TENGKU EZULIA Doktor di Hospital, ‘Social Influencer’ Di Instagram

TENGKU EZULIA Doktor di Hospital, ‘Social Influencer’ Di Instagram

Tidak lokek dengan senyuman dan ramah, Dr Tengku Ezulia, wanita berusia 31 tahun memilih kerjaya profesional sebagai pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Orangnya bukan sahaja cantik, berperwatakan menarik ditambah dengan kebijaksanaannya merencanakan kehidupan demi masa depan menjadi kelebihan buat dirinya kerana bukan calang-calang individu boleh mendapat gelaran doktor pakar dalam usia yang begitu muda.

Walaupun rutin hariannya sebagai doktor perubatan yang sibuk dengan pelbagai tugasan yang perlu dilaksanakan, dia tidak pernah merasa terbeban lantaran minat yang mendalam dalam bidang ENT sejak kecil lagi.

“Saya mengambil masa lapan tahun untuk membina karier pada tahap kini dan berjaya memenuhi sebahagian daripada impian untuk mendalami pengkhususan telinga, hidung dan tekak (ENT).  Malah, saya memilih cabang tersebut kerana merasakan ENT adalah masalah biasa yang dialami sesiapa sahaja”, jelasnya yang mesra dipanggil Dr Lea.

Wanita kelahiran Kota Bharu Kelantan ini mahu menjadi antara orang yang mampu mengatasi masalah berkaitan ENT selain melihat peluang kerjaya dalam bidang itu terbentang luas kerana tidak ramai yang mahu menceburinya.

“Saya sendiri dihujani dengan pelbagai pertanyaan berkaitan dengan ENT sejak saya menceburi bidang perubatan. Namun apa jua bidang yang saya pilih, yang penting tetap digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya yang turut menerima tawaran memperaga fesyen (modeling) jika mempunyai masa terluang.

Ujar Dr. Lea, ENT memberi cabaran yang tersendiri yang mana telinga, hidung dan leher melibatkan lokasi kritikal berhubung dengan organ-organ penting seperti otak, mata, rongga pernafasan, salur darah yang besar pada leher dan saraf-saraf penting.

Kefahaman dari segi 
anatomi dan kemahiran 
yang tinggi diperlukan 
untuk seseorang 
itu mahir dalam bidang tersebut. Dia juga tidak menolak untuk menambahkan lagi kepakarannya dalam bidang rinologi dan pangkalan tengkorak untuk meletakkan satu lagi tahap pencapaian yang diimpikan.

Di hospital saya merupakan seorang doktor bukan social influencer. Saya tidak akan sesekali mencampur-adukkan antara minat dan kerjaya. Walaupun ramai yang mengenali saya aktif di Instagram, saya masih meletakkan batasan untuk membawa imej fashionista apabila mula menyarung uniform kerja terutama apabila masuk ke dewan bedah kerana saya perlu mematuhi setiap etika kedoktoran,” katanya yang amat mementingkan kualiti dalam kerjaya dan kehidupan.

Bercerita pula peranannya sebagai social influencer, sememangnya Dr Lea tidak pernah menganggap ianya sebagai satu batu loncatan untuk glamor dan dikenali. Malah, Dr Lea menggunakan platform tersebut untuk mendidik wanita muda untuk berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Saya melihat industri fesyen dan kecantikan sentiasa dimeriahkan oleh mereka yang mempunyai kerjaya profesional. Agak sayang jika mereka meninggalkan kerjaya mereka demi populariti dan wang ringgit semata-mata.Sebagai golongan muda yang masih mempunyai kudrat, jangan takut untuk mencuba sesuatu lebih daripada kemampuan diri walaupun nampak mencabar.

“Tidak menjadi satu masalah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa kerana banyak benda yang boleh dipelajari di samping menimba pengalaman.Saya sendiri banyak menerima respons daripada pelajar-pelajar perubatan dan doktor pelatih yang mengatakan mereka terbeban dan penat dengan dunia perubatan.

“Pendapatannya mungkin tidak berbaloi dengan apa yang mereka lakukan sekarang, tetapi saya telah berjaya melakukannya dan saya tahu betapa ia ‘bernilai’. Percayalah, semuanya akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Cuba untuk bertahan dan fikirkan kembali niat sebenar sebelum terjun ke bidang yang dipilih. Populariti bukan segalanya, biarlah ia ‘berisi’ dengan ilmu dan kemahiran kerana itulah yang akan mencerminkan diri kita,” ujarnya yang sempat menitipkan nasihat sebelum mengakhiri bicara.

Jangan Ambil Ringan Bila SAKIT KEPALA Menyerang, Boleh Jadi Penyakit Serius!

Jangan Ambil Ringan Bila SAKIT KEPALA Menyerang, Boleh Jadi Penyakit Serius!

Usah pandang remeh masalah sakit kepala. Terdapat lebih daripada satu jenis sakit kepala dan pada masa yang sama ia mungkin petanda penyakit yang lebih teruk daripada sekadar sakit kepala. Kira-kira 99% daripada masyarakat mengalami sakit kepala yang kerap atau sesekali dalam kehidupan mereka. Jadi, untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, ia adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang betul.

Jenis-jenis sakit kepala yang paling biasa dihidapi adalah migrain dan sakit kepala ketegangan atau stres. Ia biasanya datang dan pergi mengikut cara perawatannya tersendiri.

1. Sakit kepala Migrain

  • Lazimnya sakit kepala ini agak memeritkan. Kepala akan berasa berdenyut-denyut dan berlarutan dalam beberapa jam atau hari. Ia lebih kerap dialami oleh wanita dan di kalangan keluarga. Gejala-gejala yang digambarkan bagi penghidap migrain ialah penglihatan yang kabur, lampu atau cahaya kelihatan berkelip-kelip diikuti sakit kepala berdenyut-denyut, biasanya di sebelah kepala.
  • Kebanyakan penghidap juga akan mengalami muntah-muntah, atau sesekali gangguan emosi dan memerlukan rehat seperti berbaring untuk mengurangkan rasa sakit.

 

2. Sakit Kepala Ketegangan

  • Ia dikaitkan dengan pengaruh persekitaran dan gaya hidup. Keadaan ini walaupun tidak spesifik di mana-mana bahagian kepala, tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan pada diri penghidap.
  • Lazimnya gejala yang dialami berpanjangan (berlarutan), gangguan tidur di samping menyebabkan sakit-sakit pada bahagian leher serta kurang semangat. Penghidap juga akan cepat marah dan tidak hanya perlu ubat tetapi juga rawatan kaunseling dan psikoterapi.

3. Sakit kepala Kluster (berkelompok)

  • Ia jarang berlaku tetapi lebih biasa di kalangan lelaki. Biasanya berlaku sesekali atau jika lebih kerap pun, setiap hari dan setiap hari selama 12 minggu sehingga tempoh kluster berakhir.
  • Kesakitan yang dialami biasanya di bahagian salah satu mata. Bahagian mata dan hidung yang sama sakit, boleh menjadi merah, bengkak dan berair. Sakit kepala kluster ini juga boleh menyebabkan kegelisahan. Biasanya kesakitan dialami untuk beberapa minit atau jam, tetapi biasanya ia berlangsung selama 45 hingga 90 minit.

 

4. Sakit kepala Rebound (berbalik)

  • Ia juga dikenali sebagai sakit kepala ‘ubat berlebihan’ dan boleh muncul setiap hari. Ia boleh jadi disebabkan penggunaan ubat penahan sakit secara berulang. Sakit kepala Rebound biasanya bermula seawal pagi. Kesakitan juga boleh berbeza-beza setiap hari.
  • Mereka yang menghidapi masalah ini mungkin mengalami loya, kebimbangan, cepat marah, kemurungan atau tidak dapat tidur. Pengambilan sebarang ubatan pain killer secara berterusan lebih daripada 10 hari dalam sebulan dan ini boleh meletakkan anda pada risiko untuk pulih daripada sakit hanya beberapa bulan.

5. Sakit kepala Sekunder (pertengahan)

  • Sakit kepala ini mungkin jarang berlaku tetapi ia adalah lebih serius dan boleh mengancam nyawa berbanding sakit kepala prima. Ini kerana ia boleh dikaitkan dengan ciri-ciri klinikal seperti sawan atau kelemahan pada anggota badan (lumpuh), ketidakstabilan semasa berjalan kaki, demam, kekakuan leher dan sebagainya.
  • Sakit kepala seperti ini perlu dipandang serius kerana ia kerap dikaitkan dengan masalah keabnormalan saluran darah (aneurisme) atau tumor otak, jangkitan atau penyakit radang.

Ada beberapa cara rawatan yang biasanya disyorkan pakar kepada pesakit.

  • Rawatan profilaktik migrain sama ada topiramate atau Jika kedua-dua rawatan ini tidak sesuai atau berkesan, pesakit boleh mencuba sesi akupuntur selama 10 sesi selama tempoh 5-8 minggu atau gabapentin.
  • Rawatan akut yang menawarkan kombinasi terapi dengan triptan lisan dan NSAID atau satu triptan lisan dan parac Bagi mereka yang berusia 12-17 tahun, disyorkan triptan hidung berbanding triptan lisan.
  • Bagi pesakit kluster, biasanya disyorkan menggunakan rawatan oksigen atau triptan subcutaneous atau triptan hidung.
  • Bagi pesakit Rebound, dinasihatkan berhenti mengambil ubat-ubatan secara berlebihan.
Restoran di Shah Alam, UNCLE ALI THE FISHMONGER Penuhi Selera Peminat Hidangan Laut!

Restoran di Shah Alam, UNCLE ALI THE FISHMONGER Penuhi Selera Peminat Hidangan Laut!

Tidak perlu memandu jauh untuk menikmati hidangan laut segera apabila restoran Uncle Ali The Fishmonger mampu memenuhi selera besar peminat hidangan itu. Restoran yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam ini mengetengahkan konsep hidangan panas makanan laut.

Apa yang lebih menarik, pelanggan bukan sahaja boleh menikmati pelbagai hidangan tempatan dan barat di Uncle Ali & The Fishmonger, malah boleh memilih pelbagai ikan segar pada kualiti terbaik di bahagian bawah restoran ini. Selain itu, servis pada kualiti hotel mampu membuatkan peminat hidangan makanan laut akan terpaut dengan menu di restoran berkenaan.

Selain ruang di tingkat bawah, ia turut menyediakan ruang makan yang selesa di tingkat atas dengan menggunakan beberapa dekorasi bertemakan makanan laut sebagai elemen utama hiasannya. Penggunaan rona biru juga memberi imbasan suasana laut yang mendamaikan serta keselesaan diberi keutamaan untuk para pengunjung tatkala menikmati hidangan.

Menurut Pengurus Uncle Ali & The Fishmonger, Encik Ali, restoran yang dibuka pada April 2017 ini menyediakan dua servis perniagaan yang berasaskan makanan laut iaitu sebuah pasar premium makanan laut selain restoran yang menyajikan masakan terpilih berasaskan produk makanan laut. Selain itu, menu utama restoran pula menggabungkan masakan barat dan tempatan.

“Antara menu best seller yang sering menjadi pilihan para pelanggan di sini termasuklah fish and chips. Apa yang istimewa ialah ia dihasilkan dengan menggunakan ikan tempatan selain menu tradisi seperti kari dan asam pedas yang sering menjadi pilihan para pelanggan,” ujar Encik Ali mengenai keistimewaan menu yang dihidangkan di restoran tersebut.

Tambah Encik Ali lagi, sebagai sebuah restoran yang diusahakan secara persendirian, ia berusaha menjanjikan masakan yang lazat menggunakan bahan asli yang segar dari laut terus ke meja hidangan para pelanggan. Menyentuh aspek penyediaan menu pula, setiap hidangan laut di Uncle Ali The Fishmonger mengekalkan keenakan bahan utama iaitu rasa kesegaran ikan mahupun hidangan laut itu sendiri.

Oleh itu, jika anda penggemar hidangan makanan laut, usah lepaskan peluang untuk menikmati hidangan di Uncle Ali The Fishmonger yang bukan sahaja menawarkan keperlbagaian hidangan makanan laut yang enak, malah anda dapat membeli hasil makanan laut segar dari pakar yang boleh berkongsi menu yang bersesuaian dengan makanan laut yang dipilih selain tahap kesegaran makanan laut pada tahap premium khusus untuk anda yang mementingkan kesegaran hidangan makanan laut yang bakal dinikmati!

Avokado & Tomato Antara 10 Jenis SAYURAN Berstatus VIP, Memang Kaya Dengan Vitamin!

Avokado & Tomato Antara 10 Jenis SAYURAN Berstatus VIP, Memang Kaya Dengan Vitamin!

Semua sayuran adalah berkhasiat. Setiap satunya tinggi dengan antioksidan, mineral, serat dan vitamin yang penting untuk mencegah penyakit serta memelihara kesihatan secara menyeluruh. Kerana sifatnya yang rendah kalori, maka tidak ada sesiapa yang akan gemuk jika makan brokoli atau lobak secara berlebihan. Nona mengenal pasti 10 jenis sayuran V.I.P atau Very Important Plant yang sesuai dijadikan diet harian serta berkhasiat untuk mencegah penyakit secara semula jadi.

ASPARAGUS

Sangat kaya dengan vitamin A, C, E dan K, termasuklah kromium, iaitu mineral baik yang menentang diabetes. Ia membantu menyingkirkan gula agar keluar daripada saluran darah dan ke luar sel. Asparagus juga mengandungi antioksidan seperti glutathione yang membantu mencegah kanser, bersifat diuretik dan boleh mengurangkan risiko batu karang dalam buah pinggang.

 

AVOKADO

Sejenis buah yang kaya dengan asid oleic iaitu lemak mono tak tepu yang merendahkan paras kolesterol jahat, mencegah diabetes, sindrom metabolik, strok dan penyakit jantung. Ia juga membantu mengekalkan BMI tubuh yang sihat.

BAYAM

Popeye memilih bayam kerana manfaat berkembarnya; zat besi dan magnesium untuk memaksimumkan tenaga, mengekalkan fungsi otot dan saraf serta merangsang imuniti. Ia turut membantu merendahkan tekanan darah dan menormalkan degupan jantung.

 

BROKOLI

Kaya dengan vitamin A, C, K dan B-kompleks, serat, kalsium, zat besi, zink dan fosforus untuk menjaga kesihatan mata, kulit, merangsang imuniti serta mencegah osteoartritis. Brokoli juga dikatakan baik untuk menghalang kanser melalui khasiat enzim myrosinase serta antioksidan pekat sulforophane.

 

BOK CHOY

Kubis Cina ini mendaki tangga sayuran paling bernutrisi menurut kajian yang disiarkan oleh US Centers for Disease Control and Prevention pada tahun 2014. Bok Choy menawarkan kalsium untuk tulang dan potassium untuk merendahkan paras tekanan darah, selain membekalkan vitamin A dan C, asid folik dan besi.

 

CENDAWAN

Ini merupakan satu-satunya tumbuhan semula jadi yang membekalkan vitamin D, yang berfungsi untuk mencegah sel kanser merebak dan mengatur selia pertumbuhan sel. Cendawan juga mengandungi folat untuk menentang kanser serta selenium untuk detoksifikasi dan meningkatkan pertahanan tubuh terhadap tumor atau infeksi.

 

KALE

Secawan sayuran hijau ini dapat membekalkan 1,180% daripada nilai vitamin K yang disarankan, sekali gus merangsang kesihatan tulang dan mencegah masalah serangan jantung. Ia juga padat dengan vitamin A, C dan manganese, iaitu antioksidan penting bagi menentang radikal bebas untuk melawan kanser, menguatkan imuniti dan merendahkan tekanan darah. Ia juga memiliki agen anti-inflamasi yang meredakan asma dan artritis. Kandungan seratnya pula dapat mengawal gula darah dan membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

LADA KUNING

Dengan kandungan dua kali ganda lebih vitamin C daripada oren biasa, pengambilan lada kuning ini amat baik untuk meningkatkan sistem imun anda. Ia juga kaya dengan vitamin A untuk memberi penglihatan yang tajam, vitamin B untuk membantu otak menghasilkan neurotransmitter serta manganese untuk menyihatkan tulang dan mencegah osteoporosis.

 

TOMATO

Buah berwarna merah ini membekalkan kebaikan serat, potassium, vitamin C dan choline yang saling bekerjasama untuk merendahkan tekanan darah serta meningkatkan fungsi pengaliran darah. Ia juga merangsang penghasilan kulit yang sihat dengan membantu menjana kolagen untuk mengurangkan kerosakan suria, memudarkan kedutan dan mencerahkan kompleksi kulit.

 

ZUCHINI

Sayuran ini membekalkan asid lemak Omega-3 yang dikenali sebagai alpha-linolenic acid (ALA) yang baik untuk mengurangkan inflamasi. Ia juga sarat dengan antioksidan, manganese, karatenoid, lutein dan zeaxanthin. Disebabkan kandungan nutrien VIP di dalamnya seperti choline, zink dan magnesium, zuchini mampu merendahkan tekanan darah, mengawal gula darah serta mencegah radikal bebas.

‘Terliur’ Tengok Hidangan Lamb Chop Bersama Sos Bawang Putih Di RESTORAN QUATET, Kena Cuba Ni!

‘Terliur’ Tengok Hidangan Lamb Chop Bersama Sos Bawang Putih Di RESTORAN QUATET, Kena Cuba Ni!

Aroma kopi yang sedang disediakan oleh barista dari ruang tengah kafe sudah cukup menarik perhatian kami sebaik memasuki Restoran Quatet yang terletak di Lorong Datuk Sulaiman 7, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur ini. Ditambah pula dengan alunan muzik perlahan, ia terus sahaja menjerat kami melayan secangkir kopi sembil meneliti menu yang disediakan.

 

Nuim, pengurus restoran memberitahu Quatet sudah beroperasi sejak tiga tahun lepas dan kini memulakan operasi perniagaan pada pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam sahaja. Selain popular dengan pelbagai cita rasa minuman sejuk dan panas untuk teh dan kopi seperti latte, cappucino dan mocca, minuman chocolate, soda dan jus. Restoran hanya menyediakan masakan barat untuk hidangan sarapan, tengah hari dan juga petang.

“Pelanggan yang datang awal pagi, boleh memilih menu sarapan lebih ringan seperti roti bakar yang boleh dinikmati dengan sapuan seperti mentega kacang, kaya, coklat dan strawberi.  Bagi anda yang datang untuk sarapan lewat pagi , boleh memilih The Big Breakfast yang mengandungi  telur, sosej kacang panggang, tumisan cendawan dan juga pilihan hirisan daging atau ayam panggang.   Ia lebih besar dan boleh merangkap makan tenga hari. Set menu lain untuk sarapan ini termasuklah set Eggs Benedict, Smoked Salmon Bagel dan Beef Breakfirst Bagel.

“Jika datang selepas pukul 12.00 tengah hari, tidak ada lagi menu sarapan dihidangkan.  Sebaliknya hanya menu tengahari kami sediakan. Antara menu pilihan ramai pelanggan di sini ia adalah Lamb Chop. Daging kambing panggang ini dihidangankan bersama sos bawang putih dan hidangan sampingannya kentangLamb  goreng,” ujar Nuim.

Anda juga boleh mencuba set Grilled Chicken, The Chicken Sandwich The Beef Sandwich atau pelbagai jenis masakan spageti. Antaranya Carbonara, Aglio Olio dan Bolognese. Turut disediakan kudapan ringan, seperti kentang goreng, roti bakar, kek, brownies dan donut untuk pelanggan yang tidak mahukan hidangan berat.

Sesuatu yang menarik tentang Quatet, kebanyakan pelanggan yang datang adalah pelanggan tetap.  Sebahagian besarnya dari kalangan kejiranan TTDI, mereka yang bekerja di TTDI. Malah ada yang sudah berpindah masih datang ke sini dan tidak kurang juga datang atas saranan kawan-kawan.

“Jika hari-hari bekerja, kebanyakan pelanggan yang masuk terdiri dari mereka yang bekerja di sini sama makan sendiri atau meraikan rakan bisnes mereka. Tidak kira pagi, tengah hari atau petang.

“Hari Sabtu dan Ahad, kebanyakan pelanggan dari kalangan kejiranan TTDI. Biasanya mereka datang selepas beriadah dan berjogging bersama ahli keluarga atau jiran-jiran sambil menjamu selera bersama di sini dalam suasana yang harmoni dan selesa tanpa gangguan,” cerita Nuim seronok bila bila pelanggan menzahirkan rasa puas hati bila keluar dari Quatet.

Ceritanya lagi, mereka cuba untuk memberikan kepuasan bukan selera makan, tetapi turut memberi keselesaan dan keseronokan pelanggan sepanjang menikmati hidangan seperti makan di rumah sendiri.  Anda yang belum pernah datang, boleh masukkan Quatet dalam senarai restoran yang bakal anda kunjungi bersama famili dan rakan-rakan.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: