Bagi penggemar sajian makanan laut, anda akan rugi kalau tidak mencuba menu istimewa ini. Udang Sos ‘Aku Suka’ misalnya mempunyai rasa unik dan pasti menambat selera. Begitu juga hidangan udang masak lemak cili padi yang membangkitkan aroma selera anda.
Bersempena Ramadan, hidangkan keluarga tersayang dengan juadah berbuka puasa dengan resipi berikut. Selamat mencuba!
UDANG SOS ‘AKU SUKA’
Bahan-bahan:
- 500 gram udang harimau (saiz sederhana)
- 2 cawan air rebusan udang
- 10 tangkai cili merah
- ½ cawan cili boh
- 3 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 2 sudu besar serbuk kari ikan
- 4 sudu besar mentega
- 6 ulas bawang putih
- 200 ml krim masakan
- 299 ml susu segar
- 1 sudu teh perencah stok ayam
- Garam secukup rasa
- Daun kari (jika mahu)
Cara membuat:
Bersihkan udang dan rebus selama lima hingga tujuh minit dalam air menggelegak (ketepikan air rebusan). Kisar cili boh dan cili merah kemudian ketepikan. Seterusnya kisar bawang putih bersama sedikit minyak dan mentega. Angkat dan ketepikan. Tuang minyak dan cairkan mentega. Tumis bawang merah dan bawang putih seketika diikuti serbuk kiri yang telah dibancuh bersama air. Sesudah itu, masukkan bahan kisar cili tadi seterusnya bahan kisar bawang putih dan mentega. Kacau sekata sebelum dituangkan air rebusan udang, krim masakan dan susu segar. Bubuh perencah ayam dan garam secukup rasa. Kemudian, masukkan pula udang yang telah direbus. Kacau sebati. Tabur daun kari jika mahu dan hidangkan.
UDANG GALAH MASAK LEMAK
Bahan-bahan:
- 4 – 5 ekor udang galah
- 5 – 10 tangkai cili padi (dilumatkan)
- 1 sudu teh serbuk kunyit (dimasukkan bersama cili padi)
- 1 helai daun kunyit (dihiris)
- 1 batang serai (dititik)
- 1 sudu besar air limau
- 200 ml santan
- 400 ml air rebusan udang galah
- 1 sudu besar perencah stok ayam
- Garam secukup rasa
Cara membuat:
Rebus udang galah selama lima hingga tujuh minit. Toskan dan angkat. Ambil air rebusan tadi dan asingkan. Panaskan air rebusan udang tadi dan masukkan serbuk kunyit. Masukkan cili padi dan serai ke dalam masakan. Seterusnya, tuang santai dan masak dengan api kecil hingga santan menggelegak. Masukkan pula udang yang direbus dan ulang kacau kuah. Pastikan tidak pecah minyak. Sesudah itu, tuang air limau bersama perencah stok ayam. Akhir sekali perasakan dengan garam dan tabur hirisan daun kunyit.
Resipi: TERIMA KASIH ENCIK ASRUL HUSNI DAN PUAN RAHIMAH, MY STORY CAFE, KOTA KEMUNING, SHAH ALAM