Gaya Hidup

Beratnya Amanah TANGGUNG DOSA Isteri, Baca 8 Nasihat Rasulullah SAW Ini Buat Semua Lelaki Bernama Suami

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi, memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan daripada seorang lelaki.

Setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Seorang suami yang bertanggungjawab pula akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya, kemudian berusaha pula menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh si isteri yang tercinta. Tapi bagaimana caranya?

Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W ada menasihatkan para suami tentang beberapa perkara. Ayuh renung semula dan amalkan dalam rumah tangga kita!

(1) Tidak Membenci Pasangan Yang Beriman

Dalam melayari alam rumah tangga, sudah pasti ada beberapa perkara yang membangkitkan emosi atau ego antara kedua pasangan, terutama daripada pihak suami.

Masing-masing mahu mempertahankan pandangan sehingga kadang terbenci dengan sikap pasangan yang tidak mahu menyokong pandangannya. Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Janganlah seorang mukmin membenci wanita yang beriman. Jika dia membenci salah satu perangainya, maka masih ada perangai lain yang menyenangkannya.” Hadis Riwayat Muslim

Walaupun ada satu sikap isteri yang kurang disenangi oleh para suami, ingatlah ada sikap lain yang lebih baik padanya. Ini kerana boleh jadi kita membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagi diri kita.

(2) Menghormati Kaum Wanita

Muawiyah R.A berkata:

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, ‘Apakah hak isteri terhadap suaminya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menghina dan tidak pula meninggalkan isteri melainkan dia tetap berada di rumahnya’.” Hadis Riwayat Abu Daud

Dalam konteks ‘menghormati’ kaum wanita ini bukanlah bermaksud para suami perlu menjadi ‘hamba’ kepada pasangannya. Tidak sama sekali. Hadis ini merupakan panduan buat para suami supaya tidak mensia-siakan kaum wanita terutama para isteri. Rasulullah S.A.W sendiri amat menghormati dan melayani para isterinya dengan cara yang cukup mulia.

(3) Memaklumkan Kepulangan Kepada Isteri Di Rumah

Anas R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Janganlah kalian mengetuk pintu isterimu di malam hari.”

Dalam riwayat lain, Rasulullah S.A.W menegaskan larangan tersebut supaya para isteri yang ditinggalkan itu dapat membuat persiapan dengan merapikan dirinya bagi menyambut kepulangan suami masing-masing.

Ada benarnya gesaan seperti ini kerana apabila para isteri tidak dimaklumkan tentang kepulangan suami lebih awal, dibimbangi isteri yang berada di rumah dalam keadaan yang kurang menyenangkan seperti baju berbau busuk, tidak mandi lagi, rumah berselerakan, makanan tidak dimasak dan sebagainya.

Lalu, apabila situasi tersebut berlaku sejurus suami pulang ke rumah, sudah pasti akan mematikan mood si suami yang letih dan mahu beristirahat di rumah. Bahkan, lebih parah apabila keadaan ini akan menimbulkan pula kebencian di hati suami terhadap isteri yang sudah pasti akan memberi kesan terhadap institusi keluarga yang dibina.

(4) Memberi Nafkah Kepada Keluarga

Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya nafkah yang kamu keluarkan kerana mengharap keredaan Allah S.W.T nescaya akan dibalas dengan pahala, termasuk apa yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu.”

Hadis Riwayat Bukhari

Nafkah keluarga adalah satu kewajipan buat setiap ketua keluarga terutama suami. Namun begitu, haruslah diingat serta diteliti sumber bagi memperolehinya. Ini kerana apa-apa yang diberikan kepada ahli keluarga itu terutama dalam soal pemakanan kelak akan menjadi darah daging dalam tubuh mereka. Jika baik sumbernya, maka baiklah seluruhnya.

(5) Menjaga Rahsia Suami Isteri

Diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya manusia paling buruk tempatnya di sisi Allah S.W.T pada hari kiamat adalah suami yang mendatangi isterinya dan isterinya mendatanginya (berhubungan intim) lalu dia sebarkan rahsianya.” Hadis Riwayat Muslim

Menerusi hadis ini dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan sebaran rahsia tersebut adalah hal yang berlaku antara suami isteri di tempat tidur. Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci.

Oleh itu, berusahalah untuk memelihara ikatan tersebut daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya, antaranya dengan menceritakan perihal hubungan kelamin kepada rakan, ahli keluarga dan sebagainya.

(6) Perintahkan Ahli Keluarga Untuk Solat

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan, perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan, akibat itu adalah bagi orang yang bertakwa.” Surah Taha : 132

Solat yang menjadi tiang atau asas dalam agama juga perlu dititik beratkan. Ini kerana salah satu kelebihan bagi mereka yang memelihara ibadah solat ini adalah ia dapat menghindarkan diri daripada perkara yang keji dan mungkar.

Seterusnya memberi ketenangan kepada seisi rumah. Adapun, jika solat tidak dipelihara, dibimbangi ia akan memberi kesan buruk dalam kehidupan keluarga itu sendiri.

(7) Tidak Meninggalkan Isteri Terlalu Lama

Aisyah R.A meriwayatkan:

“Apabila Rasulullah S.A.W hendak melakukan perjalanan, Baginda akan mengundi isteri-isterinya dan siapa yang namanya keluar, maka dialah yang akan menemani Baginda S.A.W dalam perjalanan.” 

Hadis Riwayat Tirmizi

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W juga tidak akan meninggalkan isterinya sekalipun ketika berjihad. Baginda akan melakukan undian dan memastikan salah seorang daripada mereka akan ikut serta.

Ini kerana meninggalkan isteri dalam tempoh masa yang lama dibimbangi akan melunturkan rasa kasih seterusnya menjadikan sesebuah perhubungan itu rapuh dan mudah ditiup angin. Akibatnya, perceraian juga akan mudah berlaku.

(8) Tidak Membawa Perkara Yang Bertentangan Masuk Ke Dalam Rumah

Abu Talhah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar (patung atau lukisan).” Muttafaqun Alaih

Bagi mewujudkan rumah tangga yang harmoni, hal ini juga haruslah dititik beratkan. Sebagai ketua keluarga, para suami hendaklah memastikan tiada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam ada di dalam rumah masing-masing.

Gantikanlah hal tersebut dengan perkara yang lebih berfaedah untuk seisi keluarga seperti solat berjemaah atau bacaan Al-Quran.

Diharapkan perkongsian ini akan dapat memberi panduan kepada umat Islam terutamanya para suami yang mengemudi bahtera rumah tangga masing-masing. Norzalina Mohd Alias

Sumber: Tazkirah

IKLAN
Share