Dalam Bisnes Tak Boleh Malu, Kak Nab Dedah Pengalaman Berniaga Di Pasar Malam & Kini Dah Ada Wisma Sendiri!

Kejayaan takkan pernah datang bergolek. Setiap kesenangan yang dinikmati hari ini adalah hasil usaha dan keizinan dariNya untuk berjaya. Sedekad bergelar usahawan, Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih dikenali sebagai Kak Nab sudah pun melalui pelbagai suka duka dunia perniagaan.

Walau kini memiliki banyak cabang bisnes dan ada wisma sendiri tapi Kak Nab enggan terlalu mendongak ke langit. Sebaliknya dia perlu bijak merencana hala tuju perniagaan. Meniti usia 34 tahun, usahawan kelahiran Kedah ini mengakui dia tidak berasal dari keluarga berada tapi bukanlah juga datang dari kehidupan yang susah.

Artikel https://www.nona.my/dulu-jual-car-boot-kini-kak-nab-dah-ada-butik-produk-kosmetik-jadi-inspirasi-ramai/

Kak Nab Minat Bisnes

Sejak kecil, Kak Nab dididik agar berdikari apatah lagi dia merupakan anak sulung. Ujar Pengasas NB Group ini disebabkan status sebagai anak sulung, jiwanya jadi kental dan menjadi saksi kepayahan ibu bapa mencari rezeki membesarkan anak-anak.

“Mak tahu saya jiwa bisnes dari kecil. Dari kecil saya jual ais kacang, ais krim Malaysia, kerepek dan sebagainya. Zaman universiti pula, saya jual tudung. Saya ambil baju yang tak habis, saya jual dari rumah ke rumah. Kelas habis pukul 3, pukul 5 saya dah jual. Masa tu saya bertugas di UiTM Merbok,” ujar Kak Nab yang merupakan graduan perniagaan dan perbankan.

Tambahnya lagi, “Saya pernah jual di pasar malam, pasar pagi dan car boot. Saya ni juga orangnya tapi malu bertempat. Orang perempuan kalau dia nampak duit, mata tak berkelip. Saya ok je (berniaga) as long as dapat duit.

Kalau ikutkan background. Ayah saya pernah berniaga sate. Masa tu mak saya mengandung adik nombor dua. Keluarga kami sederhana. Saya diajar untuk dapatkan sesuatu guna kudrat sendiri. Contohnya Hari Raya, hanya sekali je setahun saya dapat baju baru. Kalau nak beli baju lain, gunalah duit yang jual ais kacang.”

Cabaran Kak Nab Urus Bisnes

Sepanjang 10 tahun membina legasi, Kak Nab berjaya menguruskan bisnes pakaian iaitu Nabella Butik, produk kecantikan menerusi Nab Beauty, produk makanan iaitu Nab Manees, dan pengurus acara Fantastic Food Festival yang kian dikenali ramai.

Berkongsi pengalaman sewaktu mula berniaga, Kak Nab berkongsi cerita. “Kekuatan saya adalah marketing tetapi kelemahan saya management. Kebetulan masa tu suami saya kerja di Bank Simpanan Nasional (BSN).

Saya mengandung anak kedua saya stress, saya tak bolehlah buat bisnes ni. Saya beri dua kata putus dekat suami. Sama ada you nak berhenti kerja atau saya nak stop bisnes sebab tak boleh kita nak handle dengan anak lagi, bisnes kan penat.

Sayalah beli kain, sayalah hantar tukang jahit, sayalah model, sayalah packing. Saya dah macam nak burnout dah.

Masa tu husband saya rezeki dia pegang jawatan Top 2 BSN bahagian Mortgage. Rasa bersalah tapi saya kena buat juga sebab saya nak jaga mental saya. Lepas tu bila kita bincang, lama fikir sama ada nak berhenti.

Dia hantar tender resign, semua terkejutlah. Kenapa tengah top, hantar tender resign. Dia cakap dia nak tolong isteri dan dia pun handal bab management. Bila kita dah bersatu, kita bolehlah management suami jaga. I jaga marketing. Sampai hari ni alhamdulillah saya dah ada 30 staf.”

Sebagai individu yang pernah bergelumang dengan jatuh bangun dunia perniagaan, Kak Nab terpanggil untuk menitipkan pesanan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan.

“Dalam bisnes ini kalau dah tak untung contohnya. Jangan malu untuk berhenti. Setengah kita malu, jatuh standard tutup bisnes. Bagi saya, kalau rasa bisnes tak boleh pergi. Negatif tiap-tiap bulan selama tiga bulan. Tolong stop your bisnes.

Jangan malu untuk stop sebab bagi saya, bisnes kalau dah rugi tak perlulah teruskan. Penat.

Selagi mana boleh bayar staf, ada duit lebih sedikit untuk modal, bolehlah nak teruskan. Sebagai peniaga sekarang, tak boleh setakat ada modal saja, dia kena ada keberanian, kena ada creative thinking, dia kena ada sifat kental.”

Semoga segala perancangan Kak Nab untuk terus maju dalam bidang yang diceburi berjalan lancar dan menjadi suntikan inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk kejar impian mereka.

 

Share
Published by
Suzi