‘Asam Pedas Kepala Ikan Salmon’ Air Tangan DATIN ISMATIA Ini Kecur Dibuatnya!

Bagi sesetengah wanita, memasak adakalanya dijadikan hobi mahupun terapi diri ketika berada di rumah. Kalau ada minat pastinya ia memberi kepuasan, lebih-lebih lagi jika air tangan kita itu menjadi kegemaran keluarga. Lagi lah bersemangat hendak memasak setiap hari dengan menu-menu yang istimewa walaupun simple.

Datin Ismatia (kiri) bersama Puan Sri Nisa Bakri.

Siapa yang tidak kenal dengan Datin Ismatia yang sering berkongsi resipi mudah di akaun Instagramnya ‘Masak with Passion’. Wanita anggun berasal dari Kelantan ini merupakan pengasas produk kecantikan Tia Amelia.

Penyediaan menu ringkas dengan bahan-bahan yang mudah didapati telah menarik minat warga media sosial untuk sentiasa mengikuti perkembangannya di Instagram.

Dengan jumlah pengikut seramai 413 ribu yang begitu setia menonton video masakan yang dihasilkan olehnya. Ramai yang mencuba resipi Datin Isma dan kalau diikut betul-betul memang menjadi!

Bersama suami tersayang.

Baru-baru ini Datin Isma berkongsi resipi Asam Pedas Kepala Ikan Salmon menerusi satu video ringkas di Instagramnya. Jarang kita dengar, kepala ikan salmon dibuat asam pedas, kan? Maklumlah, harga ikan salmon pun boleh tahan.

Apa kata, kali ini kita cuba resipi asam pedas versi ‘kayangan’ dari Datin Isma.

ASAM PEDAS KEPALA IKAN SALMON

Bahan-Bahan A (kisar):
6 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
Sedikit lada hitam
Sedikit belacan

Bahan-Bahan B:
4 sudu makan cili kering kisar
Sedikit asam jawa
Gula (secukup rasa)
Garam (secukup rasa)
Bahan perasa (secukup rasa)

Bahan-Bahan C:
Tomato (dibelah dua)
Bunga kantan (dibelah dua)
Segenggam daun kesum
Bendi

Cara-Cara Membuat:

1. Panaskan minyak kemudian tumis bahan kisar.
2. Diikuti cili kering yang dikisar. Tumis sehingga garing dan pecah minyak.
3. Seterusnya masukkan gula, garam dan bahan perasa.
4. Tambahkan asam jawa secukup rasa. Gaul rata.
5. Masukkan kepala ikan salmon satu persatu.
6. Tambahkan sedikit air.
7. Kemudian masukkan tomato dan bunga kantan.
8. Masukkan pula daun kesum.
9. Akhir sekali masukkan bendi, kacau sekejap dan angkat. Boleh dihidangkan bersama nasi panas.

Memetik kata-kata Datin Isma kepada Nona dahulu, “Saya gembira dapat membantu wanita-wanita yang tidak pandai memasak namun akhirnya mereka pandai kerana mengikut tutorial video di Instagram saya. Sehinggakan suami mereka memuji kebolehan mereka memasak dan meminta lagi mereka masak resipi tersebut.”

Kredit Foto: Instagram @datinismatia

IKLAN
Share