Menariknya! Jom Berpesta Foto di Muzium Ilusi Pertama di Kuala Lumpur

Menariknya! Jom Berpesta Foto di Muzium Ilusi Pertama di Kuala Lumpur

Siapa sini yang alergi kalau tengok orang tengah nak ambil gambar, pasti akan menyelit. Kalau nampak tempat cantik sikit atau hipster sikit pasti nak abadi gambar kenangan di sana. Kalau anda menepati ciri-ciri ini, sudah pasti anda adalah insan paling teruja mengunjungi Muzium Ilusi Pertama di Asia.

Berlokasi di tengah-tengah segi tiga Kuala Lumpur, di Bukit Bintang atau secara tepatnya di Ansa Hotel Kuala Lumpur. Muzium Ilusi ini memiliki koleksi ilusi optik terbesar di Asia. Berbeza dengan muzium 3D, Muzium Ilusi ini meraikan keghairahan serta sorakan daripada pengunjung sepanjang masa berada di dalamnya.

Sebanyak 70 jenis pameran ilusi optik yang dipamerkan dalam pelbagai bentuk seperti lukisan dan rekaan kreatif. Setiap pameran bukan sahaja mencabar kreativiti malah mampu membuat pengunjung kagum dengan persembahan yang ditawarkan.

Sesuai untuk dikunjungi bersama seisi keluarga ataupun bersama teman-teman tersayang. Jangan datang seorang diri, nanti siapa pula yang mahu mengambil gambar! Dibuka bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.

Ruang untuk diteroka

AMES ROOM

THE VORTEX TUNNEL

ROTATED ROOM

Tan Sri Dato’ Vincent Tan sebagai pendukung utama Muzium Ilusi ini telah mencuba sendiri persembahan di sini

HEAD ON THE PLATTER

OPTICAL ILLUSION

 

Museum of Illusions (Muzium Ilusi) Kuala Lumpur

Ansa Hotel, 101 Jalan Bukit Bintang

DEWASA: RM35

KANAK: RM15

www.museumofillusions.my

REBUT PELUANG UNTUK  MEMENANGI PASS MASUK PERCUMA UNTUK DUA ORANG KE MUZIUM ILUSI INI DENGAN MENGHANTAR JAWAPAN TEPAT KEPADA [email protected]. HANYA 5 PEMENANG BERTUAH AKAN DIPILIH DAN DIHUBUNGI OLEH PIHAK NONA.

SOALAN;

  1. DIMANAKAH LOKASI MUZIUM ILUSI INI?
  2. APAKAH ISU MENARIK YANG ANDA MAHU DARIPADA MAJALAH NONA?
  3. SIAPAKAH COVER MAJALAH NONA ISU JULAI 2018?

 

 

 

 

Datin Diana Danielle  Pegang Nasihat Ibu Dalam Melayari Bahtera Perkahwinan

Datin Diana Danielle Pegang Nasihat Ibu Dalam Melayari Bahtera Perkahwinan

Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri tanpa mengira darjat atau warna kulit pasti mengimpikan kehidupan bahagia bersama pasangan kekal sehingga ke jannah. Namun, sudah menjadi lumrah kehidupan dalam setiap perhubungan pasti akan diuji. Ujian yang datang dalam pelbagai cara secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan pasangan suami isteri tersebut.

Pasangan selebriti yang sama cantik sama padan, Datuk Farid Kamil dan Datin Diana Danielle juga seperti pasangan suami isteri lain yang tidak terkecuali diuji dalam melayari kehidupan berumah tangga. Berkahwin pada 3 November 2012 dan kini telah pun dikurniakan dengan sepasang cahaya mata yang comel, Muhammad dan Nur Aurora.

Ramai wanita dan juga isteri di luar sana yang mengagumi sikap Datin Diana yang kelihatan begitu tenang dalam menghadapi ‘situasi sukar’ apabila suaminya menghadapi dugaan kehidupan sedikit masa lalu. Mencungkil rahsia ketenangan yang diperoleh wanita pan asian ini, “Saya rasa setiap orang ada masa-masa yang getir dalam kehidupan.

Sebagai manusia biasa, kita perlu beri peluang dan ruang untuk berkembang. Di saat dia jatuh bagi dia masa untuk bangun balik. Itu adalah perkara yang di ajar oleh mak saya sejak daripada dulu lagi. Pengalaman melihat ibu saya menghadapi dugaan naik turun naik turun dalam bisnes, menempuh ujian dalam kehidupan serta menghadapi situasi sakit dan sebagainya benar-benar mengajar saya erti sebuah kehidupan.

Sebagai seorang anak kita tak pernah pun terfikir nak abaikan ibu kita yang sedang menghadapi dugaan sebab beliau adalah darah daging kita sendiri. So, apa pula bezanya suami. Dalam keadaan yang macam itu, kita fikir balik suami sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan keluarga kita. Orang kata bila kita tua-tua nanti pun dia lah juga akan menjadi peneman kita.

Saya juga sering ingat dan semat dalam hati pesan dan kata-kata orang tua kita, apabila diuji dengan dugaan yang kecil kita dipermudahkan dengan sikap tolak ansur dan memaafkan. Tak perlu diperbesarkan masalah yang ada atau mahu menyusahkan lagi keadaan. So daripada situ kita cuba bertindak untuk kebaikan keluarga bukan hanya untuk kebaikan pasangan sahaja,” bicara Datin Diana dengan tenang.

Kehidupan selebriti kini lebih terdedah dengan kritikan netizen di laman sosial yang kadang-kadang boleh mempengaruhi kehidupan. Namun, Datin Diana mengambil pendekatan yang bijak dengan tidak membaca langsung kritikan yang dilemparkan oleh netizen. Menurut wanita tinggi lampai ini, tindakan tidak membaca kritikan itu adalah jalan yang terbaik supaya tidak memberi reaksi yang dimahukan oleh mereka.

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, Datin Diana kini sedang sibuk mengendali program Kata Serasi untuk siaran NTV7. Rancangan ini mengetengahkan isu-isu keluarga, perhubungan antara pasangan, dan membongkar segala isu mengenai perspektif lelaki dan wanita yang dihoskan bersama Naz Rahman.

Ketika diajukan pertanyaan tentang perniagaan kosmetik yang diceburi sedikit masa lalu, “Selepas melahirkan anak kedua saya dah tak boleh nak tanggung komitmen menguruskan perniagaan. Sebab semuanya saya buat sendiri dan partner saya juga sudah ke luar negara. Bebanan komitmen tersebut dah buat saya sampai jatuh sakit.

Namun saya ada membuat perancangan untuk mulakan balik atau penjenamaan semula cuma saat dan ketika ini memang saya tak mampu. Fikir tentang perniagaan itu pun saya rasa lelah. Banyak pelanggan yang bertanya kenapa tak bagi pada stockist tapi saya tak pandai nak membuat urusan sebegitu. Era saya dulu bukan macam itu. Lebih baik saya stop dulu dan nanti bila ada kelapangan masa dan sumber kewangan mencukupi, baru saya akan mula balik,” tutur Datin Diana mengakhiri perbualan.

*Foto kredit: instagram @dianadanielleb

 

 

 

Anak 5 Tapi Badan Tetap Langsing Datin Jaja Kongsi Rahsia Berpantang

Anak 5 Tapi Badan Tetap Langsing Datin Jaja Kongsi Rahsia Berpantang

Pertama kali bersua muka dengan wajah jelita persis kakak kesayangannya Rozita Che Wan ini telah membuat mata tidak berhenti memandang. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui beliau mempunyai lima orang anak yang masih kecil. Memiliki tubuh langsing bak anak dara membuatkan Datin Rohaiza Che Wan atau mesra di sapa Datin Jaja ini pasti menjadi idola setiap wanita.

Memiliki anugerah bertubuh tinggi membuatkan penampilan Datin Jaja pasti mencuri tumpuan di setiap majlis yang dihadirinya. Sudah lah berwajah cantik sikap ramah-tamahnya menambat hati sesiapa sahaja yang mendampinginya malah tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya.

“Sebenarnya saya tidak mempunyai rahsia kecantikan yang khusus. Namun, apa yang boleh saya kongsi adalah amalan ketika berpantang selepas melahirkan anak. Saya jenis seorang yang kuat berpantang selepas melahirkan anak. Lebih-lebih lagi apabila jarak umur anak-anak saya sangat rapat. Oleh itu penjagaan amalan berpantang sangat penting.

Saya mahu kelihatan cantik dan bertenaga seperti mak. Saya patuh semua pantang larang yang mak ajar ketika berpantang. Pemakanan sangat penting ketika berpantang, saya cuma amalkan makan nasi panas dan halba serta ulam. Di samping itu saya juga banyak makan pegaga untuk memperbanyakkan aliran susu sebab saya menyusukan anak secara eksklusif selama dua tahun. Mungkin menyusukan anak ini merupakan ‘perancang keluarga’ saya sementelah saya tidak mengamalkan apa-apa jenis perancang keluarga.

Jika ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa dengan mempunyai anak-anak yang masih kecil, bagi saya tiada sebarang cabaran. Ini kerana apabila umur mereka rapat rutin harian saya tidak berubah. Sejak melahirkan anak pertama sehingga anak kelima saya sudah terbiasa untuk bangun malam menyusukan anak atau menukar lampin mereka. Bagi saya cabaran datang apabila kita sudah lama tidak mempunyai anak kecil dan sudah terbiasa tidak bangun malam untuk menyusukan anak tetapi tiba-tiba mempunyai anak baru lahir. Ketika itu rutin harian sudah lari dan pasti menimbulkan masalah.

Jika diizinkan Allah SWT saya mahu mendapat seorang anak lagi dan kalau boleh kali ini saya mahu anak lelaki untuk menjadi kawan kepada Fareez,” tutur ibu kepada Nur Fa’iqah Faiza Muhammad Faizal, 9 tahun, Nur Fa’izah Faiza Muhammad Faizal, 7 tahun, Muhammad Fareez Faiza Muhammad Faizal, 5 tahun, Nur Fareeqah Faiza Muhammad Faizal, 4 tahun dan Nur Fareeda Faiza Muhammad Faizal 2 tahun, ini.

*Kredit gambar: Instagram @jcw_81

 

“Wanita Berusia Tidak Boleh Berfesyen, Siapa Yang Meletakkan Sekatan Itu?” Kak Zai

“Wanita Berusia Tidak Boleh Berfesyen, Siapa Yang Meletakkan Sekatan Itu?” Kak Zai

Wanita dan fesyen umpama sebuah irama dan lagu yang sukar dipisahkan. Andai dipisahkan juga maka akan rosak sebuah lagu dan pincang iramanya. Ramai wanita yang sering keliru dalam mempersembahkan personaliti diri melalui aturan fesyen dalam diri. Sehinggakan ada di kalangan wanita yang menjadi ‘mangsa fesyen’ yang sering ditertawakan oleh mata yang memandang. Bagaimana situasi ini boleh terjadi.

Wanita perlu sedar bahawa objektif kepuasan fesyen ialah untuk tampil cantik.  Jika seseorang itu mengambil berat tentang keterampilan dirinya, ia mencerminkan harga diri individu itu sangat tinggi. Kepuasan didapati apabila seseorang menerima pujian dari orang sekeliling kerana itu adalah satu kejayaan.

Benar kah wanita boleh mengekspresikan diri melalui fesyen? Berfesyen atau tata gaya seseorang  merupakan suatu bentuk komunikasi non verbal. Adalah mustahak bagi seseorang wanita mempersembahkan tata gaya yang menarik untuk mendapatkan reaksi positif.

 Kita sering dilemparkan dengan kata-kata wanita yang berusia dikatakan tidak boleh berfesyen secara berlebih-lebihan atau mengikuti perkembangan fesyen. Siapa kata? Siapa yang meletakkan sekatan itu? Tidak mengira peringkat umur tetapi setiap individu tidak seharusnya hilang fokus tentang siapakah diri mereka. Jika fokus diri itu hilang, akan hilang kawalan diri, akan hilang juga harga diri dan hilang hormat orang terhadap individu tersebut. Keadaan sekeliling mungkin mempengaruhi seseorang tetapi keputusan untuk meletak atau mengeluarkan sekatan itu adalah di tangan anda.

Sebenarnya langsung tiada terma atau sebarang syarat buat wanita berusia untuk bergaya atau berfesyen. Buat semua wanita tidak kira yang berusia atau yang masih muda sentiasa berusaha untuk sentiasa kelihatan rapi dan cantik. Jadi seorang wanita yang hebat, yang disegani!

Begitu juga dengan wanita yang tidak mempunyai tubuh sempurna, you are responsible for the person that you have created, berbahagialah dengan diri sendiri. Jangan pandang ketidaksempurnaan diri sebagai suatu kekurangan. If you do that, ia akan melemahkan keyakinan diri. Jika setiap wanita mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tiada apa yang boleh menyekat mereka daripada mencapai matlamat yang diingini. Walaupun tidak mempunyai bentuk badan umpama seorang model.

Sering juga kita lihat ada wanita yang menyarung dari hujung rambut hingga hujung kaki dengan segala jenama mewah tetapi kelihatan murah dan begitu juga memakai jenama biasa-biasa sahaja tetapi kelihatan outstanding. Kelihatan murah ini terjadi apabila terdapat berbagai jenama dalam satu tata gaya, pada masa yang sama. Setiap jenama itu ‘menjerit’ meminta perhatian daripada orang yang melihatnya.

Analoginya ialah seperti memasuki sebuah pasar raya, apabila setiap penjual menjerit kepada pelanggan untuk melariskan produk jualannya. Juga, bila menggabungkan terlalu banyak jenama, ia akan ‘menenggelamkan’ jiwa dan pesona pemakai kerana mata orang akan tertumpu pada setiap  jenama tersebut bukan kepada pemakainya. Ia juga mencerminkan keyakinan diri yang rendah kerana jelas, pemakai memerlukan jenama tersebut untuk menaikkan keyakinan dirinya.

Jika ditanya saya lebih selesa memilih fesyen yang bagaimana? Pertama sekali, kita mesti relevan dengan apa yang terjadi di sekeliling kita, termasuk lah trend fesyen. Terdapat banyak trend yang diluahkan oleh Pereka Fesyen. Saya pilih, masukkan dan gabungkan trend semasa ini di dalam tata gaya supaya sentiasa kelihatan segar. Antara jenama favourite saya ialah Comme Des Garcon.

Jika kita sentuh sikit tentang adab menghadiri pentas peragaan fesyen, jangan kelihatan seperti ingin bersaing dengan model-model di runway. Ada bezanya di antara tata gaya untuk runway, tata gaya editorial dan tata gaya individu. Jangan keliru, kerana hasilnya nanti mungkin memalukan diri sendiri. Sebagai tetamu, bila merancang tata gaya untuk dikenakan, ikhlaslah dengan diri sendiri, niat dan perlaksanaannya.

Akhir sekali, buat semua pembaca setia Nona dalam kita berfesyen, ingat apakah impaknya terhadap alam sekeliling, tentang carbon footprint yang akan kita tinggalkan. Laksanakan tanggung jawab anda di dalam mengurangkan fashion pollution dengan tidak membeli fast fashion. Pilih kualiti daripada kuantiti.

Salam sayang,

Zaihani Mohd Zain @ Kak Zai

 

 

 

Pengantin Pilih Rekaan Innaired Dan Rizman Ruzaini  Di Hari Bahagianya

Pengantin Pilih Rekaan Innaired Dan Rizman Ruzaini Di Hari Bahagianya

Pasangan yang telah berjanji sehidup semati ini telah dinikahkan di Grand Ballroom, Shangri La Hotel, Kuala Lumpur. Pada majlis yang turut dihadiri oleh sanak saudara terdekat itu turut menyaksikan Erika menerima wang mas kahwin sebanyak RM80. Majlis penuh meriah bersaksikan kedua belah pihak semakin berseri dengan konsep bertemakan Tuscany.

Anggun dalam persalinan Innaired, Erika turut menerima sembilan tujuh hantaran mengandungi barangan keperluan diri daripada pihak pengantin lelaki dan dibalas sebanyak sembilan dulang hantaran daripada pihak pengantin perempuan. “Dulang hantaran bagi pihak saya dan suami telah digubah indah oleh Rekateemor,” bicara Erika anak kepada pasangan Tan Sri Syed Azman dan Puan Sri Maznah.

Sebelum itu pasangan sama cantik sama padan ini, telah mengikat tali pertunangan pada 29 April 2017. Majlis perkahwinan bagai tidak lengkap andai tidak membuat majlis berinai. Seminggu sebelum upacara akad nikah telah diadakan majlis berinai yang bertemakan Bollywood.

Bagi pasangan merpati dua sejoli ini, perkenalan mereka mula terjalin apabila rakan rapat memperkenalkan di antara keduanya. Setelah keserasian terjalin antara dua hati, mereka kemudian mengakhiri kisah cinta dengan sebuah perkahwinan. Kedua-duanya selamat diijabkabulkan pada 3  Mac yang lalu.

“Detik pertemuan di antara kami bermula apabila telah diperkenalkan oleh rakan terdekat. Kami mula menjadi rapat kerana mempunyai minat dan kecenderungan yang sama iaitu muzik. We both music lovers,” tutur Siti Eleena Erika atau lebih mesra di sapa Erika ini.

Menurut pengantin perempuan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, Universiti Lim Kok Wing dan Sarjana Perniagaan Antarabangsa (MBA) ini, sepanjang perkenalan, tiada dugaan besar yang dihadapi. Jika ada pun disebabkan hubungan jarak jauh kerana Erika meneruskan pengajian di luar negara.

Semarak cinta di antara Siti Eleena Erika dan Muhammad Al-Hafiz semakin terserlah saat kedua mempelai diarak masuk ke dalam dewan yang serba indah. Pasangan sama cantik sama padan ini tersenyum manis sambil mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat, ahli keluarga dan rakan terdekat di atas pelamin yang begitu cantik.

Erika kelihatan anggun menggayakan busana indah rekaan Rizman Ruzaini dan di solek indah oleh Khir Khalid di majlis resepsi pihak pengantin perempuan di Grand Ballroom, Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur. Ternyata keanggunan kedua mempelai benar-benar mencuri pandangan tetamu yang hadir dengan tema majlis Aurora Borealis yang indah.

Majlis gilang gemilang ini turut diserikan dengan kehadiran DYMM Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom, DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, DYMM Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah, T.Y.T. Tun Khalil Yaakob dan Y.A.Bhg. & Toh Puan Zurina Kassim, YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dennis Muhammad Abdullah serta beberapa kenamaan lain.

“Kami juga sepakat memilih persalinan daripada Rizman Ruzaini untuk majlis resepsi pihak saya yang diadakan di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Kedua-dua majlis akad nikah dan resepsi pihak pengantin perempuan dirancang oleh perancang majlis Rekateemor. Manakala pihak pengantin lelaki pula telah dilakukan oleh perancang perkahwinan, Kayangan Gallery.

Majlis resepsi sebelah pihak pengantin lelaki telah diadakan di Bora Ombak Marina Putrajaya seminggu selepas berlangsungnya majlis resepsi pihak pengantin perempuan. “Konsep majlis resepsi belah pihak saya lebih kepada traditional with modern twist apabila menyarungkan persalinan songket dengan warna lavenders,” ujar Hafiz anak kepada pasangan Dolmat Md Som dan Noraaini Moin ini.

Pasangan merpati dua sejoli ini telah sepakat menikmati momen terindah berbulan madu di Greece.

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: