
Puteri Sirivannavari Puteri Diraja Thailand Berbakat & Aktif Sukan
Status puteri diraja yang digalas Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya sama sekali tidak membuatkan beliau merasa selesa dengan gelaran tersebut. Sebaliknya membuatkan anakanda perempuan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ini lebih berani dan mahu meneroka lebih banyak potensi diri yang ada dalam dirinya.
Enggan mengambil jalan pintas untuk menggapai impian, wanita bangsawan ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni dari Chulalongkorn University dan Sarjana bidang rekaan, Ecole de la Chambre Syndicale de la Couture Parisienne, Paris.
Bersandarkan kelayakan itu, beliau dianugerahkan Kedoktoran Kehormat dalam Seni Halus dan Gunaan dari Chulalongkorn University.
Pastinya Puteri Sirivannavari menjadi kesayangan rakyat kerana beliau bukan hanya merendah diri dan berbakat. Malah tidak kekok berada di samping khalayak dan turun padang bertemu mereka.
Apatah lagi beliau sentiasa mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 38 tahun pada 8 Januari lepas, figura jelita berkenaan melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila melancarkan butik label fesyennya baru-baru ini.
Menerusi video dan imej mengenai puteri diraja Thailand ini yang tular di media sosial, Puteri Sirivannavari selesa menjalani kehidupan seperti rakyat biasa yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara.
Menelusuri latar belakang personaliti terkenal dunia ini, beliau merupakan anakanda hasil perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX.
Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan memetik laporan Bangkok Post, beliau pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan itu saja, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan ekuestrian dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.
Selain berbakat besar dalam bidang sukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut.
Bersandarkan minatnya dalam bidang fesyen, personaliti ini telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler. Bahkan pernah mereka busana penyanyi tersohor Hollywood, Mariah Carey dan Miss World Thailand, Suchata Chuangsri.
Pada pertengahan April 2021 ketika Thailand berusaha mengekang penularan Covid-19, puteri kesayangan Raja Maha Vajiralongkorn ini melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat.
Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari, terbukti beliau seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
This website uses cookies.