
Bahaya hipertensi, diam-diam jadi ‘silent killer’ yang rosakkan jantung tanpa disedari. Sempena Hari Hipertensi Sedunia 2026, ramai wanita moden hari ini sebenarnya hidup dalam keadaan sibuk tapi penat, tanpa sedar hipertensi sedang perlahan-lahan merosakkan tubuh dari dalam.
Bakal disambut pada 17 Mei 2026 ini, kesedaran tentang bahaya hipertensi mula disebarkan secara meluas.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi Intervensi, Dr Chua Ping Lik, ramai individu hanya menyedari mereka menghidap hipertensi selepas komplikasi serius mula berlaku.
“Hipertensi ialah pembunuh senyap utama kerana ia sering tidak menunjukkan simptom klinikal yang ketara, sedangkan ia secara perlahan merosakkan integriti struktur dinding arteri kita,” kata Dr Chua Ping Lik.

Antara kerja, keluarga, komitmen sosial dan tekanan emosi, kesihatan sering jadi perkara terakhir yang diberi perhatian sedangkan hipertensi bukan sekadar tentang pening kepala atau stres biasa.
Masalahnya, ramai hanya mula panik apabila muncul simptom seperti sakit dada, penglihatan kabur atau sesak nafas. Hakikatnya ketika itu, kerosakan pada jantung dan buah pinggang mungkin sudah berlaku.
Hipertensi Bukan Penyakit Yang Datang Sendirian
Apa yang lebih membimbangkan, tekanan darah tinggi sebenarnya bukan penyakit yang datang sendirian. Ia berkait rapat dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes, obesiti dan penyakit buah pinggang kronik dalam satu ‘rantaian domino’ yang dikenali sebagai CRM atau Kardio Renal Metabolik.
Dalam bahasa mudah, CRM ialah keadaan apabila kesihatan jantung, buah pinggang dan sistem metabolik tubuh saling mempengaruhi antara satu sama lain. Bila satu mula rosak, organ lain juga akan terkesan.
Contohnya:
- Tekanan darah tinggi memberi tekanan kepada jantung
- Diabetes merosakkan salur darah dan menyukarkan kawalan tekanan darah
- Buah pinggang yang lemah menyebabkan lebihan cecair dalam badan
- Lebihan cecair pula membuatkan jantung bekerja lebih keras

Akhirnya tubuh masuk ke dalam ‘kitaran bahaya’ yang boleh membawa kepada strok, kegagalan jantung atau dialisis.
“Apa yang bermula sebagai satu bacaan tinggi pada alat tekanan darah sering berkembang menjadi kegagalan sistemik pelbagai organ,” jelas Dr Chua.
Trend Hipertensi Di Malaysia Semakin Membimbangkan
Di Malaysia, situasi ini semakin serius. Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, hampir satu daripada tiga rakyat dewasa Malaysia menghidap hipertensi dan ramai masih belum didiagnosis.
Realitinya, gaya hidup moden banyak menyumbang kepada masalah ini.
- Kurang tidur kerana binge watching drama
- Makanan tinggi garam dan processed food
- Tekanan kerja berpanjangan
- Kurang bersenam
- Berat badan berlebihan
- Pengambilan minuman manis secara berlebihan
Ramai millennials juga cenderung menganggap mereka masih muda dan sihat, sedangkan hipertensi kini semakin kerap berlaku pada usia 30-an.
Kepentingan Pengesanan Awal Hipertensi
Dr Chua menegaskan pengesanan awal sangat penting kerana ia memberi peluang untuk mencegah komplikasi lebih serius.
“Bagi individu yang hidup dengan hipertensi, manfaat klinikal paling besar daripada pengesanan awal ialah pemeliharaan ‘window of opportunity’ atau ruang peluang untuk bertindak,” katanya.
Malah, perubahan kecil gaya hidup sebenarnya mampu memberi kesan besar jika dilakukan secara konsisten.
Cara Kurangkan Risiko Hipertensi Dalam Kehidupan Harian
- Kurangkan makanan tinggi garam
- Bergerak aktif sekurang-kurangnya 30 minit sehari
- Kawal stres dengan lebih sihat
- Tidur mencukupi
- Pantau tekanan darah secara berkala
- Kurangkan minuman bergula
- Elakkan merokok dan vape

Berita baiknya, pemeriksaan kesihatan kini lebih mudah dilakukan tanpa perlu menunggu lama di hospital. Farmasi komuniti kini memainkan peranan penting sebagai ‘barisan depan’ dalam membantu rakyat Malaysia mengesan risiko hipertensi lebih awal.
“Farmasi runcit merupakan antara hab kesihatan yang paling mudah diakses di kawasan kejiranan seluruh Malaysia,” kata Dr Chua Ping Lik.
Bukan sekadar memeriksa tekanan darah, banyak farmasi kini turut menawarkan saringan glukosa dan BMI bagi membantu mengenal pasti risiko kesihatan secara menyeluruh.
Paling penting, jangan tunggu badan ‘memberi amaran’ baru mahu bertindak. Hipertensi sering datang tanpa bunyi, tetapi kesannya boleh mengubah seluruh hidup.
Kalau anda berusia lebih 30 tahun, mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung, diabetes atau sering berdepan tekanan kerja melampau, mungkin sudah tiba masanya untuk mula lebih peka dengan ‘nombor’ tekanan darah sendiri.
Kerana menjaga kesihatan hari ini bukan lagi tentang nampak kurus atau fit semata-mata. Ia tentang memastikan kita terus kuat bekerja, membina keluarga, mengejar impian dan menikmati hidup tanpa dibayangi risiko penyakit kronik pada masa depan.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/nonnamaxxing-rahsia-wanita-itali-cantik/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


