
Farah Ann Jadi Tenaga Pengajar & Berlakon
Tiga tahun bersara sebagai atlet tapi kecintaan Farah Ann Abdul Hadi dalam dunia sukan masih menebal. Buktinya selain menjadi antara tenaga pengajar barisan atlet baharu, bekas ratu gimnastik ini turut menerima pelantikan sebagai Chef de Mission bagi kontinjen Malaysia sempena Sukan Belia Asia Ke-3 baru-baru ini.
Ternyata pengalaman berharga yang diperoleh Farah Ann sepanjang menjadi atlet amat diperlukan untuk memimpin pelapis baharu dunia sukan.
Menurut kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pelantikan tersebut dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) bertujuan menampilkan kepimpinan dinamik dan berpengalaman luas di pentas antarabangsa.
Farah Ann diberi kepercayaan menyandang tanggungjawab selaku ketua kontinjen negara ketika Sukan Belia Ke-3 yang berlangsung dari 22 hingga 31 Oktober lalu di Manama, Bahrain.
Pada temasya sukan itu, acara ekuestrian (Show Jumping) yang disertai YM Puteri Sharifah Ariel Budriah Jamalullail meraih pingat emas. Begitu juga atlet Pencak Silat, Muhammad Raqib Darwisy berjaya merangkul pingat gangsa.
Farah Ann Abdul Hadi mengumumkan persaraan pada Mac 2022. Sepanjang pembabitannya dalam arena sukan, wanita cantik berusia 31 tahun ini membawa pulang 12 pingat dalam penyertaan di Sukan SEA termasuk tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa dalam empat edisi iaitu 2011, 2015, 2017 dan 2019.
Mengimbas kembali pembabitan awal Farah Ann dalam sukan gimnastik, sejak kecil ibu dan bapanya sudah mendedahkan mereka dua beradik dengan sukan berkenaan.
Tambah anak kepada pasangan Abdul Hadi Ahmad dan Kimberly Ann Gagnon ini lagi, galakan untuk menceburi bidang berkenaan adalah disebabkan ibu bapanya turut datang dari latar belakang yang sama.
“Disebabkan saya bersikap hiperaktif dan suka bermain monkey bar di taman permainan, ibu bapa saya memilih sukan gimnastik untuk kami ceburi.
Justeru, seawal usia tiga tahun, saya sudah mula dihantar mengikuti kelas gimnastik bersama kakak saya, Katrina Ann yang pada masa itu berusia lima tahun. Katrina pula kini merupakan atlet renang berirama negara.
Memasuki umur enam tahun, saya sudah mula menyertai pertandingan di peringkat negeri Selangor. Manakala ketika menginjak umur tujuh tahun pula, saya berjaya mewakili Selangor untuk bersaing di peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Melihat potensi saya untuk pergi jauh dalam arena sukan gimnastik, saya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil.
Nyata penglibatan saya dalam sukan gimnastik mula serius setelah menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu di sekolah tersebut,” ujar gadis kelahiran Subang Jaya ini.
Selepas bersara juga Farah Ann turut mengasah potensi diri dan mengembangkan bakat dalam industri seni. Dia muncul dalam drama Generasi: Perfect 10 yang dibintangi Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis.
This website uses cookies.