Atas Sumbangan Masyurkan Albania Di Peringkat Global, DUA LIPA Teruja Dikurnia Taraf Kerakyatan

Siapa yang tidak mengenali penyanyi pop sensani, Dua Lipa yang terkenal dengan lagu New Rules dan Don’t Start Now ini. Baru-baru ini Dua Lipa dianugerahkan taraf kewarganegaraan Albania menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-110 negara itu, dari Kerajaan Ottoman pada 28 November 1912.

Khabarnya, menurut Presiden Bajram Begaj Dua dikurniakan taraf kerakyatan tersebut atas jasa dan peranannya memasyhurkan Albania di peringkat antarabangsa menerusi muzik dan karya seninya. Tambah Bajram, dia menganggap pengurniaan ini sebagai satu penghormatan besar kerana bintang berusia 27 tahun itu telah mengharumkan nama rakyat dan negara Albania di seluruh dunia.

Walaupun lahir dan membesar di London, bahasa pertama Dua Lipa adalah bahasa Albania. Setelah berpindah ke London, kedua orang tua Lipa masih berkeinginan untuk kembali ke negara asal mereka. Oleh kerana itu, keluarga Lipa kembali berpindah ke Kosovo ketika dia berusia 11 tahun.

“Akhirnya saya bergelar rakyat Albania di atas dokumen juga. Penerimaan dan kasih sayang ini adalah satu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan,” katanya sebelum mengangkat sumpah kewarganegaraan di Tirana City Hall. Dua kemudian dilihat merakam foto pasport, mengambil cap jari dan menandatangani borang permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan dan pasport.

Dua Lipa dilahirkan di London pada tahun 1995 dari keluarga Albania, Anesa dan Dukagjin Lipa yang berasal dari Kosovo. Muzik Dua Lipa bermula dan dipengaruh dari ayahnya yang juga seorang penyanyi dan gitaris. Dua lipa mulai bernyanyi pada usia lima tahun. Pada usia 14 tahun Dua mula memuat lagu-lagunya di YouTube. Album studio pertamanya dilancarkan 2017, dan dua tahun kemudian Dua Lipa memenangi Grammy Award untuk kategori Artis Baru Terbaik.

Dia kemudiannya bersama bapanya mengasaskan Sunny Hill Foundation pada 2016 bagi mengumpul dana dan membantu penduduk yang mempunyai masalah kewangan dengan mengadakan konsert tahunan di Kosovo.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

IKLAN
Share