan habiskan masa di gim selama sejam atau dua jam setengah. Alhamdulillah setakat ini kesihatan saya berada di tahap memuaskan dengan rutin tersebut.

YM Puteri Sarimah Hamid seorang yang mudah mesra dan merendah diri. Selesa digelar sebagai Puteri sahaja, wanita berusia 30-an ini memiliki karakter yang lemah lembut dan bergaya. Puteri membina kerjayanya sebagai Setiausaha Eksekutif di PETRONAS ICT Sdn Bhd sejak tahun 2011. Terdahulu, Puteri pernah bertugas di salah sebuah agensi insuran.

“Saya seorang yang kuat bekerja dan sukakan cabaran. Sebab itulah saya sentiasa bersedia memberikan seratus peratus komitmen demi kerjaya. Sentiasa bersedia 24 jam dan bertindak pantas,” ungkap Puteri.

Puteri dilahirkan dan dibesarkan di Bota Kanan, Perak. Puteri yang berketurunan kerabat Perak dan Selangor ini memiliki seorang kekanda bernama Puteri Dewi Kembang. Bondanya, Raja Bunga serta ayahanda, Abdul Hamid sudah lama kembali ke rahmatullah.

OBSES CANTIK

“Saya obses dengan produk-produk keluaran Korea kerana ia serasi dengan kulit saya yang jenis kering. Selalunya saya beli di Pavilion Kuala Lumpur, walaupun harganya mahal namun berkualiti. Dek kerana ‘jatuh cinta’ dengan produk ini saya juga sanggup ke Korea. Di sana saya harganya akan lebih murah dan saya boleh dapat dalam kuantiti yang banyak. Selalunya saya ke sana bersama rakan-rakan rapat,” kongsi Puteri yang mengamalkan pemakanan suplemen, vitamin C dan kolagen. Rawatan wajah pula dilakukannya sebulan sekali.

SUKA BAJU CUSTOM MADE

“Saya sukakan custom made kerana bebas memilih fabrik, warna dan stail tersendiri. Selalunya saya akan beli kain dan menghantarnya kepada tukang jahit atau pereka fesyen pilihan bersama contoh design yang diinginkan. Saya juga bertuah kerana mempunyai rakan yang pandai mereka kasut untuk saya,” ungkap Puteri yang berpegang kepada prinsip, apa pun yang dilakukan haruslah sentiasa positif.

 

Belajar Reda & Betulkan Hubungan Dengan Allah SWT.. Rezeki IBU TUNGGAL Ini Makin Melimpah!

Belajar Reda & Betulkan Hubungan Dengan Allah SWT.. Rezeki IBU TUNGGAL Ini Makin Melimpah!

Berstatus ibu tunggal tak bermakna kehidupan seorang wanita itu akan gagal selamanya. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui kerana setiap ujian yang diturunkan sebagai tanda sayang terhadap hamba-hamba Nya. Pasti ada hikmah yang tersirat. Menyedari hakikat itulah menjadikan siapa Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah sekarang. Biarpun statusnya kini berubah namun wanita berusia 47 tahun ini yang mesra dengan panggilan Tengku Adena tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Sejak bercerai dengan bekas suaminya dua tahun lalu, Tengku Adena cekal meneruskan hidup bersama anak perempuannya berusia awal 20-an. Selayaknya, Tengku Adena digelar superwoman kerana berjaya mengatur kehidupannya dengan baik walau tanpa seorang lelaki bergelar suami.

Tengku Adena kini komited melebarkan empayar niaganya, Royal Adena ke tahap tertinggi. April 2018 Tengku Adena membuka ibu pejabat Royal Adena dan kilang menjahit yang mengambil tempahan baju korporat. Tengku Adena turut mengeluarkan produk Royal Cardigan.

PERNAH MUFLIS

“Sebelum ini, ketika berlaku pergolakan rumahtangga saya sentiasa sibukkan diri kerana tak mahu fikirkan masalah. Saya mula mencari sesuatu sebagai persediaan. Saya dah dapat rasa perkahwinan kami tak dapat diselamatkan lagi. Saya juga banyak membaca tentang kisah-kisah ibu tunggal.

Sehinggalah sampai satu tahap akhirnya saya surrender kerana dah tak sanggup lagi nak tanggung semua masalahnya. Saya juga pernah jatuh muflis kerana dia. Semua wang saya dalam akaun bank dibekukan. Waktu itu saya sangat terkejut dan rasa down.

Nama saya disalahguna sebagai penjamin dan sayalah yang terpaksa menanggung akibatnya. Itulah titik tolak kepada keputusan nekad saya untuk berpisah. Alhamdulillah saya dapat banyak sokongan daripada keluarga, adik beradik dan teman-teman rapat. Kami berpisah secara baik.

MUHASABAH DIRI

“Selepas apa yang berlaku saya banyak muhasabah diri. Saya betulkan semula hubungan dengan Allah SWT. Saya kerap mengadu dan menangis di sejadah, yakin Dia Maha Mendengar. Saya yakin Dia bagi dugaan ini kerana ada sebab. Selain banyakkan solat sunat, saya banyakkan sedekah setiap hari. Ia umpama back up untuk mendapatkan ketenangan hidup.

Alhamdulillah kini saya pun dah boleh move on. Sekarang saya nak kekalkan momentum bisnes dan kehidupan. Saya berusaha dan tawakal kepada Allah SWT. Sejak menjadi ibu tunggal saya lebih faham masalah-masalah golongan ini. Saya banyak mendengar tazkirah, belajar tentang kerohanian.

Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Srikandi dan AJK Tertinggi Majlis Tindakan Ekonomi Wanita ini. Baru-baru ini Tengku Adena menerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia, Dr Mohd Hatta Ramli.

Tengku Adena turut memiliki produk makanan, Royal Rendang yang dikomersilkan secara frozen dan pes bagi keluaran dalam negeri.

HARAPAN

“Anak juga ada menunjukkan minat terhadap bisnes. Dialah yang menjaga bisnes Royal Rendang bahagian pemasaran, sosial media, menjaga outlet dan sebagainya. Alhamdulillah saya dikurniakan staf yang bagus walaupun semuanya perempuan. Saya harap Royal Adena semakin berkembang. Sekarang belum masanya untuk bersenang lenang kerana saya mahu berusaha gigih untuk membawa jenama ini ke tahap lebih tinggi.

Tip sukses saya, jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas.

Antara hikmah yang saya belajar atas apa yang berlaku ialah yakin dengan aturan Allah SWT, redha dan tenang,” akhiri Tengku Adena yang kini aktif sebagai motivator.

 

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Islam amat mengambil berat tentang hal ehwal serta kebajikan wanita. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik terhadap wanita. Dalam sebuah rumah tangga umpamanya, wanita yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seorang suami kerana suami merupakan ketua keluarga.

Berikut perkongsian Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkenaan jenis-jenis mudarat dalam rumah tangga berserta kesannya terhadap institusi keluarga.

Ustazah Sharifah Khasif

AMANAH

Seorang suami diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi. Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya seperti mengabaikan nafkah, mendera atau memukul isteri tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ dilarang oleh Islam.

JENIS-JENIS MUDARAT DALAM RUMAHTANGGA

1. Tidak memberi nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir termasuklah:

a) Tempat tinggal bersama (suami dan isteri) iaitu rumah selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.

b) Mengabaikan keperluan hidup iaitu makanan, pakaian serta peralatan yang munasabah dan selayaknya mengikut kemampuan suami. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”

2. Tidak bergaul dengan isteri secara baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT maksudnya: “Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”

3. Tidak berlaku adil kepada isteri-isteri jika suami itu mempunyai isteri lebih daripada satu.

4. Menyakiti hati isteri, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudaratkan isteri tanpa sebarang sebab seperti memukul tanpa belas ihsan.

5. Menghalang isteri untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya).

KESAN TERHADAP INSTITUSI KELUARGA

  • Konflik boleh menjejaskan kesihatan pasangan terlibat. Dalam keadaan tertekan, satu kesan paling ketara ialah masalah tekanan darah tinggi dan boleh melarat kepada masalah penyakit jantung.  Penyakit ini jika berterusan boleh membawa maut
  • Anak-anak kurang mendapat perhatian jika ibu bapa asyik berkonflik. Jika ibu bapa tidak bersefahaman tentu sekali anak-anak juga menanggung akibatnya. Mereka tidak dapat melakukan akvititi yang biasanya dilakukan bersama. Contohnya, ibu bapa berdepan konflik tentu tidak akan keluar untuk bersiar-siar atau berkelah.
  • Prestasi kerja menurun. Kesan di tempat kerja, putus hubungan perniagaan, konflik di tempat keluarga dan hubungan dalam masyarakat wujud disebabkan masalah dalaman ahli keluarga. Bayangkan apa yang berlaku itu hasil daripada konflik suami isteri. Itu belum lagi jika berlaku perceraian.
Sebab COKLAT Makanan Sihat, Saji Keluarga Anda Dengan Resipi Kek Lazat Ini!

Sebab COKLAT Makanan Sihat, Saji Keluarga Anda Dengan Resipi Kek Lazat Ini!

Coklat memang sedap dimakan. Kita juga tahu coklat dikatakan mempunyai banyak kelebihan khususnya dari sudut kesihatan. Kajian menyatakan wanita yang makan 1-2 hidangan coklat setiap minggu dapat membantu mengurangkan 1/3 risiko kegagalan jantung. Satu lagi kajian menunjukkan, 1 bar coklat setiap hari dapat membantu merendahkan tekanan darah, mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Berikut Nona kongsikan ilham resipi Cef Mohd Irwan Bani Ismail daripada Hotel Concorde Shah Alam sebagai rujukan. Mana tahu anda sedang tercari-cari idea untuk menghasilkan menu berasaskan coklat.

 

KEK COKLAT BERLAPIS

Bahan-bahan:

  • 200 gm mentega
  • 150 gm gula
  • 6 biji telur ayam
  • 100 gm tepung
  • 10 gm serbuk penaik
  • 100 gm coklat
  • 50 gm serbuk koko
  • 100 gm susu segar
  • 100 gm whip cream
  • 5 gm serbuk gelatin
  • 50 gm croquantine

CARA MEMBUAT:

Pukul mentega bersama gula sehingga kembang. Masukkan telur dan kacau sebati. Kemudian masukkan semua bahan lalu dipukul sehingga sebati. Bakar pada suhu 180C selama 50 minit.

BEBOLA COKLAT

Bahan-bahan:

  • 750 gm coklat
  • 250 gm mentega
  • 125 gm gula
  • 60 gm telur
  • 5 gm garam
  • 375 gm tepung gandum
  • 30 gm serbuk koko
  • 10 gm serbuk soda bikarbonat
  • 250 gm coklat putih
  • 150 gm kacang tumbuk (kacang tanah)

CARA MEMBUAT:

Cairkan coklat, pukul mentega dan gula sehingga sebati. Masukkan telur satu persatu diikuti tepung gandum, serbuk koko, kacang tumbuk dan serbuk penaik. Seterusnya, masukkan pula coklat yang telah dicairkan tadi ke dalam separuh daripada adunan tadi. Uli sehingga menjadi dua doh. Gulung kedua-dua doh dan masukkan ke dalam peti sejuk. Lapiskan sehingga menjadi tiga bahagian. Kemudian tekap acuan bulat mengikut saiz yang disukai. Susun di atas loyang kemudian bakar pada suhu 160C selama 25 minit. Untuk hiasan, sadurkan bersama coklat cair sehingga menjadi bebola.

 

 

 

 

Lebih Puas Menghias Rumah Sendiri, ECHENTA Bijak Bermain Elemen Mewah & Elegan Dalam Dekorasi!

Lebih Puas Menghias Rumah Sendiri, ECHENTA Bijak Bermain Elemen Mewah & Elegan Dalam Dekorasi!

Elegan, mewah dan sofistikated. Tiga perkataan ini sudah cukup menggambarkan keindahan ruang kediaman milik pengasas instant turban, Ilham Echenta. Ternyata, anak jati Melaka berusia 34 tahun ini cukup kreatif dalam menata gaya kediamannya yang terletak di Bangi.

Menariknya, Echenta berjaya menzahirkan idea mengikut kreativiti sendiri. Suaminya turut membantu dalam merealisasikan dekorasi impian Echenta. Apa yang penting Echenta bijak bermain dengan elemen-elemen mewah, elegan serta sofistikated di samping memilih biru gelap dan putih sebagai rona dasar bagi kediaman ini. Bermula daripada susun atur perabot sehinggalah kepada pemilihan barangan perhiasan, segalanya terlihat sempurna.

“Untuk dekorasi semuanya idea saya. Selain memenuhi minat sendiri, saya juga gemar melakukan DIY dekorasi bagi mengisi masa lapang. Ini juga merupakan obsesi saya yang terbaru pada tahun ini. Bagi saya warna biru dan putih mampu mencetuskan suasana ceria memandangkan kami mempunyai tiga orang anak yang masih kecil dan aktif.

Di samping itu, warna biru dan putih juga dapat membantu saya menghilangkan stres dan keletihan sebaik pulang daripada kerja. Warna biru juga dapat memberikan ketenangan pada jiwa dan minda. Selalunya rujukan saya banyak kepada gambar-gambar dekorasi rumah dari luar negara. Saya akan mencari dekorasi-dekorasi yang sesuai untuk diterapkan di bahagian-bahagian tertentu kediaman agar kelihatan lebih luas dan lapang.

Lagi satu, tujuan saya memilih warna biru gelap ialah untuk menyembunyikan kotoran contohnya yang terdapat pada perabot. Maka, warna biru gelap ini dapat membantu. Walaupun saya juga sukakan warna beige atau rona tanah, tetapi memandangkan anak-anak masih kecil saya gantikan dengan warna biru dan putih ini,” kongsi Echenta yang gemar mengumpul koleksi kasut dan beg tangan.

“Untuk penampilan selalunya saya memilih gaya chic, urban, elegan dan ranggi. Ia sebenarnya sebahagian daripada ‘tugas’ saya juga yang perlu memperagakan jenama sendiri. Tapi kalau tidak bekerja saya seorang yang sangat ringkas dan lebih selesa untuk tidak bersolek tebal,” kongsi Echenta.

 

Kredit Foto: @echenta

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: