Gaya Hidup

Cheryl Samad Ada Genetik Melayu, Eurasian & Portugis, Potret Bersama Ibu Undang Perhatian!

Potret Cheryl Samad bersama ibunya baru-baru ini mencuri perhatian ramai, bukan sekadar kerana kecantikan semula jadi yang diwarisi turun-temurun, tetapi juga kisah keluarga berbilang budaya yang jarang diketengahkan secara terbuka. Dalam satu hantaran ringkas namun sarat emosi, Cheryl berkongsi ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ibunya yang diraikan secara sederhana tetapi penuh makna.

“Ma, I know your birthday was two weeks ago, but I still wanted to put this up. Happy Birthday to the most wonderful woman I know,” tulisnya, disertai potret mesra yang memperlihatkan keakraban ibu dan anak. Reaksi peminat rata-rata terpegun melihat kecantikan ibunya yang kekal anggun pada usia 74 tahun, sekaligus mencerminkan keindahan genetik yang dimiliki oleh Cheryl Samad.

Merupakan anak kedua daripada tiga beradik, Cheryl Marina Abdul Samad dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur dalam sebuah keluarga yang kaya dengan kepelbagaian latar belakang. Bapanya berketurunan Melayu, manakala ibunya pula memiliki darah Eurasian-Portugis. Gabungan ini membentuk identiti unik yang terserlah bukan sahaja dari segi fizikal, malah dalam cara hidup dan pemikiran.

IG @cherylsamad
IG @cherylsamad
IG @cherylsamad

Menurut Cheryl, keluarganya meraikan hampir semua perayaan utama di Malaysia. Daripada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina sehinggalah Deepavali, setiap perayaan diraikan sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi mereka, perbezaan agama dan budaya bukan jurang pemisah, sebaliknya kekuatan yang menyatukan.

Cheryl sering menyifatkan keluarganya sebagai sangat rapat, saling menyokong dan membesar dengan nilai toleransi yang tinggi. Pendedahan kepada kepelbagaian budaya sejak kecil menjadikannya seorang individu yang terbuka, mudah menyesuaikan diri dan menghormati perbezaan.

Peranan Ibu

Kini berusia 46 tahun, Cheryl merupakan ibu kepada dua cahaya mata perempuan, Kate dan Stella. Dalam hantaran sama, beliau turut meluahkan rasa syukur atas didikan ibunya yang menjadi inspirasi besar dalam perjalanan keibuannya sendiri.

“Terima kasih kerana selalu mengajar saya erti cinta dan menjadi contoh ibu terbaik kepada anak-anak. Saya tak mampu meluahkan betapa bermaknanya ibu dalam hidup saya,” tulisnya lagi, disertai ungkapan kasih yang tulus dan penuh penghargaan.

Cheryl turut mengimbau nostalgia dengan berkongsi foto bersama ibu dan adik-beradiknya sewaktu kecil. Nampak cheeky betul wajah Cheryl, bahkan rupanya sejak kecil sudah petah bercakap!

IG @cherylsamad

Ini pula perkongsian Cheryl Samad ketika sambutan hari jadi ibunya tahun lalu. Aunty Cat usia 70-an tetap nampak sihat dan jelita macam usia 50-an.

IG @cherylsamad
IG @cherylsamad
IG @cherylsamad

Perjalanan Seni

Nama Cheryl Samad bukan asing dalam industri hiburan tempatan. Kariernya bermula seawal usia empat tahun apabila secara tidak sengaja terpilih membintangi iklan komersial ketika menemani kakaknya menghadiri sesi uji bakat. Dari situ, langkahnya dalam dunia seni berkembang secara semula jadi.

Fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau mula mencipta nama sebagai pengacara sekitar tahun 2009. Popularitinya melonjak apabila diberi kepercayaan mengendalikan program berprestij seperti Muzik-Muzik, selain terlibat dalam Malaysia Idol, MTV Asia VJ dan Anugerah Juara Lagu.

Kepercayaan besar juga diberikan kepadanya apabila terpilih mengacarakan acara pembukaan Sukan SEA 2017, satu pencapaian yang membuktikan kredibilitinya sebagai pengacara profesional yang disegani.

Dalam dunia lakonan, Cheryl turut meninggalkan jejak menerusi filem Ghost, Ghost 2 dan siri The Bridge. Namun seiring pertambahan usia dan perubahan fasa kehidupan, beliau memilih untuk memperlahankan langkah dalam dunia seni bagi memberi fokus kepada keluarga.

IG @cherylsamad

Walaupun jarang muncul di kaca televisyen, cinta terhadap dunia seni tidak pernah pudar. Dalam diam, beliau masih aktif menerima undangan mengendalikan acara tertutup dan majlis korporat, membuktikan profesionalisme serta karisma dirinya kekal relevan.

Cheryl Samad hari ini adalah refleksi wanita moden yang seimbang antara kerjaya, keluarga dan jati diri, dibentuk oleh warisan budaya yang indah serta didikan seorang ibu yang menjadi nadi kekuatannya.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/datuk-syafinaz-selamat-53-tahun-pencapaian/

Share
Published by
Norzalina