
Heliza Helmi Dinobat Aktres Pembantu Filem Popular
Ajal, maut, rezeki, jodoh dan pertemuan segalanya di tangan Tuhan. Kemenangan Datin Seri Nur Heliza Helmi merangkul anugerah Aktres Pembantu Filem Popular baru-baru ini bukan hanya mengejutkan empunya diri. Bahkan peminat industri tanah air. Ia merupakan kemunculan semula Heliza Helmi dalam bidang lakonan selepas beberapa tahun dan tertulis rezeki buatnya.
Lakonan anak seni kelahiran Terengganu ini dalam filem Pendekar Awang : Darah Indera Gajah menarik perhatian peminat sekaligus melayakkannya menggondol pengiktirafan tersebut.
Datin Seri Heliza Helmi hadir ke Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37 pada 13 Disember lalu. Bintang filem Syurga Cinta berkenaan ditemani adik tersayang, Nur Hazwani Afiqah Helmi.
Pada acara itu, Heliza tampil mempersona dengan persalinan eksklusif rekaan Eja Shahril. Lebih istimewa, Heliza yang juga penyanyi turut membawa bersama bendera Palestin sebagai tanda solidariti berterusannya terhadap rakyat negara tersebut sampai ke hari ini.
Daripada video yang dikongsikan Hazwani jelas kelihatan riak wajah terkejut saat namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Aktres Pembantu Filem Popular ABPBH Ke-37.
Menerusi perkongsian di media sosial, Datin Seri Heliza Helmi meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut. “Tak pernah menyangka sama sekali hatta masuk pencalonan pun tak pernah terfikir. Menang apatah lagi.
Rezeki ini dari Allah asbab sokongan kalian semua. Ini untuk anda!!! Perjuangan kita belum selesai. InsyaAllah terus sumud!”
Tambahnya lagi, “Alhamdulillah! I don’t deserve, tapi Allah yang Maha Baik dan kemenangan ini bukan untuk saya. Ia lahir asbab daripada tangan-tangan yang mengundi, daripada hati-hati yang percaya, daripada doa-doa yang diam-diam naik ke langit. Terima kasih.
Sebenarnya, anugerah ini hanya dipinjamkan kepada saya – sebagai amanah, bukan kemegahan. Dalam senyuman ini ada rasa syukur, tapi juga ada rasa sedih. Kerana di saat kita diraikan, ada saudara kita yang masih disenyapkan.”
Sementara itu, suami tercinta yang juga usahawan Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman turut berbangga dengan kejayaan isteri tersayang. Teruja dengan kemenangan itu, Datuk Seri Mahadi membuat kejutan istimewa buat Datin Seri Heliza Helmi.
“Alhamdulillah Ya Allah. Aku jatuh cinta bukan hanya pada senyummu. Tapi pada kesungguhanmu mengejar redaNya. Tahniah ‘my cute pondati’ atas penganugerahan trofi Aktres Pembantu Filem Popular ABPBH 37 baru-baru ini.
Ingatlah yang ini bukan sekadar anugerah, tapi amanah. Semoga setiap langkah kita selepas ini lebih dekat kepada Allah dan memberi manfaat kepada ramai orang. Teruskan perjuangan dakwah dalam seni.”
Datuk Seri Mahadi dan Datin Seri Heliza mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2022.
This website uses cookies.