Sekalung tahniah buat Farah Ahmad dan keluarga atas kejayaan anak tersayang yang menamatkan pengajian di menara gading baru-baru ini. Berkat kesabaran dan disiplin yang tinggi dalam mendidik anak-anak selama ini akhirnya Dhia Farhana Mohd Firdaus yang merupakan cahaya mata sulung Farah Ahmad dan Allahyarham Mohd Firdaus Mohamad Hanif melakar pencapaian membanggakan.
Khabar gembira ini bukan hanya membahagiakan Farah tetapi yang lebih utama menunjukkan betapa cekalnya hati aktres berbakat besar ini membesarkan tiga orang cahaya mata dengan sebaiknya selepas kematian suami tercinta kira-kira enam tahun lalu.
Menerusi perkongsian Farah di media sosial, jelas terpancar wajah ceria ibu ini saat menyaksikan anak perempuan yang juga cucu kepada seniwati tanah air, Datuk Fauziah Nawi tersebut menerima skrol diploma ketika Istiadat Konvokesyen ke-101 Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 25 Mei lepas.
Farah atau nama penuhnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin meluahkan rasa syukur dan menyifatkan puteri sulungnya ini seorang anak yang bijak, sering memberi contoh terbaik kepada adik-beradik yang lain dan kesayangan arwah bapanya.
Titip Farah buat anak tersayang, Dhia, “Anak, terima kasih atas kesungguhan mencari ilmu dalam hidup. Ingat setiap detik adalah permulaan detik. Detik permulaan di mana setiap kejayaan akan tercapai dengan dugaan di awalnya dan kebahagiaan di akhirnya.
Anak, terima kasih menjadi anak kepada Ayah dan Mama. Ayah lil girlfriend
melepasi lagi satu fasa bersama semangat awak. Terima kasih menjadi kakak kepada adik-adik. Kami sangat menghargai.Teruskan mencari ilmu dan terus berkongsi ilmu. Dari mama, ingat dahulu ADAB dalam berilmu. Jaga hati jaga diri. Tahniah my Mini Me.”
Pada majlis konvokesyen tersebut, Farah kelihatan anggun dalam persalinan tradisi kurung rona hitam lengkap berselendang coklat cair bersama dua lagi anak perempuan tersayang iaitu Mhia Farhana dan Thia Farhana.
Turut meraikan hari bersejarah Dhia itu ialah nenda kesayangan, Datuk Fauziah Nawi.
Anak lelaki Datuk Fauziah Nawi iaitu Allahyarham Pitt Hanif ditemukan meninggal dunia pada 26 Oktober 2019 selepas bot yang dinaiki untuk pergi memancing terbalik di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.
Farah Ahmad mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Pitt Hanif pada 22 Februari 2000. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan.
This website uses cookies.