Status puteri diraja yang digalas Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya sama sekali tidak membuatkan beliau merasa selesa dengan gelaran tersebut. Sebaliknya membuatkan anakanda perempuan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ini lebih berani dan mahu meneroka lebih banyak potensi diri yang ada dalam dirinya.
Enggan mengambil jalan pintas untuk menggapai impian, wanita bangsawan ini memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni dari Chulalongkorn University dan Sarjana bidang rekaan, Ecole de la Chambre Syndicale de la Couture Parisienne, Paris.
Bersandarkan kelayakan itu, beliau dianugerahkan Kedoktoran Kehormat dalam Seni Halus dan Gunaan dari Chulalongkorn University.
Pastinya Puteri Sirivannavari menjadi kesayangan rakyat kerana beliau bukan hanya merendah diri dan berbakat. Malah tidak kekok berada di samping khalayak dan turun padang bertemu mereka.
Apatah lagi beliau sentiasa mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Ads
Meniti usia 38 tahun pada 8 Januari lepas, figura jelita berkenaan melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila melancarkan butik label fesyennya baru-baru ini.
Menerusi video dan imej mengenai puteri diraja Thailand ini yang tular di media sosial, Puteri Sirivannavari selesa menjalani kehidupan seperti rakyat biasa yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara.
Menelusuri latar belakang personaliti terkenal dunia ini, beliau merupakan anakanda hasil perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Ads
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX.
Sirivannavari Aktif Sukan
Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan memetik laporan Bangkok Post, beliau pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan itu saja, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan ekuestrian dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur.
Ads
Selain berbakat besar dalam bidang sukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut.
Bersandarkan minatnya dalam bidang fesyen, personaliti ini telah beberapa kali menjadi wajah penghias majalah elit seperti Vogue, Elle dan Thailand Tatler. Bahkan pernah mereka busana penyanyi tersohor Hollywood, Mariah Carey dan Miss World Thailand, Suchata Chuangsri.
Pada pertengahan April 2021 ketika Thailand berusaha mengekang penularan Covid-19, puteri kesayangan Raja Maha Vajiralongkorn ini melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat.
Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari, terbukti beliau seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Luqman Al-Hakim Bin Aliff Syukri”. Itulah nama yang menjadi pilihan Datin Seri Nur Shahida dan Datuk Seri Aliff Syukri buat cahaya mata keenam mereka yang dilahirkan pada Isnin lalu.
Nama Luqman Hakim bermaksud Nama nabi, bijaksana, jalan yg jelas; Arif, Yang bijaksana.
Pasangan usahawan ini sepakat memilih nama Luqman Al-Hakim buat cahaya mata keenam mereka yang disifatkan membawa rezeki buat mereka sekeluarga.
Menerusi perkongsian di laman Instagram milik Datin Seri Nur Shahida, ibu kepada enam orang cahaya mata itu meluahkan rasa syukur kerana kelahiran zuriat ini memberi rezeki tersendiri.
“Alhamdulillah, budak kecil ini bawa rezeki sungguh. Lahir-lahirnya terus murah rezeki.
“Banyaklah benda-benda tak sangka rezeki datang bergolek. Betullah orang cakap tiap anak rezeki berbeza-beza,” ujarnya.
Laman Instagram milik isteri usahawan kontroversi ini dipenuhi ucapan tahniah di atas kelahiran cahaya mata yang sihat dan ramai memuji rupa paras Luqman yang disifatkan mempunyai raut wajah yang comel.
Mengimbas kembali proses kelahiran Luqman Al-Hakim, kali ini Nur Shahida terpaksa bertarung nyawa selama 15 jam untuk proses kelahiran Luqman di mana dia turut menyifatkan kehamilan kali ini paling sukar buat dirinya.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007 dan dikurniakan cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi dan Raudah Arshiyah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sudah hampir 4 bulan tragedi serangan berdarah di Christchurch, New Zealand berlalu namun kesannya sangat mendalam di hati umat Islam sedunia.
Mengintai khabar terbaharu salah seorang rakyat Malaysia yang tercedera dalam kejadian itu, Nazril Hisham Omar, 49 tahun, nyata kesihatannya semakin pulih.
Menghubungi isteri kepada Nazril Hisham Omar, seorang Pensyarah di Fakulti Perhotelan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Dr Zurinawati Mohi, 48 tahun, yang masih di New Zealand menyatakan suaminya telah melalui perkembangan yang positif.
“Alhamdullilah, saya masih bercuti menjaga suami dan anak-anak. Nazril pun dah boleh berjalan dalam rumah tanpa tongkat.
Physioterapist yang merawatnya mencadangkan agar suami membuat aquajog dan kayuh basikal di gym,” tutur ibu kepada Muhammad Haqiem Daniel, 18 tahun, Muhammad Hazieq Daniel, 14 tahun, dan Muhammad Hazriq Daniel 10.
Tambah Dr Zurinawati lagi “Banyak lah beransur-ansur sihat tetapi masih perlu ke hospital untuk rawatan susulan,” cerita Dr Zurinawati yang sedang membawa pelajar-pelajarnya membuat lawatan sambil belajar ke Hatyai, Thailand ketika tragedi berdarah itu berlaku.
Bercerita tentang anak-anak pula, tutur Dr Zurinawati, “Anak-anak dah mula bersekolah. Tetapi sekarang 2 minggu term break. Sekarang di New Zealand sedang winter, jadi kami hanya berkurung dalam rumah saja,” katanya.
Mengimbau kisah peristiwa berdarah itu, “Suami dihempap beberapa mayat berlumuran darah dan melihat jelas lelaki itu menembak jemaah lain, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera.
Suami menganggap letupan yang berlaku dalam masjid itu adalah letupan mercun. Bagaimanapun, suami memberitahu dia terkejut apabila melihat jemaah lain ditembak dan dia cuba melarikan diri, tetapi tidak berjaya kerana turut ditembak di bahagian belakang dan kaki.
Ketika menceritakan kejadian itu, suami menangis sambil tidak berhenti menyatakan rasa syukur kerana masih bernyawa walaupun dihempap banyak mayat dan cedera ditembak dalam tragedi itu,” kata Prof Madya Dr Zurinawati yang terus berangkat ke New Zealand sebaik menerima berita tragedi yang menimpa suaminya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bulan Syawal adalah bulan sangat yang sangat istimewa kerana sepanjang bulan tersebut adalah merupakan Hari Raya. Hari kemenangan dan kegembiraan, hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan. Terdapat banyak keistimewaan di bulan Syawal yang wajar diraikan dengan rasa penuh kesyukuran.
Apatah lagi apabila dapat berkumpul bersama keluarga, ia merupakan momen yang menjadi kenangan sepanjang hayat .Kebahagiaan jelas tergambar di saat masing-masing mula berkongsi pengalaman yang sentiasa segar dalam kotak ingatan.
Bagi pasangan kembar, Nik Aidil Maria Datuk Haji Nik Sapeia dan Nik Aidil Marina Datuk Haji Nik Sapeia, Aidilfitri merupakan momen indah dalam lipatan kisah hidup mereka memandangkan pasangan kembar ini dilahirkan pada tanggal 1 Syawal.
“Sudah tentu setiap kali tibanya Syawal ia merupakan tarikh yang istimewa di hati kami. Kebetulan kami dilahirkan pada pagi 1 Syawal. Jadi, setiap tahun semasa kecil setiap kali tibanya 1 syawal kami akan menyambut harijadi kami mengikut kalendar Islaim. Dalam erti kata lain, kami menyambut tarikh lahir buat kali kedua selain dari tarikh lahir sebenar kami,” ujar Nik Aidil Maria mewakili kembarnya yang mengiyakan perbualan bersama penulis.
Tambah Nik Marina pula, lebih istimewa bapa tersayang, Datuk Haji Nik Sapeia Nik Yusoff mengabadikan perkataan Aidil pada nama mereka bagi menunjukkan sinonim kelahiran pasangan kembar ini di pagi sambutan 1 Syawal.
“Bayangkan semasa kecil kami sering berpakaian sedondon dan menyambut kedatangan 1 Syawal dengan meriah apatah lagi kami dilahirkan pada tanggal satu Syawal, di mana setiap umah Islam menyambut kemenangan setelah selesai melakukan ibadat berpuasa selama sebulan.
Semasa zaman kanak-kanak, kami sering berpakaian sedondon cuma berlainan warna sahaja. Tetapi apabila semakin meningkat remaja, kami sudah mempunyai sense of fashion tersendiri dan sudah tidak menyambut hari jadi di pagi Syawal,” ujar Nik Marina sambil mengimbas keistimewaan tarikh satu Syawal bagi diri mereka.
Walaupun memori itu sudah lebih 10 tahun berlalu, zaman kanak-kanak menjadi saat terindah dan tidak mungkin dilupakan kerana tradisi yang dilakukan ketika itu sudah ditelan zaman.
Memandangkan pasangan kembar ini sudah mempunyai keluarga masing-masing, pastinya ketibaan Syawal amat dinanti-nantikan bagi membolehkan keluarga besar ini berkumpul dan meraikan Syawal dalam suasana yang harmoni dan penuh keberkatan.
Bagi Nik Marina, kebiasannya apabila menjelang satu Syawal, semua ahli keluarga akan berkumpul lebih awal bagi menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia. Tambah Marina lagi, seperti keluarga lain, kediaman keluarga yang terletak di Pasir Tumboh, Kota Bharu menjadi lokasi untuk kaum keluarga dan sahabat handai berkumpul dan menziarahi antara satu sama lain.
“Setiap keluarga pastinya mempunyai cara tersendiri menyambut kedatangan bulan kemenangan bagi umat Islam. Menyentuh tradisi keluarga, selepas selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga akan berkumpul dan sesi bermaaf-maafan mula mengambil tempat. Saat begini pastinya terbit rasa syahdu apabila masing-masing saling meminta dan memberi kemaafan. Tetapi ia adalah momen yang menyentuh hati dan memberi kesan di hati masing-masing. Selepas itu, barulah kami sekeluarga akan menziarahi pusara datuk dan nenek yang telah kembali ke Rahmatullah,” ujar Nik Marina yang sering menerima kehadiran tetamu di kediamannya dari pagi sehingga ke lewat malam.
Bagi Nik Maria, ibu tunggal kepada dua cahayamata pula berkata, saban tahun dia dan dua permata hatinya akan menyambut Syawal di Kota Bharu Kelantan. Pulang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang empat hari sebelum Aidilfitri sudah menjadi rutin tiga beranak ini setiap kali tibanya Syawal. Tambah Maria lagi, tidak sah sambutan Aidilfitri jika tidak dapat berkumpul bersama keluarga besarnya di Kelantan tambahan pula kemeriahan Aidilfitri lebih terasa apabila berada di samping keluarga tersayang.
KEMERIAHAN LEBARAN
Tidak sah memperkatakan tentang keistimewaan Syawal tanpa menyentuh juadah kegemaran yang menjadi pilihan di musim perayaan. Bagi pasangan kembar ini, selera masing-masing terhadap juadah tradisional amat menyerlah apabila kedua-duanya sepakat memilih menu Kuzi Ayam sebagai menu kegemaran mereka.
“Juadah kegemaran kami semasa hari raya sudah semestinya kuzi ayam. Saya masih ingat keenakan menu kuzi ayam yang dimasak oleh arwah nenek dan mak. Lebih berselera apabila menu kuzi ayam dijamah bersama ketupat tawar dan dicicah bersama air gula Melaka. Alhamdullilah saya sempat belajar dari mak cara membuat Kuzi Ayam resepi turun temurun arwah nenek dan berjaya mendapat rasa yang sama,” ujar Nik Maria yang gemar memasak.
Bagi kembarnya yang turut menggemari menu yang sama menambah kebiasannya dia lebih gemar menyediakan sendiri aneka kek dan biskut untuk dinikmati oleh para tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Saya dan Maria mempunyai tugasan masing-masing apabila tiba musim raya. Kebiasaannya dia akan memasak hidangan seperti nasi dagang dan kuzi. Semasa zaman kanak-kanak saya sering fikir tidak perlu belajar memasak tetapi apabila sudah berkeluarga, saya perlu mempelajari pelbagai menu hasil air tangan ibu kerana ia merupakan warisan turun-temurun yang paling bernilai. Memang benar kata pepatah masakan ibu adalah masakan terbaik di dunia. Jadi, saya dan Maria mahu menambahkan lagi ‘ilmu memasak’ terutamanya resipi keluarga agar ianya tidak pupus dan dilupakan begitu sahaja,” ujar Marina lanjut.
Tidak sah jika tidak mengajukan persoalan mengenai sambutan Aidilfitri bagi pasangan kembar seiras ini tanpa menyentuh mengenai fesyen yang digemari oleh kedua-duanya. Melihat dari segi penampilan, kedua-duanya tidak banyak berbeza antara satu sama lain dan penulis pasti sense of fashion kedua-duanya juga tidak jauh berbeza. Namun begitu, telahan penulis ternyata meleset memandangkan Maria mahupun Marina mempunyai citarasa fesyen yang agak berbeza.
“Walaupun kami dilahirkan sebagai pasangan kembar, pilihan gaya berfesyen sedikit berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, Marina lebih gemarkan gaya yang ringkas dan elegan manakala maria lebih gemar mengikut fesyen terkini. Namun begitu, berbalik kepada fesyen semasa menyambut Aidilfitri, kami sepakat memilih gaya yang lebih elegan namun masih sopan dan tidak terlalu sarat dengan perhiasan jemeki. Maklumlah, jika terlalu sarat bergaya pastinya menyukarkan kami melayan para tetamu yang berkunjung ke rumah. Yang penting, pemilhan pakaian biarlah selesa dan sopan serta anggun,” ujar Nik Maria mewakili kembarnya.
Ditanya pula mengenai pengalaman Aidilfitri yang menjadi memori indah dalam diri mereka, Nik Marina yang pernah menyambut ramadan dan Aidilfitri di perantauan berkongsi momen meraikan hari istimewa jauh dari keluarga tersayang.
“Saya pernah berjauhan dengan keluarga ketika saya mengikut suami bertugas di utara Jepun selama 2 tahun Memang terasa sedih ketika menyambut bulan puasa dan berhari raya di negara orang. Perasaan rindu kepada ayah dan ibu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tambahan pula, rindu hendak menjamah hidangan istimewa seperti nasi kerabu, nasi dagang dan sebagainya. Tetapi ia merupakan pengalaman yang berharga bagi diri saya dan keluarga,” ujar Nik Marina.
Manakala bagi Nik Maria pula sejak dari kecil hingga kini tidak pernah berjauhan meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan kenangan ketika hamil anak kedua membuktikan hubungan kekeluargaan mengatasi segalanya.
“Sambutan Aidilfitri pada 2012 merupakan Syawal yang berbeza bagi diri saya tetapi melakar kenangan indah dalam sejarah kami sekeluarga. Ketika itu, saya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak kedua saya Maira Qaireen Sapeia yang dilahirkan pada 3 Syawal 2011. Saya terharu kerana semua ahli keluarga sanggup meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur semata-mata untuk menemani saya. Ia merupakan pengorbanan Syawal yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Bagi saya mahupun Marina menganggap keluarga adalah segala-galanya bagi kami dan tiada galang gantinya,” ujar Nik Maria seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amna Al Qubaisi mencipta sejarah sebagai pelumba wanita UAE yang memecah dominasi lelaki dalam motorsport, simbol inspirasi, kecantikan dan pemerkasaan wanita moden.