Jom ‘Jemput’ Rezeki, Amalkan 7 Tip Lipat Gandakan WANG RINGGIT!

Jom ‘Jemput’ Rezeki, Amalkan 7 Tip Lipat Gandakan WANG RINGGIT!

Saya kenal rapat akan satu pasangan suami isteri, di mana gaji bersih gabungan kedua-dua mereka mencecah hampir RM8,000 pada setiap bulan. Akan tetapi, apa yang mengejutkan saya, pasangan ini hampir tidak mempunyai sebarang simpanan setiap akhir bulan malah dihimpit hutang keliling pinggang!

Bertanyakan terus pada mereka, saya dapati perbelanjaan mereka lebih diutamakan ke arah perkara-perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan dan seharusnya mempunyai perancangan kewangan yang lebih sistematik. Di bawah tersenarai beberapa perbelanjaan yang pada kebiasaannya, akan membuatkan saku kita kering-kontang jika tidak diuruskan dengan bijak:

1. PENGANGKUTAN

Tidak dinafikan, kita amat memerlukan kenderaan untuk ke sana ke mari, tetapi kereta mungkin bukan jalan yang terbaik untuk melakukannya. Ini kerana, kereta menelan banyak belanja dan memerlukan kos yang tinggi untuk penjagaan dan servis. Kereta juga akan mengalami susut nilai harga seperti tiada hari esok.

Bagi memastikan kereta anda tidak memakan terlalu banyak belanja, jumlah perbelanjaan kereta dalam satu bulan dan bandingkan dengan perbelanjaan lain. Ketahui peratusan perbelanjaan kereta berbanding perbelanjaan lain. Jika anda dapati, perbelanjaan tinggi melangit, sudah tiba masanya untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

Tip: Jika anda boleh, lambatkan proses pembelian sebuah kereta selama yang mungkin. Jika anda benar-benar memerlukan sebuah kereta, cuba dapatkan hanya sebuah untuk satu keluarga. Sekiranya anda benar-benar  ingin  memiliki sebuah kereta, lihat tips berikutnya.

2. BELI KERETA TERPAKAI

Jika anda amat memerlukan sebuah kereta pertimbangkanlah untuk mendapatkan kereta terpakai. Model kereta lama 1-2 tahun akan menyusut kira-kira 30% atau lebih berbanding harga kereta baru. Bayaran muka, bayaran ansuran, dan premium insuran juga adalah lebih rendah. Pilih dengan bijak untuk model kereta yang murah dan tidak memakan minyak yang banyak.

3. FIKIR SEBELUM MELAKUKAN SEBARANG LANGGANAN

Dewasa ini, terdapat pelbagai jenis keahlian dan perkhidmatan yang tumbuh bagai cendawan. Kebanyakan promosi yang berjaya menggoda ramai untuk menyertai dengan kos kemasukan sifar atau rendah. Misalnya keanggotaan gimnasium atau kelab-kelab kesihatan. Ramai yang mendaftar untuk langganan tahunan dan tidak hirau untuk menggunakan keanggotaan tersebut selepas beberapa bulan. Sebaliknya, daftarlah untuk satu jangka masa pendek untuk mencuba terlebih dahulu sebelum anda mendaftar untuk satu tempoh yang lebih panjang.

4. KURANGKAN CAJ TELEFON BIMBIT

Cuba meminimumkan caj telefon bimbit anda, melainkan syarikat anda membayar bil-bil tersebut, kerana perbelanjaan telefon bimbit boleh meningkat dengan cepat. Saya juga dapati bahawa ada antara rakan-rakan sepejabat yang bukan dari bahagian jualan atau pemasaran, di mana bil telefon mereka jauh lebih tinggi berbanding rakan-rakan saya yang berada di bahagian jualan! Jika anda tidak boleh mengehadkan penggunaan telefon bimbit anda, cuba dapatkan perkhidmatan prabayar.

Lihat saja kini, syarikat-syarikat telefon bimbit mengemukakan pelbagai cara untuk membuatkan anda membelanjakan lebih banyak wang dengan memuat turun nada-nada muzikal, muat turun berita dan perkembangan sukan terkini. Perkhidmatan seumpama ini bakal meningkatkan bil telefon mudah alih anda sewenang-wenangnya.

5. BELI-BELAH DALAM LAMAN SESAWANG

Anda boleh mendapatkan apa jua yang dikehendaki dari dalam laman sesawang dan kebanyakannya menjanjikan tawaran yang hebat. Kos pengendalian kedai di alam maya adalah amat minima kerana tidak perlu membayar sewa dan kos pengiklanan; akan tetapi jangan lupa memeriksa caj penghantaran.

6. BELI-BELAH BARANGAN DI LUAR MUSIM

Contoh yang amat ketara, apabila anda adalah membeli benda-benda pada akhir musim atau jualan penghabisan stok, anda boleh mendapat diskaun atau potongan harga yang banyak.

7. TUKARKAN HOBI ANDA KEPADA SUATU PERNIAGAAN

Hampir setiap orang mempunyai hobi atau ilmu pengetahuan khas tentang sesuatu topik. Gunakan bakat kreatif anda dan tukarkanlah ia menjadi satu sumber pendapatan. Jika anda celik komputer atau perisian, mulakan perniagaan sambilan yang berkaitan dengan komputer atau sebagainya.

Sesungguhnya, apa yang penting adalah sebijak mana kita menguruskan perbelanjaan wang, bukan sebanyak mana wang yang kita peroleh.

Kesal Perjalanan Hidup Yang Makin Hambar, Insan Ini Telan ‘UBAT CINTA’ Sebelum Mati!

Kesal Perjalanan Hidup Yang Makin Hambar, Insan Ini Telan ‘UBAT CINTA’ Sebelum Mati!

Kisah ini mungkin bisa membuatkan kita menghargai sebuah kehidupan dan mencintai segala yang dimiliki dengan keindahan. Ahmad hadir berjumpa dengan seorang ustaz lalu berkata, “Ustaz, saya sudah bosan hidup. Sudah jemu dengan segala yang saya lalui. Rumah tangga tidak aman, perniagaan tidak stabil dan segala usaha saya lakukan tidak berhasil. Saya sudah berputus asa dengan keadaan ini. Saya ingin mati.”

Ustaz tersenyum, “Oh, kamu sakit?” Jawab Ahmad… “Tidak Ustaz, saya tidak sakit. Saya sihat. Saya sudah sesak dengan kehidupan yang dilalui. Itu sebabnya saya ingin mati.” Seolah-olah tidak mendengar luahan itu, ustaz meneruskan, “Kamu sakit. Dan penyakit itu sebutannya ialah ‘Alergi Hidup’.

Banyak sekali di antara kita yang mengalami masalah alergi terhadap kehidupan begini. Hidup ini berjalan terus. Sungai mengalir terus, tetapi kita menginginkannya melawan arus kehidupan. Kita berhenti di tempat, kita tidak ikut ia mengalir. Itu sebabnya kita jatuh sakit. Kita mengundang penyakit. Saat inilah namanya usaha diperlukan. Dalam perniagaan sentiasa ada pasang-surut. Dalam hal berumah-tangga, perbalahan kecil itu asam garam kehidupan. Persahabatan pun tidak selalu kekal abadi.  Kita tidak menyedari sifat kehidupan. Kita ingin mempertahankan suatu keadaan. Kemudian kita gagal, kecewa dan menderita. Lalu menemui jalan buntu.”

“Penyakit itu bisa disembuhkan, asalkan kamu ingin sembuh dan bersedia mengikuti segala arahan ku.” demikian ujar ustaz. “Tidak ustaz, saya sudah bosan hidup dan betul-betul ingin mati,” jelas Ahmad. “Baik, esok kamu akan mati. Ambillah tiga botol ubat ini. Satu botol minum malam ini, satu lagi esok awal jam enam pagi dan botol ketiga minum sebelum tidur buat kali terakhir, kau akan mati dengan tenang.”

Ahmad menjadi bingung dengan saranan ustaz tersebut. Kebanyakan ustaz yang dijumpai akan memberi semangat untuknya meneruskan hidup tetapi yang ini amat berbeza. Malah menawarkan racun kepadanya. Namun Ahmad menerimanya dengan senang hati kerana itu adalah kehendak dan tekad hatinya.

Pulang ke rumah, Ahmad terus sahaja menghabiskan botol pertama racun yang disebut sebagai ‘ubat’ oleh ustaz itu tadi. Dan, ia merasakan ketenangan sebagaimana tidak pernah dia rasakan sebelumnya. Begitu tenang, begitu santai! Kini dia hanya tinggal satu malam, satu hari, dan dia akan mati. Dia akan terbebaskan dari segala macam masalah.

Malam itu, Ahmad memutuskan untuk makan malam bersama keluarga di restoran masakan Western. Sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan selama beberapa tahun ini. Mungkin ini malam terakhir, ia ingin meninggalkan kenangan manis. Sambil makan, dia bersenda-gurau. Sebelum tidur, Ahmad mencium bibir isterinya dan membisikkan, “Sayang, aku amat mencintaimu.” Kerana malam itu adalah malam terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis!

Esok awal pagi Ahmad bangun lalu membuka jendela kamar dan melihat ke luar. Tiupan angin pagi menyegarkan tubuhnya, lantas tergoda untuk melakukan senaman berjalan kaki. Pulang ke rumah setengah jam kemudian, dia melihat isterinya masih lagi tidur nyenyak. Tanpa membangunkannya, ia masuk dapur dan membuat dua cangkir kopi. Satu untuk dirinya, satu lagi untuk isterinya. Isterinya merasa cukup aneh sekali, “Abang, apa yang terjadi hari ini?” Jelas Ahmad… “Selama ini, mungkin aku salah dan mengabaikan sayang. Maafkan aku…”

Di pejabat, Ahmad menyapa setiap orang, bersalaman. Kakitangannya pun menjadi bingung, “Hari ini, Bos berperangai agak aneh?” Dan sikap kakitangannya pun langsung berubah. Mereka menjadi lembut. Dan kerana hari itu adalah hari terakhir, dia ingin meninggalkan kenangan manis buat semua! Tiba-tiba, segala sesuatu di sekitarnya berubah. Ia menjadi ramah dan lebih toleransi menerima pendapat orang lain. Tiba-tiba hidup menjadi indah. Ahmad mula menikmatinya.

Pulang ke rumah jam 5 petang, ia melihat isteri tercinta menunggunya di hadapan rumah dengan senyuman mesra dan memberikan ciuman kepadanya. Anak-anak pun tidak ingin ketinggalan, menyapa Ahmad dan berkata “Ayah, maafkan kami semua. Selama ini jika ayah tertekan dengan perilaku kami semua.” Tiba-tiba, sungai kehidupannya mengalir kembali. Tiba-tiba, hidup menjadi sangat indah. Pada malam hari Ahmad berhasrat untuk membatalkan niatnya untuk bunuh diri. Tetapi bagaimana dengan botol yang sudah dia minum sebelumnya, adakah dia akan menemui kematian?

“Ya Allah, apakah maut akan datang kepada ku. Jauhkan kematian itu Ya Allah! Aku takut sekali jika aku harus meninggalkan dunia ini”. Sepantas itu Ahmad segera menghubungi ustaz tersebut. Selepas menjelaskan segala-galanya pada ustaz, tentang betapa indahnya kehidupan ini kala dia lalui dengan rasa cinta dan penuh tenang.

Ustaz faham benar dengan keadaan itu lalu berkata “Buang saja botol itu. Isinya air biasa. Kau sudah sembuh. Apabila kau hidup dalam keinginan, apabila kau hidup dengan kesedaran bahawa maut akan datang menjemput mu, maka kau akan menikmati setiap detik kehidupan dengan penuh berharga. Leburkan egomu, keangkuha mu, kesombonganmu. Jadilah lembut, selembut air. Dan mengalirlah bersama sungai kehidupan. Kau tidak akan susah menghadapi setiap masalah kehidupan, tidak akan bosan. Kau akan merasa hidup. Itulah rahsia kehidupan. Itulah kunci kebahagiaan. Itulah jalan menuju ketenangan.”

Ah, indahnya dunia ini……

Tambat Hati Suami Melalui MASAKAN, Confirm Si Dia Sayang!

Tambat Hati Suami Melalui MASAKAN, Confirm Si Dia Sayang!

Kata orang tua, makanan menzahirkan ekspresi rasa romantis. Air tangan si isteri yang memasak buat suami tercinta semakin mewujudkan bibit mesra dalam sesebuah rumah tangga. Ramai lelaki bersetuju dengan kenyataan ini dengan mengatakan makanan yang dimasak di rumah dirasakan lebih romantis berbanding menikmati masakan di restoran.

Namun kebiasaan hidup moden telah meminggirkan tradisi menangkap hati dan cinta sejati melalui perut dan kemampuan memasak yang baik di rumah. Benarkah begitu?

Barangkali golongan wanita tidak menyedari, lelaki menilai itu sebagai kesungguhan pasangan. Biar pun segelintir lelaki tetap menganggap perempuan romantis, meskipun tidak pandai memasak. Kenyataan itu mengundang banyak tekanan pada perempuan yang mahu pandai memasak di dapur. Ini disokong dengan indicator yang menunjukkan 61 peratus perempuan kurang handal memasak berasa tertekan apabila perlu memasak di rumah.

Maka tidak menghairankan apabila negara Itali dianggap sebagai negara utama yang memartabatkan cinta kerana dilimpahi dengan makanan enak dan kepintaran golongan wanita di sana mahir memasak. Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa makanan sangat berkait rapat dengan saat romantis dan menimbulkan kesan mendalam. Alasannya mudah. Mereka berpendapat, makan malam masakan rumah menciptakan tempat yang sempurna untuk menimbulkan suasana romantis.

Malah jika dijadikan kebiasaan akan semakin meningkatkan rasa cinta sesama suami dan isteri. Sebanyak 90 peratus dari jumlah itu mengakui kebenaran fakta ini sementara 10 peratus lagi kurang bersetuju. Apa pun kepada segelintir wanita yang tidak mahir memasak kerana 85 peratus lelaki mengatakan terkesan jika pasangan mencuba memasak untuknya.

Adakah anda, seorang wanita yang sedang membaca artikel ini tahu memasak? Jika tidak, belajarlah memasak biar pun langkah demi langkah agar suami tidak sabar setiap kali pulang dari bekerja mahu menjamah masakan anda sehingga menjilat jari.

Bagaimana pula jika si isteri sudah mahir memasak dan si suami masih gemar makan di luar tanpa mahu mengkritik masakan isteri secara langsung. Barangkali tip ini boleh dipraktikkan untuk diteladani agar suami kembali makan di rumah. Buku ‘Life is Huge’ hasil karangan Susan Jeffers menyatakan bahawa cukup penting bagi setiap wanita mengubah harapan yang selama ini ia hidup dari hari ke hari. Alasannya, lelaki memang dilatih bersikap terbuka namun mereka terhambat oleh cara pengungkapan secara verbal.

Jadi jangan jemu membantu pasangan Anda untuk mengutarakan apa yang mereka alami dan rasai. Paling penting, golongan wanita menghargai saat si suami mengekspresikan perasaannya. Misalnya memberikan hadiah, menelefon, mengkritik mutu masakan dan memberi berbagai sentuhan buat Anda sebagai wanita. Wanita seharusnya memahami sisi indahnya berdiam diri (the beauty of silence) dari lelaki. Ajukanlah pertanyaan refleksi seperti, ‘Mengapa sebagai wanita, saya merasa terganggu dengan sikap diam si suami?’

Jika sudah sampai masanya anda sudah jenuh mahu berkata-kata, cukup bersikap santai dan fokuskan diri kepada apa yang dikatakan oleh suami. Kepada suami tercinta, katakanlah berulang kali dalam hati, ‘Aku mencintaimu’. Rasakanlah sentuhan tenaga cinta di sekujur tubuh.

Tidak jarang suami mengutarakan segala keresahan di hati. Itulah saatnya anda sebagai perempuan belajar mencintai sisi kemanusiaan dari seorang lelaki. Itulah saatnya anda menjalinkan perbualan secara intensif. Sebagai wanita, hindarilah sikap menghakimi, suka mempertahankan diri ketika suami mula mendiamkan diri. Sikap-sikap itu hanya menggambarkan bahawa anda tidak ingin terlibat lebih jauh dengan hidupnya. Boleh jadi anda sendiri tidak merasa selesa bersama lelaki yang anda kasihi itu.

Wanita kerap kali bimbang apabila memikirkan apa yang diinginkan dan diharapkan oleh lelaki dari sebuah jalinan hubungan. Ketika anda bimbang, maka lelaki akan dapat menangkap tanda itu. Inilah saatnya anda mencerminkan diri sendiri dan berefleksi dengan berkata, ‘Apa yang sesungguhnya saya harapkan dari hubungan ini?’

Kebanyakan perempuan cenderung untuk terlalu banyak berbicara. Ini jelas menggambarkan siapa diri anda sesungguhnya. Berhentilah bercakap terlalu banyak. Dengan berdiam sejenak, anda dapat memberi ruang bagi fikiran tenang dan hati tidak gundah-gulana. Sebagai wanita, anda harus banyak bersabar. Kita tidak dapat mengubah seorang lelaki, bila anda sebagai perempuan tidak mengubah diri atau memperbaiki mutu masakan lebih dulu. Dengan memperbaiki diri sendiri, anda dapat ‘membuka’ pintu hati lelaki agar lelaki itu berikrar menjadi ‘soulmate‘ anda sepanjang hayat.

Seperti Dilahirkan Semula, 25 Tip HIJRAH Menjadi ‘Orang Baru’!

Seperti Dilahirkan Semula, 25 Tip HIJRAH Menjadi ‘Orang Baru’!

Ibadah haji menjadi madrasah atau sekolah yang mampu mendidik jamaahnya. Sebulan lebih para jemaah haji sibuk mengerjakan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Untuk sementara waktu, kita jauh dari hiruk pikuk urusan duniawi yang melalaikan. Setiap kali tibanya waktu solat, kita menjadi tetamu setia. Di samping itu, kita juga berkesempatan untuk mengambil ilmu agama dari para ulama tanah suci dan mempraktik agama benar. Rasulullah SAW bersabda berkenaan dengan kelebihan haji yang mabrur yang bermaksud :

Haji yang mabrur tidak lain balasannya melainkan syurga (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bertaubat setelah haji, berubah menjadi lebih baik, memiliki hati lebih lembut dan bersih, ilmu dan amal lebih mantap dan benar, kemudian istiqamah di atas kebaikan itu adalah salah satu tanda haji mabrur. Banyak sekali disebutkan tanda-tanda yang menunjukkan seseorang jemaah mendapat haji yang mabrur dan diterima oleh Allah, antaranya seperti apa yang diperkatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri r.a. :

Haji mabrur adalah bahwa bila pelakunya kembali, zuhud terhadap dunia dan cintakan akhirat

Ibnu Hajar al-Haitami juga mengatakan :

Dikatakan bahwa tanda diterimanya haji adalah meninggalkan maksiat yang dahulu dilakukan, mengganti teman-teman yang buruk menjadi teman-teman yang baik, dan mengganti majlis kelalaian dengan majlis zikir dan kesedaran.

Logiknya, setiap orang yang menjalankan ibadah haji akan pulang dari tanah suci dalam keadaan yang lebih baik. Namun yang terjadi tidak demikian, apalagi setelah senggang waktu yang lama dari waktu berhaji. Ramai sudah hilang kebaikannya. Beberapa tip di bawah boleh dijadikan panduan untuk terus kekal berhijrah menjadi orang baru yang sentiasa mendapat limpahan kurnia taufiq hidayah dan redaNya.

  1. Menanam azam untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.
  2. Mengikhlaskan hati semata-mata kerana Allah SWT dalam apa juga perbuatan.
  3. Meneruskan ibadah yang biasa dilakukan ketika di Mekah dan Madinah seperti sembahyang berjamaah,  iktikaf dan lain-lain.
  4. Tidak sekali-kali meninggalkan amalan fardhu terutamanya solat.
  5. Memperbanyakkan solat sunat.
  6. Memperbanyakkan membaca al-Qur’an dan memahami maknanya.
  7. Menjaga pandangan dari yang diharamkan Allah.
  8. Menjaga pendengaran dari yang diharamkan Allah.
  9. Menjaga batas pergaulan lelaki dan perempuan bukan mahram.
  10. Menutup aurat sebagaimana diwajibkan Allah SWT.
  11. Menjaga lidah dari pelakuan mencaci, mengeji dan mengumpat.
  12. Memperbanyakkan berzikir mengingati Allah pada setiap masa
  13. Bersahabat dengan teman-teman soleh yang mampu mendorong kepada kebaikan.
  14. Menuntut ilmu agama melalui kelas-kelas agama atau media.
  15. Tidak membuang masa dengan sia-sia dengan kerja tidak berfaedah.
  16. Memperbanyakkan amalan sunat seperti solat dan puasa sunat.
  17. Zuhud dan tidak terpengaruh dengan kemewahan dunia.
  18. Sentiasa mengingati mati dan membuat persediaan menghadapinya.
  19. Banyakkan bersedekah kepada yang memerlukan
  20. Saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran.
  21. Menjauhikan dari segala yang haram dan shubhat.
  22. Bangun bermunajat di malam hari di kala insan lain sedang tidur nyenyaknya.
  23. Berakhlak mulia sesama manusia dan makhluk Allah lain.
  24. Melaksanakan tanggungjawab terhadap anak, keluarga dan masyarakat
  25. Saling berhubung dengan sahabat sehaji atau seumrah untuk mengekalkan hubungan silaturrahim.
TOPI Transform Imej Jadi Lebih Menonjol, Belum Cuba Belum Tahu!

TOPI Transform Imej Jadi Lebih Menonjol, Belum Cuba Belum Tahu!

Topi adalah antara aksesori tambahan untuk memberikan aura penampilan lebih menarik. Tetapi, aksesori ini lebih sensitif dan hanya mengikut trend semasa.  Tidak seperti dulu, topi digunakan untuk halangan cahaya matahari. Kini, anda kelihatan lebih updated dan fashionable apabila menggayakan topi saat bersantai mahupun dalam janji temu bersama pelanggan.

Ramai juga tidak selesa dengan gaya bertopi. Sebaik anda mengenakan topi, imej bertukar ganti, seolah-olah aura anda memahat pandangan mata. Jangan pukau pandangan mata mereka dengan gaya topi yang tidak sesuai. Sebelum membeli, berdiri di hadapan cermin dan cuba satu persatu topi pilihan anda. Fikirkan gaya baju dan seluar yang sesuai dan pastikan dalam bayangan anda itu satu hal penting…situasi majlis yang ingin dihadiri.

Ikuti tip di bawah:

  1. Topi berkualiti adalah topi yang dijahit dengan ketelitian dan rapi jahitannya.
  2. Pastikan anda memakai topi dengan betul. Sentiasa ingat untuk melihat label terlebih dahulu untuk mengetahui di mana bahagian hadapan dan belakang topi.
  3. Cuba pelbagai posisi ketika mencuba topi. Lebih fleksibel kedudukannya, lebih mudah untuk anda menyesuaikan dengan gaya penampilan berbeza.
  4. Pemakaian topi terlalu rapat dengan kening mencipta kesan fesyen lebih chic. Tetapi, apabila anda mengadakan pertemuan yang memerlukan komunikasi dua hala, gaya topi begitu kelihatan janggal. Anda seolah-olah menyembunyikan sesuatu.
  5. Pemakaian topi secara mendongak akan memberi ilusi wajah lebih kurus dan runcing.
  6. Topi berbentuk bulat boleh mengurangkan bentuk wajah petak.
  7. Topi anda tidak seharusnya lebih besar dari bahu atau lebih kuncup dari dandanan rambut anda.

 

Kenali wajah sebelum memilih topi

  • Jika anda bertubuh kecil
  • Jangan memilih topi terlalu besar. Anda pastinya tidak mahu menyusahkan orang lain untuk melihat wajah anda yang tersembunyi di sebalik topi.
  • Topi dari rona terang sesuai untuk anda. Sekurang-kurangnya, anda boleh menarik perhatian dengan mengenakan topi yang bersesuaian.
  • Topi bersaiz besar hanya membuatkan anda kelihatan seperti gambar berbingkai.
  • Jika anda bertubuh tinggi
  • Kebanyakan wanita bertubuh tinggi tidak suka mengenakan topi. Seandainya anda berubah fikiran dan ingin tampil berbeza, topi beret rona cerah membantu mengurangkan penampilan lebih maskulin yang sering dikaitkan dengan wanita tinggi.
  • Tidak perlu memilih bentuk topi terlalu menonjol kerana wanita bertubuh tinggi sudah mempunyai figura meyakinkan.
  • Jika anda mempunyai bentuk muka panjang dan tirus
  • Elakkan topi berbentuk tinggi kerana akan menambahkan ilusi wajah anda yang lebih panjang.
  • Pilih topi berbentuk lebar dengan permukaan berombak.
  • Jika anda mempunyai bentuk muka bulat
  • Elakkan membeli topi berbentk bulat dan mempunyai permukaan berombak.
  • Topi bersaiz lebih besar dari wajah anda adalah pilihan terbaik.
  • Jika wajah anda berbentuk oval
  • Apa sahaja stail topi sesuai untuk anda.
  • Gunakan kelebihan ini sepenuhnya dengan mencuba pelbagai gaya yang sesuai dengan anda.TIP MEMILIH FEDORA
  • Pilih warna bersesuaian dengan kulit anda. Memandangkan topi jenis ini menutupi bahagian dahi, wara yang kurang sesuai boleh merosakkan penampilan anda.
  • Pilih fedora yang boleh mengurangkan ilusi wajah sama ada bulat atau bersegi. Jika berwajah bulat atau bersegi, fedora dari yang sedikit tinggi mampu menyembunyikan bentuk wajah anda manakala fedora leper cantik pada wanita berwajah bujur.
  • Seimbangkan imej pemakaian fedora dengan saiz tubuh. Fedora lebih kecil sesuai untuk wanita bertubuh kecil molek. Bagi anda yang mempunyai bahu dan pinggul lebih besar, fedora bersaiz besar sesuai untuk anda kerana mampu memberi keseimbangan pada keseluruhan penampilan.
  • Berhati-hati ketika memilih saiz fedora. Jika ianya terlalu besar, anda pasti sukar untuk menyesuaikan diri manakala jika ianya terlalu ketat, anda pasti mengalami masalah kegatalan kulit kepada.
  • Fedora perlu diletakkan pada kedudukan betul. Cuba perhatikan bagaimana fedora itu mampu menepati cita rasa anda kerana bimbang anda kelihatan pelik saat menggayakannya.
  • Pastikan gaya rambut anda kelihatan cantik apabila membuka fedora. Gaya ponytail pada sebelah bahagian antara gaya rambut ringkas dan tidak menjejaskan penampilan anda walaupun sewaktu anda menanggalkan fedora.
KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: