
Prihatin dengan nasib mangsa produk kecantikan ‘timbang kilo’ membuatkan usahawan ini nekad mengeluarkan jenama kecantikan sendiri sehinggalah terciptanya Sabun Magnetic AdDar.
Enggan fokus kepada keuntungan semata-mata, Norhaslinda Rosli atau lebih dikenali sebagai Kak Lin optimis menghasilkan item kecantikan kulit wajah yang selamat dari setahun ke setahun.
April ini genap sembilan tahun AdDar Beauty berada di pasaran. Sepanjang tempoh itu juga AdDar kekal menjadi pilihan dan bertapak kukuh dalam industri meskipun terdapat banyak lambakan produk kosmetik dan kecantikan ketika ini.
Melihat persaingan yang timbul sebagai satu senario sihat, Lin optimis kemampuan AdDar dalam memberi rawatan wajah terbaik kepada pelanggan.



Ujarnya, “Lambakan produk timbang kilo punca utama AdDar menjadi jenama nombor satu ‘penyelamat’ ramai wanita yang mengalami masalah kulit rosak akibat bahan kimia berbahaya yang mencetuskan masalah jeragat teruk, jerawat serta kulit kusam.
AdDar mencipta fenomena baru dari segi produk yang menitikberatkan kualiti dan juga teknologi terkini dalam rawatan kulit wajah. Jadi, terciptanya Sabun Magnetic AdDar sebagai pembersih muka kuasa iojic yang mampu meneutralkan kembali kulit wajah diselaputi logam berat.
Rawatan dikenali Detox Kulit Wajah yang menggunakan magnetic ini memberi harapan baru kepada pengguna yang mengalami masalah kulit. Disebabkan keberkesanan produk ini, Sabun Magnetic AdDar berjaya dijual lebih satu juta ketul di pasaran.”
Tambah Lin lagi, dia nekad memberi manfaat sebanyak mungkin kepada mangsa produk timbang kilo dan mensasarkan lebih ramai wanita Malaysia serta telah menembusi pasaran Brunei, Singapura dan Indonesia.



“Produk saya ada keunikannya yang tersendiri dan kita sentiasa memberikan produk dan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan kerana kita hendak mereka menjadi loyal customer dan bukan hanya one time buyer. Saya juga melakukan pemasaran secara konsisten.
Uniknya produk AdDar adalah kami tidak hanya memfokuskan untuk kecantikan kulit wajah bahkan memberi rawatan sepanjang pemakaian.
AdDar adalah jenama untuk membantu mereka yang mempunyai masalah kulit rosak akibat pemakaian produk mengandungi bahan kimia berbahaya seperti merkuri dan hidroquinon.”




Mengulas penghasilan produk Sabun Magnetic, usahawan yang juga ibu tunggal ini berkata dia mendapat ilham selepas menyedari banyak produk kecantikan di pasaran tidak selamat dan tidak mengikut piawaian pihak berkuasa.
“Jadi saya menghasilkan produk Sabun Magnetic. Satu sabun yang menggunakan teknologi magnet dari Brazil yang mampu menarik logam berat yang melekat atas kulit wajah.
Khas buat mereka yang mengalami masalah kulit rosak akibat penyalahgunaan produk yang mengandungi bahan kimia tinggi dan terlarang.”
Sehingga kini, AdDar Beauty mempunyai tujuh rangkaian produk kosmetik antaranya Serum Royal Epigenetic, Sabun Mutiara, Foundation Green Tea, Matte Lip dan Magnetic Laser Cream.
Secantik Ibu Mertuanya, Datin Maria Arshad. SHIERA AL-KHAIRED Kini Anggun Bertudung

Karakternya yang sentiasa mencuit hati dengan lawak yang bersahaja, Shiera Al-Khaired kini semakin anggun dan manis sejak bertudung. Bertitik tolak daripada ikhtibar musibah COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini, Shiera yang merupakan isteri kepada Ijoy Azhari dan ibu anak lima ini membulatkan tekad untuk terus bertudung.
MAKIN SELESA & TENANG
“Sejak awal PKP lagi saya sudah berniat untuk bertudung kerana terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Banyaknya ujian yang Allah SWT berikan kepada kita. Sebelum ini saya pakai tudung pun kadang ‘on-off’, tak sempurna. Mungkin kerana pengaruh serta cabaran dalam industri hiburan ini sangat hebat.
Bila dan bagaimana hidayah itu sampai saya sendiri tiada jawapan pasti kerana segalanya berlaku secara natural. Alhamdulillah kini saya semakin selesa dan tenang dengan penampilan baru ini. Saya bulatkan hati untuk terus istiqomah. Sudah tiba masanya untuk saya berubah menjadi hambaNya yang lebih baik walaupun masih belum sempurna. Apa pun saya masih belajar dan akan terus belajar.
Keluarga, suami serta ibu mertua pun tidak terlalu terkejut dan tidak berkata apa-apa tentang perubahan saya ini. Mungkin sebelum ini mereka sudah biasa melihat saya mengenakan tudung untuk ke mana-mana majlis contohnya majlis agama atau ceramah. Apa pun mereka sangat gembira, supportive dan positif dengan perubahan saya ini.
PENAMPILAN & GAYA TUDUNG
Sekarang ini saya lebih selesa memilih pakaian yang longgar-longgar dan yang memudahkan saya untuk bergerak. Saya ini agak agresif sikit jadi kalau keluar bekerja tu lebih selesa menyuai padankan apa jua jenis baju dengan seluar.
Untuk gaya tudung saya tidak belajar daripada sesiapa pun. Saya belajar sendiri mengikut keselesaan. Bukanlah hendak nampak cantik sangat, asalkan kemas sahaja. Nak nampak cantik bertudung tu saya masih tak pandai lagi.
Selalunya saya akan pilih gaya tudung yang ringkas, cepat dan mudah disarung contohnya selendang yang boleh diselempangkan terus ke belakang. Kalau tudung bawal tu saya masih kurang yakin dan tak pandai lagi namun akan cuba untuk belajar memakainya dengan kemas.
Apa pun gaya yang penting saya tetap menjaga imej bertudung dengan sentiasa memastikan berpakaian longgar dan berlengan panjang. Hal ini saya masih dalam proses belajar secara perlahan-lahan.
CABARAN
Dari segi cabaran pula, hendak kata yang berat-berat tu belum pernah alami lagi namun perasaan kekok tu masih ada. Kadang-kadang takut juga bila keluar saya terlupa untuk pakai tudung betul-betul. Maklumlah saya ini kalau buat sesuatu perkara semuanya hendak cepat dan sedikit terburu-buru. Rasanya ini antara dugaan saya setakat ini.
Kalau ada yang hendak memuji atau mengecam gaya bertudung, saya tak pernah ambil kisah. Saya juga masih berkawan dengan sesiapa sahaja, masih rapat dengan kawan-kawan lama. Ramai yang memberi kata-kata semangat dan sokongan, dan ada juga yang mengadiahkan saya tudung. Alhamdulillah..” Ungkap Shiera yang kagum dengan Mizz Nina dan Noor Kumalasari yang dianggap sangat istiqomah dalam penghijrahan mereka.
HIKMAH PKP
Selain memberi ‘penghijrahan’ baru dalam hidup Shiera, tempoh PKP turut menjadikan hubungan kekeluargaannya kian erat.
“Saya merasa sangat seronok kerana sekarang semuanya ada di rumah. Kalau tidak sebelum ini masing-masing sibuk. Hikmah Ramadan tahun ini sungguh indah kerana selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, kami turut berpeluang untuk solat berjemaah dan berterawih bersama-sama.
Suami menjadi imam, anak-anak dapat solat sekali semua. Banyaklah yang kita boleh belajar. Saya juga lihat sekarang ini terdapat banyak program-program Live berbicara tentang topik-topik agama. Bagi saya itu perkara yang sangat baik dan bermanfaat.
Orang kata dalam tempoh PKP kita ada banyak masa. Itu tidak dinafikan. Namun kadang-kadang saya rasa seolah-olah masa itu lagi tidak cukup sebenarnya kerana macam-macam perkara yang boleh kita buat di rumah. Saya sendiri walaupun kerja dari rumah tetapi tetap juga kena keluar kalau ada tugasan. Kadang-kadang terpaksa berbuka puasa di luar.
Alhamdulillah ibu mertua saya masih sudi untuk membantu menjaga anak-anak termasuk menyediakan hidangan berbuka untuk anak-anak dan suami kalau saya ada kerja di luar. Saya sangat menghargai jasa ibu mertua yang tidak pernah berkira dari segi masa dan tenaga. Terima kasih Mama.”
ANGGAP IBU MERTUA SEPERTI IBU SENDIRI
Seperti kita tahu hubungan Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya yang dipanggil Mama.
“Ibu mertua saya seorang yang mengutamakan keluarga. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri.
Antara air tangan Mama kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya.”
Selain itu, Shiera bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala.. Walaupun Mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini Mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 60an.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan untuk kekalkan tenaga dan menjadi lebih cergas.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut memberi kesan kepada buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan.”
Shiera atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired kini masih aktif sebagai penyampai radio serta pengacara televisyen dan majlis. Shiera yang kini berusia 46 tahun merupakan adik kepada Sharifah Nor Azleenda serta kakak kepada Sharifah Sakinah.
Kredit Foto: Instagram Shiera Al-Khaired
“Ibarat Separuh Nyawa Saya Dibawa Pergi” Perjuangan Nekad MONA DIN Buat Anak Syurga, BELLA

Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.

Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.

Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.

Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.

Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.

Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.

Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Bergelar Mualaf Usia 16 Tahun, Wanita Cantik Korea AYANA MOON Diminati Ramai & Kisah Hidup Jadi Inspirasi!

Orangnya bukan saja tinggi lampai tapi memiliki rupa paras cantik dan kulit putih kemerahan. MasyaAllah, cantiknya ciptaan Tuhan. Pertama kali bertemu Ayana Jihye Moon, memang terpegun dengan kecantikan personaliti kelahiran Korea Selatan ini.
Dilahirkan pada 28 Disember 1995, Ayana menarik perhatian masyarakat di Malaysia dan Indonesia ekoran perjalanan hidupnya sebagai mualaf. Dia dikhabarkan tertarik dengan Islam sejak berusia tujuh tahun dan kemudian memutuskan untuk memeluk Islam ketika berumur 16 tahun dan masih menetap di Korea Selatan bersama keluarga.
Bagaimana pun, penghijrahan Ayana mendapat tentangan hebat daripada kedua-dua ibu bapa. Apatah lagi, komuniti Islam yang kecil di Korea Selatan dan kekangan peluang pekerjaan apabila dia berhijab memberi cabaran besar kepada jelitawan berusia 26 tahun ini.
Dalam temu bual Nona bersama Ayana tidak lama dahulu, wanita cantik ini mendedahkan, “Nama seperti Aishah atau Khadijah sudah menjadi pilihan ramai dan Ayana ialah nama Islam yang dipilih sendiri oleh saya kerana tertarik dengan nama tersebut yang membawa maksud bertuah.
Pada mulanya saya tidak begitu serius untuk memeluk Islam kerana saya hanya mahu ada pengetahuan tentang Islam. Namun, apabila saya mula bertemu dengan rakan-rakan beragama Islam yang baik, saya tertarik dengan agama ini dan mahu merasai sendiri pengalaman bergelar seorang Muslim.
Pada awalnya ibu dan ayah tidak setuju dengan keputusan saya untuk peluk Islam. Keadaan ini adalah normal di sana kerana tidak semua rakyat Korea sukakan orang Islam termasuk ahli keluarga sendiri. Tapi sampai sekarang saya sentiasa menghubungi keluarga untuk bertanya khabar dan masih melawat mereka di Korea,” ujar Ayana yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.

Sementara itu, memetik kenyataan Ayana kepada portal Popbela.com, “Sebelum pergi ke Malaysia, saya harus lakukan banyak pekerjaan sampingan di Korea Selatan seperti menjadi guru Matematik, menjual ikan kering di pasar dan bekerja sampingan di restoran kecil. Alhamdulillah saya dapat biasiswa penuh kerana saya adalah siswa teladan.”
Ayana memilih Malaysia pada tahun 2017 kerana mempunyai kenalan di sini. Pada tahun 2018, dia berhijrah pula ke Indonesia untuk bercuti dan seterusnya menjadi model.
Bersandarkan bakat dan rupa paras cantik yang dimiliki, Ayana turut bergelar personaliti YouTube dan menjadi duta bagi produk kecantikan di Indonesia. Dia juga menulis sebuah buku mengenai perjalanannya menuju Islam yang bertajuk Journey to Islam.
Tidak hairanlah Ayana menarik perhatian ramai masyarakat kerana personalitinya yang santai, mesra dan gemar tersenyum. Terpikat dengan kulit wajah mulus Ayana, ini amalan kecantikan yang dipraktikkan.
“Sebenarnya saya tidak ada rutin kecantikan khas untuk diamalkan Cuma saya akan bersihkan make up sebelum tidur dan pastikan muka saya bersih daripada sebarang kotoran. Selain itu, saya juga akan sapu krim pelindung matahari setiap hari sebelum keluar rumah kerana ia mampu melindungi kulit wajah.”
Kredit foto: Instagram Ayana Jihye Moon