
Tiada siapa yang dapat menyangkal perasaan indah sebaik sahaja ‘naik pangkat’ memegang gelaran sebagai nenek. Saat mengharungi momen sebegini adalah suatu detik yang luar biasa dalam hidup.
Bagai tak puas menatap saat pertama kali melihat cucu lahir ke dunia ini. Mungkin ini yang dirasakan oleh penyanyi bersuara emas mendendangkan lagu-lagu keroncong ini.


Dapat dibayangkan perasaan teruja Hetty Koes Endang atau lebih mesra disapa Bunda Hetty ini saat pertama kali menatap cucunya yang telah diberi nama Arlo Astrodistira Arsanda ini.
Berita gembira itu telah dikongsikan penyanyi lagu Kasih ini di laman media sosialnya serta berkongsi wajah cucu pertamanya, “Alhamdullillahirobilalamin, telah lahir ke dunia cucu Bunda,” tulisnya.


Anak perempuan Bunda Hetty, Afifah Womariah Yusuf telah selamat melahirkan anak lelaki pada 11 Ogos lalu dengan berat 3.11 kilogram.
Dalam pada itu Bunda Hetty telah mendedikasikan ucapannya terhadap puteri bongsunya yang baru berusia 24 tahun itu. Tergambar perasaan sarat dengan kasih dari seorang ibu di setiap bait tulisannya.



“Selamat sekali lagi untuk kedua ayah dan ibu baru, ibu yang kuat, sihat dan semua mendoakanmu nak,” tulis Bunda Hetty penuh kasih dan sayang terhadap anak dan menantunya.
Afifah dan suaminya, Faldo Arsanda berkahwin pada 21 November 2020 di Jakarta dengan sekali lafaz. Sebelum itu pasangan sama cantik sama padan ini telah bertunang sekitar bulan Jun 2020.

Menariknya ketika majlis pertunangan tempoh hari apabila pertembungan budaya antara adat Bugis Makassar dan Padang.
Kongsi Bunda Hetty, “Pertemuan antara adat Bugis Makassar dari keluarga suami Bunda dan juga adat Padang dari keluarga anakanda Faldo menjadi fokus utama kemeriahan yang sederhana kemarin. Khidmat, initimate, dan memorable. Mohon doa dari semua,” kongsi isteri kepada Dr. Yusuf Erwin Faisal ini.
Kenangan Haji 2 Tahun Lalu, DATIN FOUZIAH GOUS Tinggalkan Anak Baru Dibedah Demi Ibadah!

Setiap kali menjelang Zulhijjah dan Aidiladha pasti memori mengerjakan ibadah haji tahun 2018 memberi kesan kepada selebriti cantik, Datin Hajah Fouziah Gous. Mana tidaknya, waktu itulah dia dan suami benar-benar diuji untuk memilih sama ada mahu terus berada di samping anak tersayang ataupun berserah kepada Allah Taala dan menunaikan haji. Biarpun suasana haji tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya disebabkan Covid-19… namun ia bukan penghalang buat umat Islam seluruh dunia untuk terus beriman dan bertakwa kepada Yang Maha Esa.
Mengimbas kembali kenangan sehari sebelum berangkat ke tanah suci, pasangan romantis ini diduga dengan keadaan kesihatan anak bongsu mereka iaitu Zaheen Yusuf. Dalam keadaan anak yang masih tidak sedarkan diri selepas dibedah, Datin Hajah Fouziah Gous dan suami, Dato’ Haji Md Zhafran Md Yusof terpaksa meninggalkan Zaheen di Unit Rawatan Rapi (ICU). Bukan kerana tidak sayangkan anak… sebaliknya mereka yakin urusan ‘jemputan ke rumah Allah’ waktu itu lebih penting daripada segala-galanya. Malah, mereka tetap percaya ia adalah keputusan terbaik waktu itu.
Menyerahkan hidup dan mati serta nasib keluarganya kepada Allah Yang Maha Esa, Datin Hajah Fouziah dan suami selamat tiba di Tanah Suci pada saat-saat akhir selepas berdepan pelbagai halangan. Mengakui lebih selesa disapa Hajah kerana mahu menghargai kesukaran yang dilalui untuk mendapatkan ‘gelaran’ tersebut, penampilan usahawan berusia 37 tahun ini tampak lebih manis sejak dia memutuskan untuk berhijab kira-kira dua tahun lalu.
Menyimpan kemas semua pengalaman pahit dan manis sepanjang mengerjakan rukun Islam kelima itu pada Ogos 2018, Datin Hajah Fouziah terbuka membuat pendedahan eksklusif kepada Nona.
“Dua hari sebelum pergi haji anak saya, Zaheen Yusof tak sihat. Bawa pergi ke klinik dan check tapi tak demam pula. Malam tu lepas balik dari klinik saya jadi nervous bila tengok pampers dia ada darah. Bagi minum air atau susu, dia muntah. Call doktor tapi esok pagi baru doktor akan datang untuk periksa usus anak kami. Memang saya tak tidur langsung sampai ke pagi. Keesokan hari, doktor buat ultrasound. Setelah puas diperiksa, doktor kata semuanya ok dan tak jumpa apa-apa yang meragukan.
Kebetulan masa doktor suruh balik ke wad, Zaheen menjerit. Reaksi sama yang saya nampak bila dia rasa sakit. Terus doktor buat ultrasound dan nampak usus besar dan kecil dia tersangkut jadi kena dibedah. Memang besar dugaan Allah bagi tapi saya bersyukur sebab kebetulan waktu itu ada pakar bedah kanak-kanak yang bertugas dan boleh terus buat operation pada hari sama pukul 5 petang. Sampai Maghrib kami tunggu, tapi anak tak keluar lagi dari bilik pembedahan. Jujurnya, kami suami isteri dah mula tak tentu arah. Segala baju dan kelengkapan haji pun kami tak sempat buat apa-apa lagi.



Ikutkan esok dah nak pergi haji dan kumpulan kami kena berkumpul di KLIA pukul 4 pagi untuk transit di Filipina sebelum bertolak ke Mekah. Tapi sebab anak kena pembedahan kecemasan ni, kami tak jadi ikut kumpulan jemaah seramai 36 orang tu. Walaupun risau dengan keadaan anak, sedikit pun tak timbul niat untuk batalkan hasrat pergi haji. Jadi, sementara tunggu anak keluar dari operation theatre suami sempat beli tiket penerbangan ke Filipina yang dijangka bertolak waktu Subuh.”
Dugaan ibu dua anak ini tidak hanya terhenti di situ. Sebaik mengetahui pembedahan berjalan lancar namun Zaheen terpaksa diletakkan di ICU kerana keadaan dirinya yang masih kecil dan belum sedarkan diri. Waktu menatap wajah anak kecilnya itulah Datin Hajah Fouziah teringat perbualan mereka suami isteri yang secara tak sengaja mengkaji situasi pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehari sebelum dijadual berangkat ke Tanah Suci. Sungguh, ia seolah-olah menggambarkan perkara sama yang sedang dilalui mereka suami isteri pada saat itu.
“Seperti mana Nabi Ibrahim meletakkan Allah dahulu daripada anak kandungnya sendiri, seperti itu jugalah yang harus kami lakukan. Setelah bertanya kepada ustaz, semua ini adalah dugaan dan kena percaya kepada Allah. Sebab itu kami memutuskan untuk pergi mengerjakan haji walau apa cara sekalipun. Saya rasa Allah betul-betul bagi satu kekuatan yang luar biasa. Kami masing-masing macam tahu tanggungjawab nak pergi haji. Walhal bila saya ada di pejabat pun, saya akan tetap bawa anak sebab tak mampu berenggang dengan mereka.
Tengah malam lepas selesai packing baju semua, kami datang balik ke hospital nak tengok Zaheen tapi dia masih belum buka mata lagi. I try to be strong. Balik rumah, memang tak boleh tidur. Subuh tu, kami bersiap-siap untuk berangkat ke Filipina. Apa yang boleh saya katakan, bila kita tahu maksud reda yang sebenar, apa saja yang berlaku bukan lagi benda besar.

Dah sampai Filipina kami akhirnya dapat bertemu dengan kumpulan jemaah kami. Mereka sedang tunggu di dalam bas sebab penerbangan kami ditunda. Lepas makan, kami balik semula ke airport sebab waktu penerbangan dalam pukul 12 tengah malam.
Bayangkan keadaan kami suami isteri yang dua hari tak tidur. Memang lesu. Walaupun flight ditunda tapi Alhamdulilah, saya dapat facetime.. chat dengan anak. Ada hikmah tersendiri yang susah nak diungkapkan. Saya percaya Allah bagi benda yang Dia dah rancang yang terbaik untuk kita.”
Ujian datang menimpa lagi ketika mereka dijadual berlepas ke Mekah. Sebaik saja semua penumpang sudah berada di dalam pesawat, kami kemudian diarahkan keluar atas sebab teknikal. Berbekalkan beg bimbit yang hanya membawa Al-Quran dan telekung serta persalinan yang dipakainya, Datin Hajah Fouziah dan kumpulan jemaah ditempatkan di sebuah hotel di Manila buat sementara waktu. Diam tak diam, mereka terkandas di Filipina selama tiga hari dua malam.
“Masa tu 15 hari bulan Ogos.. ikutkan 17 hari bulan dah tak boleh masuk Mekah sebab dah nak wukuf. Nasib baik kami naik Saudia Airlines dan diberi keistimewaan kerajaan Arab Saudi, jadi tak terlepas wukuf. Kelebihan Allah nak bagi, saya dapat tidur puas-puas. Daripada nak buat haji tamattu.. dapat pula buat haji ifrad. Walaupun makanan, hotel dan segala keperluan kami sepanjang terkandas tu sangat best dan hebat tapi selagi tak dapat pergi Mekah, rasa kosong. Kalau tengok sudut positif pula ketika terkandas ni, saya dapat communicate dengan anak-anak saya very well. Alhamdulillah.
Sampai je malam tu kami semua terus ke Arafah. Masa dekat Muzdalifah, Arafah dan Mina pun kami terkandas. Dengan pakai baju yang sama lagi.. tapi syukur, akhirnya kami dapat mengerjakan haji dengan baik walau berdepan dengan macam-macam dugaan. Bila dikenang kembali semua kenangan ini, saya dapat rasa betapa besarnya cabaran dan
sukarnya to get my ‘Hajah’,” akhirinya.
Alhamdulillah, kini Zaheen sudah pun berusia dua tahun dan abangnya Muhammad Zeeshan, empat tahun. Dari apa yang dikongsikan Datin Hajah Fouziah, jelas menunjukkan betapa besar ‘kuasa’ yakin terhadap Allah SWT. Andai kita reda dengan ketentuanNya, yakinlah Dia ada perancangan yang lebih hebat. Moga impian kita semua untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti dimakbulkan. InshaAllah.
Tak Sangka JODOH Di Media Sosial & Lebih Muda, AIN EDRUCE Teruja Jadi Isteri 13 Disember Ini!

Kalau dah jodoh takkan ke mana. Tanggal 22 Jun 2019 menjadi detik bermakna buat Ain Edruce apabila dia selamat bergelar tunang kepada jejaka pilihan, Amirul Hafiz. Terbuka berkongsi wajah bakal suami sejak awal lagi… Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce disifatkan seorang selebriti yang mudah didekati dan terkenal dengan sikap ‘gila-gila’.
Enggan menjalin ikatan pertunangan terlalu lama dan sedar akan dugaan sebaik bergelar tunangan orang, wanita cantik berusia 28 tahun ini tanpa berselindung menjelaskan akan melangsungkan perkahwinan bersama Amirul pada 13 Disember depan.

Di sebalik kemeriahan dan majlis pertunangan serba indah yang diadakan di kediaman keluarga Ain di Sentul, pelakon yang pada mulanya agak skeptikal apabila ada dalam kalangan rakan-rakan yang bertemu pasangan di alam maya dan lebih muda daripada mereka ini sama sekali tidak menyangka turut melalui perkara sama.
“Sampai sekarang saya masih tak percaya bagaimana boleh berjumpa dengan seseorang yang saya cinta di laman sosial. Sebelum ini jika kawan yang bertemu pasangan di media sosial, saya akan menasihati mereka.
Begitu juga jika pasangan itu lebih muda daripada usia mereka. Bagaimanapun, semua itu terjadi kepada saya apabila dapat Amirul yang lebih muda daripada saya.
Saya tak rasa gemuruh untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sebaliknya lebih teruja. Saya pun sudah berusia 28 tahun, jadi memang masa yang sesuai untuk menamatkan zaman solo. Doakan semoga semuanya berjalan dengan lancer dan dipermudahkan segala urusan,” ujar Ain.
Anggun mengenakan persalinan rona pastel ilham Wanpa, Ain turut menerima sebentuk cincin dan sembilan dulang hantaran berbalas 11. Dianggarkan seramai 200 tetamu hadir memeriahkan majlis.
Menurut Ain, dia mula mengenali Amirul tahun lalu apabila tunangnya itu menghantar mesej peribadi di media sosial miliknya sebelum hubungan mereka jadi semakin serius. Ikut perancangan, Ain pernah memaklumkan akan berkahwin pada Februari depan namun ketika majlis pertunangan lalu… kedua-dua keluarga sepakat untuk mempercepat tarikh perkahwinan.
“Saya rasa tiada sebab untuk saya melambat-lambatkan benda yang baik dan mahu melakukannya tahun depan. Lagipun, apa yang saya buat ini elok, jadi saya nak ia dilakukan tahun ini.
Tambahan pula orang cakap bertunang ini banyak dugaan jadi hasil perbincangan kedua-dua pihak kami sepakat memilih 13 Disember. Malah keluarga juga berharap kami dapat disatukan secepat mungkin selepas majlis pertunangan ini.
Sumber: Harian Metro
Kredit foto: Instagram Ain Edruce
Jadi ‘Tulang Belakang’ Kejayaannya, DR WAN AZIZAH Sebak Pemergian Ibu Tersayang Usia 88 Tahun!

Salam takziah diucapkan buat seluruh keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kehilangan ibunda tersayang iaitu Datin Mariah Khamis pada 24 Oktober lalu.
Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah, Allahyarhamah ibunya menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 88 tahun di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang pada 2.45 pagi.
Jenazah ibu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Ketika ditemui media, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini kelihatan sebak tatkala ditanya kenangan di samping allahyarhamah sambil menyifatkan ibu tersayang merupakan tulang belakang kepada kejayaannya sebelum ini.
Datuk Seri Dr Wan Azizah turut ditemani anak perempuan yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.




Allahyarhamah Datin Mariah Khamis meninggalkan empat orang anak perempuan termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah dan seorang anak lelaki.
Dalam pada itu menerusi perkongsian di media sosial, Datuk Seri Dr Wan Azizah memaklumkan, “Dengan penuh keinsafan, rendah diri dan dukacita dimaklumkan bahawa ibu kami tercinta Mariah Binti Khamis telah menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 2.45 pagi kerana sakit tua.
Saya sebagai anak Almarhumah bagi pihak keluarga ingin menyampaikan permohonan maaf zahir dan batin serta mohon halal atas segala salah silap serta keterlanjuran kata dan perbuatan jika ada kepada semua yang mengenalinya sepanjang hidupnya.



Mohon doakan jua agar segala dosanya diampunkan dan bakal ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di alam barzakh dan di akhirat nanti InshaAllah
Terima kasih buat teman-teman atas ingatan serta doa buat Almarhumah. Semoga kita semua dilimpahi segala kebaikan di dunia dan di akhirat.”