Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berusia 13 tahun ketika menyaksikan kediaman keluarganya diserbu oleh sepasukan anggota polis. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa yang sedang berlaku.
“Pada usia 13 tahun ketika itu, saya sudah tahu apa yang sedang berlaku. Keperitan dan kesedihan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi berkat doa dan sokongan ramai, semangat kami adik-beradik tidak pernah luntur. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang figura bapa yang amat optimis dan exceptional. Selain itu, sikap mama yang penyayang, penuh kesabaran dan selalu bersifat positif juga menjadi nadi kekuatan kami. Kombinasi ini sememangnya luar biasa dan merekalah sumber kekuatan kami adik beradik,” jelas Nuha yang ternyata bangga mempunyai ibubapa yang penuh dedikasi dan tahap kesabaran yang tinggi.
“Mengenang kembali saat itu, pastinya meruntun hati tetapi ia adalah antara episod duka yang banyak mematangkan saya,” ujar Nurul Nuha yang menjadi insan hebat di belakang kakak sulungnya, Nurul Izzah.
BANGKIT BERJUANG
Bukan sekali, malah dua kali melihat bapanya dipenjarakan merupakan tamparan hebat yang harus dilalui oleh keluarga ini. Episod hitam kembali berlaku apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’ yang hanya mampu melihat tanpa melakukan apa-apa. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup mematangkan untuk dirinya berjuang mencari keadilan buat si ayah.
Ads
Nuha dengan sokongan ahli keluarga telah menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.
“Kempen itu sebagai manifestasi saya mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarga selepas papa ditahan akibat ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara. Kempen March To Freedom adalah kesinambungan perjuangan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarga menjalani kehidupan penuh emosi yang sukar digambarkan melalui kata-kata,” ujar Nurul Nuha yang mempunyai rupa para seiras ibu tersayang.
Tambah Nurul Nuha lagi, kempen yang dilancarkan pada 11 Februari 2015 telah digerakkan melalui platform media sosial termasuk di peringkat antarabangsa.
“Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang,” ujar ibu kepada tiga cahayamata ini lagi.
Ads
“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.
“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” kata graduan dari George Mason University Amerika Syarikat ini.
SYAWAL NAN DINANTI
Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, Nuha memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Sambil berseloroh, Nuha berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan bersama keluarga kerana sudah lama tidak menikmati momen indah seperti ini.
Ads
“Alhamdulillah, kami dapat meluangkan masa dengan keluarga dengan harapan tak makan sampai sakit perut. Dengan nikmat begini, kami doakan dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang tidak dapat bersama keluarga supaya tabah dan mendapat ketenangan dan kesabaran InsyaAllah,” ujar Nuha sambil memandang adik-adik yang lain ketika sesi fotografi dijalankan.
Sambil bercerita mengenai kenangan musim perayaan yang lalu, tambah Nuha lagi dia menantikan detik indah dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.
“Tahun lalu, Kak Izzah dan Iman memasak menu rendang dan tak sangka sedap dan menepati citarasa kami. Jadi tahun ini tidak pasti samada rendang istimewa ada dalam rancangan atau tidak. Persiapan Raya memang kelam kabut, tapi kepentingan itu lebih kepada meluangkan dengan keluarga”, sambung Nuha lagi.
Nurul Nuha turut melahirkan rasa kesyukuran kerana kesabaran dalam mengharungi liku-liku hidup telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama adik-beradik tersayang. Selain itu, perjuangan reformasi juga telah membuka mata mereka dan rakyat Malaysia khususnya untuk melalui pelbagai rintangan dan kesusahan.
“Papa dan mama senantiasa mengingatkan kami, ada kuasa yang lebih kuat dari apa sekalipun adalah ALLAH SWT. Jadi, sentiasa berzikir dan berdoa selepas tawakkal dan usaha. Doa menjadi rutin harian, cekal dan berazam agar mendapat ketenangan dan kemenangan,” ujar Nuha penuh makna.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tanggal 21 Februari 2021 pastinya melakar sejarah tersendiri buat negara apabila vaksin Pfizer BioNtech bagi usaha memerangi Covid-19 akhirnya tiba di tanah air. Bukan hanya memberi kelegaan kepada jutaan rakyat, ketibaan vaksin dari syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat ini yang memiliki keberkesanan 95 peratus melindungi sistem imun daripada wabak tersebut secara rasminya diberikan kepada rakyat bermula hari ini, 24 Februari 2021.
Di sebalik detik bersejarah bagi perubatan negara ini juga, individu yang telah berjaya ‘menerbangkan’ 312,390 dos vaksin Covid-19 untuk selamat tiba ke Malaysia Ahad lalu wajar diberi pengiktirafan. Beliau berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan cukup baik meskipun mengakui berdepan saat mendebarkan dalam penerbangan selama sejam dari Singapura ke Malaysia. Untuk pengetahuan, Singapura menjadi lokasi transit penghantaran vaksin Pfizer BioNtech yang berasal dari Puurs, Belgium.
Ditemui sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hero yang membawa pesawat penumpang Airbus 330-300 ini iaitu Kapten Hamdan Che Ismail melahirkan rasa syukur kerana usaha gigih pihak MAS Kargo dalam mengendalikan ketibaan vaksin Covid-19 berjalan seperti dirancang.
“Alhamdulillah saya amat terharu kerana dipilih bersama rakan-rakan saya untuk membawa kumpulan vaksin pertama Malaysia. Kami juga berharap agar program vaksin kebangsaan ini akan berjaya seperti yang dirancang kerajaan. Bagi pihak MAS Kargo kami dah bersedia untuk teruskan program ini.”
Menceritakan kembali momen berkenaan, Kapten Hamdan memaklumkan, “Flight bertolak dari Kuala Lumpur seawal jam 6 pagi mengikut perancangan yang sudah dilakukan beberapa hari. Kami sampai di Singapura pukul 7 pagi dan berada selama 2 jam di sana untuk pastikan semuanya dalam keadaan baik sebelum bergerak ke Malaysia pada pukul 9 pagi.
Bagi saya, sebagai juruterbang… apabila menyedari salah satu aset dalam kapal terbang adalah vaksin tentunya kami perlu membuat persiapan lebih terperinci untuk pastikan vaksin tidak mengalami sebarang kerosakan. Vaksin ini juga perlu sentiasa berada dalam low temperature. Ia pastinya pengalaman baru buat kami semua semasa ketibaan vaksin ini.”
Memetik kenyataan dari Facebook rasmi Kementerian Kesihatan, Kapten Hamdan Che Ismail nyata bukan calang-calang juruterbang. Beliau yang berasal dari Tumpat, Kelantan mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan selama 29 tahun sepanjang berkhidmat dengan syarikat penerbangan negara, MAS Airlines.
Hari ini, fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berlangsung secara rasmi. Ia sekaligus bakal menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama menerima suntikan Pfizer BioNtech selain Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Selain itu, fasa pertama ini juga akan melibatkan pemberian suntikan vaksin kepada para petugas kesihatan, keselamatan dan pasukan pertahanan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dua dekad lamanya Bawal Exclusive telah berada di pasaran dan bersaing bersama jenama tudung yang lain. Jenama ini telah membuktikan ia kekal relevan di persada fesyen wanita berhijab walaupun kebanjiran pelbagai jenis rekaan tudung membanjiri pasaran. Ternyata, tudung bawal masih diminati dan tampil dengan pelbagai rekaan yang menarik. Di tambah pula dengan perincian yang bergemerlapan daripada kilauan kristal Swarovski.
Pengasanya, Haliza Maysuri kini boleh menarik nafas lega kerana fesyen tudung bawal masih menjadi pilihan para pengguna. Menurut Haliza, hanya perubahan dalam rekaan dan pilihan fabrik sahaja telah memberi nafas baru agar tudung bawal terus diterima oleh si penggemarnya.
“Alhamdulillah Bawal Exclusive mencatatkan peningkatan 30 peratus penjualan seiap tahun dan berjaya menembusi beberapa negara luar kerana rekaannya yang unik,” ujarnya ketika di temui di Majlis Sambutan Ulang Tahun Bawal Exclusive ke 20 di The St Regis baru-baru ini.
20 tahun bukanlah jangka masa yang singkat untuk membina jenama sehingga dikenali ramai kerana sepanjang tempoh tersebut, Haliza terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan untuk mengekalkan serta mengembangkan perniagaannya.
“Angka juga bukanlah kayu pengukut kepada kematangan Bawal Exclusive dalam dunia fesyen. Saya masih dalam proses belajar mengenai selok-belok perniagaan dan kejayaan hari ini adalah berkat usaha semua pihak dan suami, Rosli Awang yang tidak jemu-jemu memberi dorongan dan idea untuk menambah baik perniagaan ini.
Bayangkan, satu ketika dulu tudung bawal pernah mengalami kejatuhan kira-kira 18 tahun lalu. Ketika itu, saya sedang hamil anak pertama. Dugaan demi dugaan menimpa sehinggakan hendak membeli manggis kerana mengidam juga tidak mampu untuk dibeli. Kehidupan ketika itu sememangnya sukar dan saya bersyukur suami muncul dengan idea yang bernas untuk menaikkan kembali kegemilangan pemakaian tudung bawal.
Dengan hanya berbekalkan empat paket kristal Swarovski, saya mula mengeluarkan tudung bawal dengan menggunakan kristal Swarovski. Alhamdulillah rekaan dan pilihan fabrik berjaya memberi nafas baharu agar tudung bawal berjaya memenuhi citarasa pengguna.
Permintaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun telah meyakinkan kami untuk terus fokus dalam penghasilan bawal dengan keunikan kristal Swarovski. Malah, kerjasama yang erat sejak 18 tahun lalu bersama jenama Swarovski telah memastikan jenama Bawal Exclusive semakin dikenali sehingga ke pasaran luar negara.
Koleksi Bawal Exclusive termahal yang dihasilkan RM33, 000
Pada majlis yang sama, Bawal Exclusive turut mempamerkan tudung termahal pernah dihasilkan bernilai RM33,000. Diilhamkan daripada bunga Dandelion yang tumbuh mekar pada musim bunga, tudung bawal rekaan pasukan pereka Swarovski Wattens berjaya menghasilkan sebuah rekaan tudung bawal yang eksklusif.
Tambah Haliza lagi, ‘tudung termahal’ ini telah dibeli oleh seorang usahawan dari negeri Cik Siti Wan Kembang yang merupakan peminat setia Bawal Exclusive. Tentu ramai yang tidak sabar untuk melihat sendiri Tudung Termahal pernah dihasilkan oleh Bawal Exclusive ini kan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kejayaan yang dikecap oleh wanita ini sememangnya boleh dibanggakan malah menyuntik inspirasi buat wanita lain untuk berjaya dalam mengejar cita-cita. Manakan tidak, dalam usia perniagaan yang masih lagi ‘hijau’ Eriyca Baiduri berjaya mengemudi perniagaan yang berasaskan kecantikan ini naik dengan begitu drastik.
Wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa ini terus bangkit dalam arus perdana membangunkan ekonomi wanita agar tidak tertinggal ke belakang. Melakar kejayaan from zero to hero turut menyuntik inspirasi kepada wanita muda agar terus berjuang dalam setiap aspek kehidupan.
Berkongsi kisah kejayaan Eriyca atau lebih dikenali sebagai Madammu di kalangan komuniti Noir Health & Beauty Sdn. Bhd., akur tanpa keyakinan tinggi dalam diri untuk mengecap kejayaan mungkin dia tidak mampu berdiri di tempatnya kini.
Walaupun personaliti wanita ini di luarnya nampak lembut dan feminin, tetapi tidak mudah menyerah kalah dan mampu melakukan apa sahaja walau dihalang pelbagai rintangan.
“Kecintaan saya dalam dunia perniagaan ini memang dibentuk sejak di bangku sekolah lagi. Dalam usia yang begitu muda saya sudah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan. Dahulu saya pernah mengendalikan sebuah restoran yang berlokasi di tengah Bandar Raya Kuala Lumpur. Minat saya dalam bidang masakan telah saya realisasikan dengan membuka restoran tersebut.
Wanita dan kecantikan memang tidak boleh dipisahkan begitu juga dengan saya. Kemudian pada tahun 2017 saya mula berjinak-jinak dalam perniagaan atas talian dengan mempromosi produk kecantikan. Alhamdulillah, apa yang saya usahakan tidak sia-sia dan perjalanan perniagaan saya ini telah dipermudahkan oleh Allah SWT.
Saya bermula dari bawah tanpa menggunakan modal yang besar. Di fasa awal perniagaan ini saya melakukan semua proses daripada penghantaran, pembungkusan, penstoran dan sebagainya. Pendek kata ketika itu saya adalah majikan dan saya juga adalah pekerjanya. Operasi perniagaan juga bermula dari rumah sahaja,” tutur Eriyca memulakan bicara.
Noir Health & Beauty berkembang dengan pesat dan kini Eriyca boleh tersenyum bangga apabila operasi perniagaannya sudah mempunyai pejabat sendiri. “Saya bersyukur kerana usaha saya untuk menaikkan Noir Health & Beauty telah menampakkan hasilnya. Walaupun baharu sahaja setahun lebih beroperasi namun jenama ini sudah mampu berdiri kukuh dalam kelasnya yang tersendiri. Kedatangan tahun baru 2019 disambut dengan pembukaan pejabat baru Noir Health & Beauty.
Pembukaan pejabat baru ini lebih memudahkan operasi dan memberi peluang kepada wanita yang bersungguh-sungguh mahu mengubah kehidupan mereka. Saya mahu membantu wanita lain untuk menjana pendapatan dan dalam masa yang sama menjaga kesihatan dan kecantikan diri. Sudah lama saya tidak membuka peluang untuk ejen Noir Health & Beauty tetapi tahun ini saya mahu memeriahkan industri dengan kehadiran ejen baru.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!