Masih kekal berbisa dan tiada tandingan! Itulah ungkapan paling tepat yang boleh menggambarkan kehebatan persembahan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert ‘Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live in Arena of Stars’ baru-baru ini.
Gamat segenap ruang Arena of Stars, Resorts World Genting dengan sorakan dan sahutan gemuruh para peminat kesayangannya.
Konsert mega itu adalah bersempena dengan tiga dekad kegemilangan figura seni kelahiran Pahang ini dalam industri hiburan tanah air.
Datuk Seri Siti Nurhaliza menyampaikan rangkaian lagu popularnya yang telah mengukir sejarah tersendiri sepanjang 30 tahun perjalanan seninya yang penuh warna warni.
NONA kongsikan koleksi persalinan diilhamkan oleh tiga pereka fesyen tersohor tanah air iaitu Ezuwan Ismail, Samm Republic dan Ashraff Zainal yang berjaya menyerlahkan penampilan memukau legenda industri muzik tanah air ini.
Sebagai tanda penghargaan kepada tiga pereka pilihannya itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuat naik beberapa hantaran di Instagram peribadi yang memaparkan koleksi persalinan indahnya itu.
Ezuwan Ismail
Ads
Samm Republic
Ads
Ashraff Zainal
Solekan Magis!
Manakala wajah jelita Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat sentuhan magis jurusolek ternama yang sentiasa menjadi pilihannya iaitu Epie Temerloh.
Ternyata, bukan calang-calang mereka yang berada di belakang figura hebat ini. Masing-masing setiasa memberikan hasil yang terbaik buat artis nombor satu negara ini.
Makin Langsing
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata terpegun dengan perubahan fizikal isteri kesayangan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang semakin langsing.
Biarpun mencecah 46 tahun namun Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap tak dimamah usia. Awet muda!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siti Noor Radiah Ismail… satu-satunya wakil atlet paralimpik wanita yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, tiga tahun lalu. Kejayaan empat atlet paralimpik negara iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romly dan Siti Noor Radiah pada Sukan Paralimpik Rio 2016 nyata telah membuka mata rakyat tentang kebolehan atlet istimewa ini.
Mengimbas kembali pencapaian membanggakan mereka khususnya Siti Noor Radiah, meskipun sekadar meraih pingat gangsa dalam acara lompat jauh wanita kategori T20 (masalah pembelajaran), dia mengakui menerima tempias populariti yang tak pernah disangkanya selama ini.
“Kalau bercerita tentang diri saya, sejak kanak-kanak lagi sudah terbiasa dengan aktiviti lasak. Apa saja budak lelaki buat saya pun turut sama. Tapi sekarang dah kurang sedikit. Jadi lebih feminin mungkin sebab peningkatan usia dan naluri kewanitaan itu makin kuat,” selorohnya.
Daripada penampilan wanita yang lasak, Radiah tampak sangat menawan dalam persalinan gaun kembang kuning cair, Izz Ibrahim yang tersarung indah pada tubuh langsingnya. Potongan rambut lurus paras bahu Radiah menyempurnakan lagi sisi elegan gadis 25 tahun ini.
“Galakan untuk berjaya dalam sukan datang daripada diri sendiri tapi saya bersyukur kerana dapat dorongan daripada mak dan ayah. Memang dari kecil saya sudah menyimpan cita-cita untuk jadi atlet. Tak kisah dalam acara apa sekalipun asalkan ahli sukan.
Semasa di sekolah rendah saya kerap menemani ayah ke beberapa kejohanan sukan anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebab ayah merupakan bekas 21 Komando Gerak Khas di Kem Sungai Udang, Melaka.
Waktu di sekolah rendah juga saya sudah aktif dalam Sukan Paralimpiad dan dilatih Cikgu Huda untuk jadi wakil Melaka. Bila ayah bersara, kami berpindah ke Johor. Tahun 2006 saya jadi wakil negeri Johor pula.
Pertama kali saya jadi wakil Malaysia adalah pada tahun 2009 di Tokyo, Jepun tapi dulu tidak sepenuh masa. Tahun 2014 baru saya ditawarkan masuk ke MSN,” telus Radiah atau lebih dikenali sebagai Yaya dalam kalangan keluarga.
Radiah yang berkongsi jurulatih, Mohd Syahrul Amri Suhaimi bersama Latif dan rakan seperjuangan lain memberitahu latihan yang dijalankan terhadap mereka adalah sama. Namun jika terdapat kecederaan, setiap atlet akan ditugaskan menjalani latihan mengikut keupayaan fizikal dan kecergasan masing-masing.
“Dalam seminggu kami akan training enam kali sehari. Satu sesi latihan sebelah pagi bermula pukul 8 sampai 11 dan satu lagi pada waktu petang dari pukul 4 sampai 6.30 setiap hari sehingga Jumaat. Hari Sabtu pula cuma ada satu sesi pagi manakala Ahad kami cuti rehat.
Memang tidak lama tapi penat sebab kena berlatih lari saja untuk memantapkan stamina. Kami bukan hari-hari berlatih lompat jauh. Dalam dua ke tiga bulan sebelum perlawanan baru akan buat.
Kami juga ada pakar nutrisi yang mengawal diet pemakanan atlet. Selalunya kami akan makan apa sahaja. Walau bagaimana pun kena kawal makan lagi-lagi bila dekat hari pertandingan. Selain buat latihan bersama jurulatih, kadang-kadang saya akan keluar joging. Cabaran untuk jadi atlet terletak pada kekuatan mental. Sekalipun tidak boleh ikut latihan yang jurulatih sarankan tapi harus cuba.
Kalau tidak boleh juga baru maklumkan kepada jurulatih. Sebenarnya sejak di Incheon saya sudah mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan belakang. Baru-baru ini saya menjalani rawatan tulang belakang dan prosedur memasukkan gel dekat lutut. Bila rasa sakit sangat terpaksa makan ubat tahan sakit daripada doktor ISN.”
Tatkala ditanya pandangan beliau tentang perkembangan sukan tanah air, Radiah melahirkan rasa bangga kerana lebih ramai anak muda masa kini melibatkan diri dalam sirkit kejohanan.
Katanya, ia merupakan satu permulaan yang baik buat negara untuk mewujudkan persaingan sukan. Dalam masa sama berpeluang mencari pelapis baru. Semoga apa yang direncanakan atlet Paralimpik ini mampu direalisasikan seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Timbul suatu perasaan bangga apabila filem indie tempatan yang tajuk ‘Belaban Hidup: Infeksi Zombie’ mendapat pergiktirafan antarabangsa. Filem yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak sekali gus mempromosi budaya, kepelbagaian etnik serta bahasa tempatan Sarawak ini telah mencipta sejarah tersendiri.
Filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd itu melakar sejarah apabila memenangi kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival Singapore 2021 pada 18 Mac lepas. Malah pada 27 Mac lalu, filem ini sekali lagi mengukir nama apabila memenangi kategori Filem Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival (ISAFF) di St Petersburg, Rusia.
PENGIKTIRAFAN
Siapa sangka, kejayaan filem ini telah mendapat perhatian dan mendapat pujian daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Penerbit dan penulis skrip filem ini, Misha Minut Panggau begitu terharu apabila hasil karyanya mendapat pujian daripada Perdana Menteri, “Ya, filem ini pernah mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata-kata beliau membuatkan saya rasa sungguh terharu sehingga menitis air mata kegembiraan. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas ucapan tahniah dan saya juga sangat berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana memberi saya peluang untuk menerbitkan sebuah feature film yang memaparkan cerita berkaitan dengan budaya adat bangsa saya.
Jujurnya, ini telah memberikan satu semangat kepada saya untuk membuat cerita filem yang lebih baik di masa akan datang,” tutur wanita keturunan Iban ini memulakan bicara.
Wanita yang mempunyai kelulusan Diploma Film Directing Asian Metropolitan University ini turut terharu apabila mendapat pengiktirafan antarabangsa. “Tak pernah saya jangka, filem Belaban Hidup akan mendapatkan pengiktirafan dari negara luar. Rasa sangat terharu, gembira dan sangat teruja dengan pengiktirafan yang diberikan.
Inspirasi filem ini bermula daripada membuat cerita pendek, dan sememangnya telah lama tersimpan impian di hati ingin membuat cerita yang berkaitan dengan budaya budaya unik kaum etnik. Cerita-cerita dari Korea dan Thailand banyak memaparkan budaya kehidupan mereka menyuntik inspirasi sehingga tergerak untuk membuat cerita yang diinspirasikan daripada gaya kehidupan Masyarakat Iban,” ungkap wanita yang juga mempunyai kerjaya sebagai jurusolek ini.
HARAPAN
Ibu kepada tiga orang ini menyimpan impian agar filem ini mendapat sokongan ramai dan meraih kutipan box office. Dalam pada itu, khabarnya wanita yang berusia 49 tahun ini dalam perancangan melaksanakan projek baharu.
“Ya, akan akan filem lain selepas ini, dan kali ini akan bergabung dengan film maker dari luar negara. Kemungkinan besar kali ini saya akan menggabungkan pelakon dari luar negara dengan pelakon tempatan. Buat masa ini, saya juga sedang membuat persediaan untuk penggambaran sebuah movie bertajuk “KABAN” yang menggunakan bahasa Iban sepenuhnya,” terangnya mengakhiri perbualan kami.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terharu mendengar impian Noor Akmal Fadzila Ibrahim tentang matlamat utamanya menceburi bidang perniagaan. Jelas usahawan berusia 46 tahun ini, pembabitannya dalam dunia keusahawanan bukan berpaksikan kepada keuntungan semata-mata. Sebaliknya dia mempunyai misi lebih besar iaitu mahu memartabatkan golongan Muslimah.
Tahun ini merupakan tahun kelapan penubuhan pusat spa kecantikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic, sebuah pusat rawatan wajah dan estetik khusus untuk Muslimah yang diasaskan pada tahun 2018. Noor Akmal Fadzila atau mesra disapa Noor memberitahu sebelum ‘terjun’ dalam bidang perniagaan kecantikan, dia pernah bertugas sebagai jurutera teknologi maklumat (IT) dan komunikasi.
Seri Wajah Muslimah Aesthetic diposisikan sebagai spa Muslimah patuh syariah yang mengutamakan privasi, keselesaan dan ketenangan jiwa. Setiap rawatan dikendalikan sepenuhnya oleh therapist wanita terlatih dalam suasana tertutup, memastikan aurat pelanggan sentiasa terjaga daripada bukan mahram.
Bagi Noor, konsep ini bukan sekadar strategi perniagaan, sebaliknya satu keperluan yang jarang diberi fokus dalam industri kecantikan arus perdana. Justeru Seri Wajah Muslimah Aesthetic bukan hanya menawarkan rawatan wajah dan estetik, tetapi juga berperanan sebagai ruang selamat untuk Muslimah merehatkan diri, memulihkan emosi dan membina keyakinan diri.
CEBURI BISNES
Mengulas lanjut, idea untuk membina empayar perniagaan ini terdetik kerana pengaruh dua individu yang cukup bermakna dalam hidupnya.
“Dua orang yang banyak mengubah saya ialah arwah ayah dan suami, Baiatur Ridzwan Ibrahim. Selepas perkahwinan kali kedua, baru saya menceburkan diri dalam bidang kecantikan atas dorongan arwah ayah dan suami.
Kalau ikutkan arwah ayah tidak menggalakkan saya berbisnes. Dia tidak menghalang dan tidak juga terlalu menggalakkan sebab ayah kata perniagaan ini banyak ups and downs. Tapi arwah ayah guide saya dari jauh,” ujarnya sambil menahan sebak.
Akui Noor, hatinya mudah tersentuh setiap kali bercerita mengenai arwah ayah. “Dia pernah jatuh bankrap disebabkan perniagaan. Jadi saya faham, dia tak nak anak-anak lalui benda yang dia rasa dulu. Arwah ayah pernah ada bisnes sendiri dalam bidang IT dan communication.”
Berbekalkan dorongan tersebut, Noor melangkah berani bergelar usahawan dan optimis membuka sebuah spa kecantikan holistik khusus buat Muslimah merawat serta membelai diri setelah seharian mengurus keluarga dan kerjaya.
Dalam masa sama, dia mahu menjadikan Seri Wajah Muslimah Aesthetic sebagai satu bentuk fardu kifayah baginya dalam memelihara kesucian agama Islam dan martabat Muslimah.
“Istimewanya Seri Wajah Muslimah Aesthetic kerana kami khas untuk wanita beragama Islam saja. Kami bukan racist, tetapi sebagai seorang Muslimah saya rasa terpanggil untuk menjaga keperluan golongan ini.
Di spa ini, pelanggan dapat menjalani rawatan dalam keadaan tenang dan selesa tanpa risau aurat mereka terdedah kepada bukan mahram. Bagi saya, ini ibarat satu fardu kifayah dan juga dakwah kecil dalam perniagaan.
Sekurang-kurangnya saya dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat di Malaysia,” tegas Noor yang merupakan graduan Sarjana Pengurusan Kejuruteraan, University of Sunderland, United Kingdom dan Ijazah Kejuruteraan Elektrikal, Universiti Malaya (UM).
Sehingga kini, Seri Wajah Muslimah Aesthetic telah berkembang pesat dengan 15 cawangan di seluruh Malaysia, merangkumi Lembah Klang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pantai Timur.
CABARAN
Sepanjang lapan tahun mengemudi empayar perniagaan, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini tidak terlepas daripada ujian. Beranggapan ia adalah lumrah bagi setiap usahawan, Noor memaklumkan situasi ketika negara dilanda pandemik Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang menguji kemampuannya selaku majikan.
Perniagaan berlandaskan servis kecantikan menjadi sektor pertama yang diarahkan tutup dan sektor terakhir yang dibenarkan beroperasi semula sekitar tahun 2020 hingga 2021. Hampir dua tahun Noor dan suami berjuang membayar gaji para pekerja yang ketika itu mencecah hampir 100 orang.
“Saya tak boleh berhentikan semua staf sebab perlu fikir jauh ke depan. Awalnya kami buat jualan secara online dan alhamdulillah strategi itu berjaya.
Masuk tahun seterusnya, saya dan suami nekad membeli durian Musang King di Raub, kopek di rumah, pek dan jual di Kuala Lumpur. Selain itu kami juga pernah menjual nangka dari Lanchang.
Saya sangat terharu dengan inisiatif team saya yang sanggup memasak dan berniaga tepi jalan demi meneruskan kelangsungan hidup. Walaupun susah, mereka tetap berjuang bersama Seri Wajah Muslimah Aesthetic,” luahnya penuh syukur.
Dalam landskap industri kecantikan yang semakin kompetitif, Noor menyedari kepentingan untuk sentiasa peka dengan teknologi dan rawatan terkini agar Seri Wajah Muslimah Aesthetic kekal relevan serta menjadi pilihan utama pelanggan.
KEJAYAAN
Menyentuh pencapaian sehingga kini, Noor bersyukur empayar perniagaan yang diusahakan selama lapan tahun membawa pulangan memberangsangkan. Pada tahun 2025 sahaja, Seri Wajah Muslimah Aesthetic berjaya merekodkan jualan tahunan sebanyak RM11 juta.
Namun bagi Noor, kejayaan sebenar bukan terletak pada angka semata-mata.
“Pada saya, pencapaian paling bermakna ialah apabila seorang Muslimah datang ke Seri Wajah, mereka keluar dengan keyakinan diri yang lebih baik, masalah kulit yang berkurangan dan emosi yang lebih tenang.
Kami bukan sekadar spa rawatan kulit, tetapi juga terapi emosi untuk Muslimah. Itulah definisi kejayaan sebenar bagi saya.”
Ditanya mengenai hala tuju Seri Wajah Muslimah Aesthetic dalam tempoh 10 tahun akan datang, Noor menyatakan hasrat untuk menjadikan jenama ini sebagai rujukan utama spa Muslimah di Malaysia dan rantau ini.
Selain merancang pembukaan lebih banyak cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, Noor turut beraspirasi melahirkan lebih ramai therapist dan usahawan Muslimah, sekali gus memperkasakan wanita dari sudut ekonomi, emosi dan spiritual.
“Saya mahu Seri Wajah Muslimah Aesthetic menjadi platform untuk Muslimah berkembang — bukan sahaja cantik secara luaran, tetapi kuat dari dalam. Jika lebih ramai Muslimah boleh dibantu melalui perniagaan ini, itulah kejayaan yang ingin saya capai.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!