Tan Sri Zaharah Wanita Kedua Pegang Jawatan HAKIM BESAR MALAYA, Berpengalaman Lebih 40 Tahun Dalam Bidang Perundangan!

Tan Sri Zaharah Wanita Kedua Pegang Jawatan HAKIM BESAR MALAYA, Berpengalaman Lebih 40 Tahun Dalam Bidang Perundangan!

Wow, bangga bila kredibiliti kaum wanita sekali lagi diperakui dan diangkat menyandang jawatan tertinggi dalam institusi perundangan negara. Apa yang pasti pencapaian Tan Sri Zaharah Ibrahim ini mampu menjadi suntikan semangat buat para wanita terutamanya yang berkecimpung dalam bidang undang-undang untuk memasang impian menyandang jawatan sama suatu hari nanti.

Jujurnya, rasa terharu dan sebak saat menyaksikan upacara angkat sumpah tersebut yang berlangsung semalam. Kejayaan Tan Sri Zaharah membuktikan setiap wanita berpeluang menjadi individu penting dalam sesebuah organisasi asalkan mempunyai pemikiran yang tajam dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Dengan selesainya upacara berkenaan, sekaligus menjadikan wanita berusia 66 tahun ini memegang jawatan ketiga tertinggi dalam institusi perundangan Malaysia. Bukan calang-calang tugas tu!

Tan Sri Zaharah menggantikan jawatan yang dipegang Tan Sri Ahmad Maarop yang kini dilantik Presiden Mahkamah Rayuan. Sebelum ini, Tan Sri Datuk Siti Norma Yaakob pernah diberi kepercayaan menggalas tugas Hakim Besar Malaya pada tahun 2005 hingga 2007 sekaligus menjadikan beliau wanita pertama menerima pengiktirafan besar itu.

Hadir menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan ialah Peguam Negara Tommy Thomas, wakil Bar Malaysia, Roger Chan dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop.

Tan Sri Zaharah dilahirkan di Johor Bahru pada 17 November 1952 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Pontian sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru. Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang.

Kerjaya beliau dalam bidang perundangan bermula pada 26 April 1977 sebagai Pegawai Undang-undang (Sangkut) sebelum dilantik dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Majistret Melaka Tengah dan Majistret Litar di Alor Gajah, Jasin, Masjid Tanah dan Merlimau.

Selain itu beliau juga menjawat jawatan Penolong Kanan Penggubal Undang-undang  Parlimen dari 1 Januari 1981 hingga 15 Februari 1992 di Seksyen Bahasa Melayu dan Bahasa Kebangsaan di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Tan Sri Zaharah kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Harta Intelek di Bahagian Harta Intelek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 16 Februari  hingga 15 Julai 1992. Beliau seterusnya menjadi Timbalan Penggubal Undang-undang Parlimen (ll) pada 16 Julai 1992 hingga 31 Mac 1994 sebelum dilantik Penasihat Undang-undang Negeri Selangor.

Sementara itu pada 1 Ogos 1996 beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya dan memulakan perkhidmatan sebagai hakim mahkamah atasan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam. Terdahulu, Tan Sri Zaharah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 16 Februari 2015.

Sumber: Sinar Harian

 

Datin Diana Danielle  Pegang Nasihat Ibu Dalam Melayari Bahtera Perkahwinan

Datin Diana Danielle Pegang Nasihat Ibu Dalam Melayari Bahtera Perkahwinan

Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri tanpa mengira darjat atau warna kulit pasti mengimpikan kehidupan bahagia bersama pasangan kekal sehingga ke jannah. Namun, sudah menjadi lumrah kehidupan dalam setiap perhubungan pasti akan diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai cara secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri tersebut.

Pasangan selebriti yang sama cantik sama padan, Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle juga seperti pasangan suami isteri lain yang tidak terkecuali diuji dalam melayari kehidupan berumah tangga. Berkahwin pada 3 November 2012 dan kini telah pun dikurniakan dengan sepasang cahaya mata yang comel, Muhammad dan Nur Aurora.

Ramai wanita dan juga isteri di luar sana yang mengagumi sikap Datin Diana yang kelihatan begitu tenang dalam menghadapi ‘situasi sukar’ apabila suaminya menghadapi dugaan kehidupan sedikit masa lalu. Mencungkil rahsia ketenangan yang diperoleh wanita pan asian ini, “Saya rasa setiap orang ada masa-masa yang getir dalam kehidupan.

Sebagai manusia biasa, kita perlu beri peluang dan ruang untuk berkembang. Di saat dia jatuh bagi dia masa untuk bangun balik. Itu adalah perkara yang di ajar oleh mak saya sejak daripada dulu lagi. Pengalaman melihat ibu saya menghadapi dugaan naik turun naik turun dalam bisnes, menempuh ujian dalam kehidupan serta menghadapi situasi sakit dan sebagainya benar-benar mengajar saya erti sebuah kehidupan.

Sebagai seorang anak kita tak pernah pun terfikir nak abaikan ibu kita yang sedang menghadapi dugaan sebab beliau adalah darah daging kita sendiri. So, apa pula bezanya suami. Dalam keadaan yang macam itu, kita fikir balik suami sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan keluarga kita. Orang kata bila kita tua-tua nanti pun dia lah juga akan menjadi peneman kita.

Saya juga sering ingat dan semat dalam hati pesan dan kata-kata orang tua kita, apabila diuji dengan dugaan yang kecil kita dipermudahkan dengan sikap tolak ansur dan memaafkan. Tak perlu diperbesarkan masalah yang ada atau mahu menyusahkan lagi keadaan. So daripada situ kita cuba bertindak untuk kebaikan keluarga bukan hanya untuk kebaikan pasangan sahaja,” bicara Datin Diana dengan tenang.

Kehidupan selebriti kini lebih terdedah dengan kritikan netizen di laman sosial yang kadang-kadang boleh mempengaruhi kehidupan. Namun, Datin Diana mengambil pendekatan yang bijak dengan tidak membaca langsung kritikan yang dilemparkan oleh netizen. Menurut wanita tinggi lampai ini, tindakan tidak membaca kritikan itu adalah jalan yang terbaik supaya tidak memberi reaksi yang dimahukan oleh mereka.

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Datin Diana kini sedang sibuk mengendali program Kata Serasi untuk siaran NTV7. Rancangan ini mengetengahkan isu-isu keluarga, perhubungan antara pasangan, dan membongkar segala isu mengenai perspektif lelaki dan wanita yang dihoskan bersama Naz Rahman.

Ketika diajukan pertanyaan tentang perniagaan kosmetik yang diceburi sedikit masa lalu, “Selepas melahirkan anak kedua saya dah tak boleh nak tanggung komitmen menguruskan perniagaan. Sebab semuanya saya buat sendiri dan partner saya juga sudah ke luar negara. Bebanan komitmen tersebut dah buat saya sampai jatuh sakit.

Namun saya ada membuat perancangan untuk mulakan balik atau penjenamaan semula cuma saat dan ketika ini memang saya tak mampu. Fikir tentang perniagaan itu pun saya rasa lelah. Banyak pelanggan yang bertanya kenapa tak bagi pada stockist tapi saya tak pandai nak membuat urusan sebegitu. Era saya dulu bukan macam itu. Lebih baik saya stop dulu dan nanti bila ada kelapangan masa dan sumber kewangan mencukupi, baru saya akan mula balik,” tutur Datin Diana mengakhiri perbualan.

*Foto kredit: instagram @dianadanielleb

 

 

 

Anak 5 Tapi Badan Tetap Langsing Datin Jaja Kongsi Rahsia Berpantang

Anak 5 Tapi Badan Tetap Langsing Datin Jaja Kongsi Rahsia Berpantang

Pertama kali bersua muka dengan wajah jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui beliau mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Memiliki tubuh langsing bak anak dara membuatkan Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita.

Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.

“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.

Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.

Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.

Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun dan Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, ini.

*Kredit gambar: Instagram @jcw_81

 

Pakai JUBAH Pun ‘Steady’ Timbang Bola, Bakat Gadis Ini Cipta Fenomena!

Pakai JUBAH Pun ‘Steady’ Timbang Bola, Bakat Gadis Ini Cipta Fenomena!

Tengok aksi wanita menimbang bola bukan lagi perkara asing. Tapi bila gadis muslimah yang lengkap berhijab dan pakai jubah buat perkara sama, itu memang luar biasa! Seperti yang sedang tular di media sosial kebelakangan ini.. bakat dan kelincahan gadis berusia 18 tahun, Qhouirunnisa’ Endang Wahyudi melakukan free style football ternyata mengejutkan ramai pihak. Masakan tidak, bidang yang selama ini dimonopoli kaum lelaki kini turut dikuasai golongan wanita. Beragama Islam pula tu, memang rare!

Difahamkan Nisa mula berjinak-jinak dengan sukan ini pada tahun 2016 dan berlatih mempelajari teknik baru hanya melalui YouTube. Sambil mempamerkan gaya bersahaja menimbang bola dengan berjubah, anak sulung daripada tiga beradik ini menafikan tindakannya memuat naik video tersebut di media sosial miliknya bukan untuk meraih perhatian netizen, jauh sekali menambah followers.

Sebaliknya, ia sekadar ingin berkongsi minat dunia sukan berkenaan sejak menemani adik lelakinya bermain futsal dua tahun lalu.

“Wanita berhijab bukan penghalang untuk menceburi mana-mana bidang sukan atau dalam free style football tetapi yang menjadi penghalang adalah diri kita sendiri sama ada mahu atau tidak,” kongsinya yang berlatih selama empat hingga lima hari seminggu.

Kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan anak gadis ini, bapa Nisa yang pada mulanya menentang akhirnya akur dengan minat pelajar jurusan Asasi Bahasa Arab dan Sains Islamik di Universiti Al-Madinah, Shah Alam tersebut.

Free styling in baju kurung is 1000x harder than usual. Jangan risau, belum pernah baju kurung saya koyak sebab free style.”

Sumber: Instagram Qhouirunnisa

Walaupun Lahir Dengan ‘Kilauan’ Berlian & Permata, MARISSA MEER HABIB Tetap Mahu Usaha Sendiri!

Walaupun Lahir Dengan ‘Kilauan’ Berlian & Permata, MARISSA MEER HABIB Tetap Mahu Usaha Sendiri!

Seseorang tidak boleh memilih keturunan mana dan darjat saat dia dilahirkan ke dunia ini. Sangat bertuah dan beruntung apabila lahir daripada keluarga terkenal dan kaya. Tapi tuah milik Marissa Dato’ Seri Meer Sadik Habib. Orang ramai mungkin menganggap satu kelebihan baginya kerana hidup dalam ‘kilauan’ emas, berlian dan permata.

Namun, tidak bagi Marissa kerana semua itu hanya dianggap sebagai ‘bonus’ dan beliau harus berusaha sendiri untuk mencapai kejayaan. Kini, pada usia 24 tahun, dia menetapkan dirinya untuk mengikut jejak langkah bapanya menerajui jenama barang kemas Malaysia, Habib, yang diasaskan oleh datuknya, Datuk Haji Habib hampir 60 tahun yang lalu.

Wanita yang sentiasa tersenyum dan peramah ini sebenarnya sudah mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan dan Ekonomi dari University of Edinburgh, Scotland dan telah menamatkan pengajiannya dalam bidang Gemologi sekitar tahun lalu.

GEMOLOGI & HONG KONG

“Saya melanjutkan pelajaran saya di Gemological Institute of America (GIA), California selama setahun dalam bidang Gemologi di mana memerlukan saya untuk mengkaji dan klasifikasikan kualiti terhadap berlian. Selain itu, bidang ini juga memerlukan saya untuk mengenal pasti batu Ruby yang asli mahupun tiruan dan daripada mana mereka wujud”, terang Marissa sambil tersenyum.

Kerana minat yang mendalam dalam bidang Gemologi ini membuatkan Marissa terus bersemangat untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang sama seperti ayahnya, Dato’ Seri Meer Sadik Habib iaitu Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd.

“Saya tidak mendapat paksaan daripada ayah saya bahkan saya memang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang ini dan ayah juga pernah belajar bidang yang sama di pusat pengajian yang sama 32 tahun sebelum saya”, tambahnya sambil tertawa kecil.

“Bidang ini memang susah dan saya perlu focus sepenuhnya dalam pelajaran, tapi dikelilingi oleh rakan-rakan kuliah dan keluarga yang memberi sokongan membuatkan cabaran ini sungguh seronok!”

Ketika ditanya adakah mejadi satu kelebihan baginya menjadi anak kepada pemilik Habib Jewels Sdn Bhd dan lahir dalam golongan keluarga yang mewah untuk mencapai setiap kehendak dan kemahuan, Marissa masih tetap mahu membuktikan dirinya boleh berusaha sendiri tanpa dibayangi oleh ahli keluarga yang lain.

“Tidak, sebenarnya perkara ini saya tidak kongsikan dengan ramai orang. Saya akan berpindah ke Hong Kong selama setahun untuk berkerja di salah satu syarikat di sana untuk mencari pengalaman sendiri dan tidak mahu hanya terikat dengan syarikat milik keluarga.

Selain itu, saya juga mahu belajar untuk berdikari dan mencabar diri saya sendiri di tempat orang supaya saya boleh membawa pembaharuan kepada syarikat keluarga mahupun negara tercinta, Malaysia di masa akan datang”, kata Marissa yang akan berpindah ke Hong Kong pada bulan September nanti.

“Tidak dinafikan berkerja dengan keluarga membolehkan saya untuk lari daripada sebarang masalah kerana ayah saya merupakan boss, tapi saya tidak mahu jadi seperti itu. Berkerja dengan kelurga juga merupakan satu cabaran kerana saya perlu beri contoh yang terbaik.

Apa yang paling penting dalam kehidupan ialah cari apa yang anda minat dan teruja untuk lakukan dan bukan kerana paksaan, asah bakat anda dalam apa jua bidang dan teruskan untuk belajar perkara-perkara baru,” pesan Marissa.

Marissa turut berkongsikan rasa terujanya untuk berkerjasama dengan jewelry designer terkenal daripada London, Stephen Webster kerana buat pertama kalinya, Stephen Webster nama yang tidak asing lagi dalam dunia aksesori mewah dan ekslusif melebarkan empayarnya ke Malaysia apabila berkolaborasi bersama Habib Group untuk menembusi pasaran Malaysia dengan mempamerkan koleksi mereka di soft launch Stephen Webster baru-baru ini bertempat di [email protected]

“Hari ini merupakan pameran untuk koleksi yang direka sendiri oleh Stephen Webster dan kami berharap untuk berkerjasama lagi bersama beliau di masa akan datang dengan membawa koleksi terbaru daripada Stephen Webster”, katanya ketika ditemui di majlis tersebut.

 

Dengan 40 tahun pengalaman dalam bidang rekaan barang kemas oleh Stephen Webster, antara koleksi yang telah mendapat tempat di seluruh dunia ialah Fly by Night, Lady Stardust, Thorn, Love Me love Me Not, I Promise You dan koleksi khas untuk lelaki England Made Me. Semua koleksi ini mendapat inspirasi dari muzik, fesyen serta seni dan mendapat sentuhan daripada Stephen Webster sendiri.

sumber foto: instagram @marissameer

‘Maintain’ Bahagia Walaupun Dah 15 Tahun Berkahwin, DATIN DIYANA HALIK Bertuah Bersuamikan Dato’ Aaron Aziz

‘Maintain’ Bahagia Walaupun Dah 15 Tahun Berkahwin, DATIN DIYANA HALIK Bertuah Bersuamikan Dato’ Aaron Aziz

REFLEKSI DIRI DATIN DIYANA HALIK

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdiri seorang wanita di belakangnya. Itulah ungkapan paling tepat buat Datin Diyana Halik iaitu isteri kepada aktor terkenal yang berasal dari Singapura, Datuk Aaron Aziz. Kejayaan yang dimiliki oleh hero filem terkenal Ombak Rindu hingga hari ini adalah hasil berkat usaha dan doa isteri beliau yang juga  merupakan pengurus peribadinya. Bijak dalam mengurus perjalanan karier Datuk Aaron, pelbagai anugerah diraih termasuklah Bintang Paling Popular pada tahun 2013. Kejayaan demi kejayaan yang ditempa membawa satu lembaran baharu dalam kehidupan suami isteri sekaligus menjadikan bahtera rumahtangga pasangan bahagia ini terus menjadi perhatian umum.

“Saya menguruskan karier Aaron lebih 15 tahun semenjak saya berkahwin dengan beliau. Sebelum berkahwin, saya bekerja didalam industri yang sama sebagai ‘assitant producer’ dan dalam pada masa yang sama saya juga pernah buat mekap dan jaga bahagian wardrobe. Pekerjaan saya ketika itu lebih kepada bahagian disebalik tabir. Kemudian dari situ saya bertemu dengan Aaron. Selepas dua tahun kami mengenali antara satu sama lain, kami membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan selepas itu saya menjadi pengurus beliau sepenuh masa hingga ke hari ini,” terang Datin Diyana memulakan bicara.

BISNES

Dalam sibuk menguruskan karier suami tercinta, Datin Diyana juga giat mengusahakan perniagaan tudung jenamanya. Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan sejak 4 tahun lalu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Walaupun menguruskan dua bidang yang berbeza dalam pada masa yang sama, ternyata Datin Diyana bijak dalam menyusun jadual harian dengan cekap dan teliti.

“Saya memulakan perniagaan tudung saya secara tidak langsung dimana saya berkolaborasi dengan seorang aktres dari Indonesia dengan menjual tudung beliau. Saya membawa masuk tudung beliau ke Malaysia serta Singapura dan tudung tersebut terjual dalam beberapa hari sahaja. Dari situ, saya rasa inilah perniagaan yang saya cari dan ingin usahakan selain menguruskan karier Aaron.  Lebih kurang setahun lebih usaha sama saya dengan jenama tersebut. Selepas itu, saya membuat keputusan untuk menghasilkan tudung jenama saya sendiri.

“Alhamdulillah, kini perniagaan saya sudah berusia empat tahun dan saya masih menguruskan karier Aaron, cuma saya tidak turun ke lokasi penggambaran. Namun bisnes utama saya buat masa ini ialah perniagaan tudung saya. Saya juga mempunyai butik yang terletak di Kota Damansara dan ada beberapa agen dibawah saya. Selain itu, saya juga ada perniagaan pakaian baju kurung RTW yang diberi nama Adore Avenue yang saya usahakan tiga tahun lalu bersama salah seorang rakan baik saya. Terbaru, saya dan Aaron ada keluarkan sampin instant untuk raya tahun ini. Kami juga ada mengeluarkan madu segar gred 1 yang diimport dari Yaman,” bicara Datin Diyana yang kini mempunyai lima orang staf.

Bercakap mengenai tudung jenamanya, pasti setiap helaian mempunyai inspirasi tersendiri. Idea yang diperolehi oleh Datin Diyana tercetus ketika beliau pergi bercuti bersama keluarga. Bermula dengan percutian yang digelar ‘travel series’, setiap lokasi percutian beliau memberi ilham untuk menghasilkan koleksi tudung beliau. Antara negara yang telah dilawati Datin Diyana termasuklah Perancis, Korea dan Jepun.

 

KELUARGA

Rutin harian Datin Diyana cukup sibuk dengan jadual kerja yang perlu dilaksanakan. Mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan beliau dengan Datuk Aaron membuatkan beliau perlu menyusun tugasan harian dengan lebih sistematik. Melayari bahtera perkahwinan lebih 15 tahun tentunya mengukir momen indah bersama keluarga tercinta. Menyentuh soal anak-anak dan resepi kebahagiaan rumah tangga, beliau juga seorang yang sentiasa komited dalam menguruskan hal keluarga.

“Sejujurnya saya tidak berani untuk kongsikan tip rumahtangga kerana saya baru sahaja berkahwin selama 15 tahun (ketawa). Namun apa yang saya boleh kongsikan disini ialah komunikasi antara suami dan isteri. Tidak kiralah dalam perhubungan mahupun perniagaan, bagi saya komunikasi amat penting. Selain itu memahami antara satu sama lain juga penting dalam hubungan rumah tangga. Seperti saya, saya perlu faham dengan profesion Aaron dan dia juga perlu faham dengan profesion saya.

“Saya bersyukur anak-anak saya cukup memahami dan sentiasa menyokong bisnes yang saya usahakan. Dalam pada masa yang sama, saya akan pastikan saya ada untuk ‘big day’ mereka. Contohnya seperti pertandingan dan projek yang mereka sertai. Tambahan pula, anak saya yang nombor dua seorang yang cukup aktif dalam sukan. Walau sibuk bagaimana sekalipun, saya akan ambil masa untuk meluangkan masa untuk anak-anak saya kerana saya yakin anak-anak ini akan ingat hari dimana mereka raih sesuatu pencapaian dalam hidup mereka. Selain itu, saya dan suami akan membawa anak-anak kami untuk pergi bercuti ditempat yang tiada gangguan dan orang tidak kenal. Ini untuk mengelak sebarang gangguan dan membolehkan kami meluangkan masa sepenuhnya bersama anak-anak.

Datin Diyana juga seorang ibu yang cukup penyayang. Beliau membesarkan ketiga-tiga anak dengan cara tersendiri. Menjadikan  anak-anak sebagai ‘best friend’ bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu meletakkan satu batasan antara ibu dan anak. Walaubagaimanapun, cara itu memudahkan beliau untuk berkomunikasi sekaligus menjadikan anak-anak lebih rapat dengan beliau.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: