Ads

Pejuang Kanser Payudara, Semangat Hebat Rahiza Ibrahim “Saya Yakin Kanser Bukan Hukuman Mati”

Pejuang Kanser Payudara
Pejuang Kanser Payudara

Pejuang kanser payudara, Rahiza Ibrahim percaya bahawa diagnosis kanser bukanlah hukuman mati atau pengakhiran sebuah kehidupan. Pernah kehilangan suami akibat kanser, beliau kini tampil berkongsi kisah perjuangan, ketabahan dan kekuatan seorang ibu demi anak tunggalnya menerusi episod pertama vodcast Nona Pinktober, sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2026.

Bukan mudah menerima hakikat diri disahkan menghidap kanser pada usia 43 tahun, lebih-lebih lagi selepas menyaksikan sendiri penderitaan insan tersayang. Namun bagi Rahiza, pengalaman pahit itu mengajarnya untuk lebih peka terhadap perubahan tubuh dan tidak sesekali memandang ringan tanda-tanda luar biasa.

Pejuang Kanser Payudara Pada Usia 47

“Sebelum saya disahkan menghidap kanser, saya adalah seorang wanita yang sangat aktif. Saya suka berjalan, ada kerjaya dan famili.

Segalanya bermula apabila Rahiza, 47, menyedari payudaranya mengalami bengkak berpanjangan, seakan-akan perubahan yang biasa dialami menjelang kedatangan haid. Namun, bengkak tersebut tidak juga surut.

Bahkan berbeza daripada tanda kanser payudara yang sering diperkatakan, beliau langsung tidak mempunyai ketulan. Pemeriksaan awal di klinik mendapati bengkak tersebut dipercayai berpunca daripada jangkitan. Meskipun telah beberapa kali mengambil antibiotik, bengkak yang dialami masih belum menunjukkan tanda-tanda sembuh.

Pejuang Kanser Payudara
Pejuang Kanser Payudara

Rahiza kemudian mendapatkan pemeriksaan di dua hospital pakar. Keputusan mamogram dan ultrabunyi masih tidak menemukan sebarang kelainan.

Enggan berputus asa, beliau mendapatkan pandangan pakar ketiga dan meminta pemeriksaan MRI. Apabila puncanya masih belum dikenal pasti, Rahiza tetap berkeras agar pemeriksaan lanjut dilakukan.

“SAYA CAKAP PADA DOKTOR, Ada benda yang tak betul ni. Boleh tak saya minta tolong doktor… tolonglah check.”

Akhirnya, prosedur biopsi dilakukan. Dua hari kemudian, Rahiza menerima panggilan daripada doktor yang mengesahkan dirinya menghidap kanser payudara.

Ads

Pengalaman ini menjadi peringatan bahawa perubahan pada payudara tidak semestinya hadir dalam bentuk ketulan. Saksikan video penuh vodcast Nona Pinktober ini…

Anak Tunggal, Kekuatan Terbesar Pejuang Kanser Payudara

Di sebalik perjalanan sebagai pejuang kanser payudara, tersimpan kisah seorang ibu yang tidak sanggup membiarkan anaknya melalui kehilangan yang sama buat kali kedua.

Rahiza pernah kehilangan suami akibat kanser ketika anak tunggal mereka baru berusia sembilan tahun. Pengalaman tersebut meninggalkan kesan mendalam, khususnya terhadap persepsi anaknya mengenai penyakit berkenaan.

Ads

“Saya nak buktikan pada dia, kanser tak semestinya mati.”

Kini anaknya berusia 23 tahun, dan dialah yang menjadi sumber kekuatan terbesar Rahiza untuk terus berjuang. Bagi Rahiza, perjuangan ini bukan sekadar untuk dirinya, tetapi juga demi membuktikan kepada anak tersayang bahawa kehidupan masih mempunyai harapan meskipun diuji dengan penyakit serius.

Pejuang Kanser Payudara Bangkit Selepas Selesai Rawatan

Perjalanan rawatan bukan sesuatu yang mudah. Rahiza turut berdepan perubahan fizikal dan cabaran emosi selepas menjalani pembedahan serta kemoterapi.

Pejuang Kanser Payudara
Pejuang Kanser Payudara

Namun, beliau memilih untuk meraikan setiap langkah kecil sepanjang proses pemulihan. Setiap kali selesai menjalani rawatan, Rahiza akan menghadiahkan sesuatu kepada dirinya sebagai penghargaan terhadap kekuatan yang berjaya dikumpulkan. Baginya, setiap hari yang dilalui merupakan satu kemenangan tersendiri.

Malah, Rahiza percaya perkembangan dunia perubatan hari ini memberi lebih banyak pilihan rawatan dan harapan kepada pesakit kanser berbanding dahulu.

Ads

“Jangan takut. Sebab sekarang ni ada macam-macam ubat yang baru, treatment yang baru.”

Beliau turut mengingatkan bahawa diagnosis kanser tidak semestinya bermakna seseorang tidak lagi boleh menjalani kehidupan yang bermakna.

Kini memegang tanggungjawab sebagai Naib Presiden Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA), Rahiza mahu lebih ramai wanita mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri. Menurutnya, wanita sering mendahulukan keperluan suami, anak-anak dan keluarga sehingga terlupa bahawa diri sendiri juga memerlukan perhatian.

“Saya harap wanita kat luar sana tu belajar untuk sayangi diri sendiri.”

“Dan kadang-kadang kita terlupa, kita pun berhak untuk disayangi.”

Kepada pesakit kanser yang sedang berjuang, Rahiza turut menitipkan pesanan bahawa mereka tidak bersendirian. BCWA sentiasa bersedia memberikan sokongan moral dan bantuan sepanjang perjalanan rawatan.

Menerusi kempen Nona Pinktober 2026, Majalah Nona terus memperkukuh kesedaran mengenai kanser payudara, kepentingan pengesanan awal serta sokongan kepada wanita yang sedang berjuang melawan penyakit ini.

Kisah Rahiza Ibrahim menjadi bukti bahawa di sebalik ketakutan dan kesakitan, masih ada ruang untuk bangkit, meneruskan kehidupan dan menyebarkan harapan kepada orang lain.

Saksikan episod pertama vodcast Nona Pinktober bersama Rahiza Ibrahim untuk mendengar sendiri perkongsian penuh mengenai detik menerima diagnosis, cabaran rawatan, kekuatan seorang ibu dan perjuangannya membantu wanita lain.

Artikel berkaitan: Nona Pinktober 2026, Tingkat Kesedaran & Pengesanan Awal Kanser Payudara

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Ibu Syafinaz Selamat

Ibu Syafinaz Selamat Genap 96 Tahun, Titip Nukilan Menyentuh Hati –...

Datuk Syafinaz Selamat menitipkan nukilan penuh kasih sempena ulang tahun ke-96 ibu tercinta, Zaiton Hasan, serta memohon doa daripada orang ramai.