Gaya Hidup

Dari Wartawan Ke Suri Hati Perdana Menteri, SOPHIE TRUDEAU Kini ‘First Lady’ Kanada!

Mereka diibaratkan pasangan pemimpin paling ideal di mata masyarakat. Bukan hanya kerana isteri memiliki rupa paras menawan bahkan sang suami juga kacak dan cukup berkarisma. Apatah lagi, sejak Justin Pierre James Trudeau dilantik sebagai Perdana Menteri Kanada pada tahun 2015. Ia sekaligus membuatkan gerak-geri Sophie Gregoire Trudeau dan Justin sentiasa menjadi perhatian ramai.

Meskipun sudah hampir lima tahun bergelar pemimpin utama Kanada namun Justin dan isteri enggan mengubah cara hidup lama mereka sebelum menjadi keluarga diplomat. Tidak hairanlah kehidupan suami isteri ini sentiasa diulit bahagia kerana mereka masih mengekalkan amalan gaya hidup sama seperti pada awal perkahwinan dahulu.

Menelusuri perkenalan awal Justin dan Sophie, mereka dikatakan mula mengenali satu sama lain ketika zaman kanak-kanak lagi. Waktu itu Sophie merupakan rakan sekelas Micheal iaitu adik lelaki Justin. Siapa sangka, apabila sudah meningkat dewasa mereka dipertemukan semula dalam satu majlis amal yang menyaksikan pasangan sejoli ini menjadi pengacara bersama pada tahun 2003.

Memetik laporan CTV News, majlis kutipan amal Montreal Grand Prix yang berlangsung pada bulan Jun 2003 tersebut menjadi detik permulaan bibit-bibit cinta di antara mereka.
Tertarik dengan personaliti Sophie, Justin tanpa berselindung meluahkan hasrat hati dan ingin menyunting wanita berkenaan sebagai isteri pada temu janji pertama. Hebatnya aura Sophie! Bermula dari detik itu, mereka dilaporkan menjalin hubungan cinta selama beberapa sebelum bertunang pada Oktober 2004 dan berkahwin pada Mei 2005.

Yang pasti, First Lady Kanada berusia 45 tahun ini bukan calang-calang wanita. Sophie memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perdagangan di McGill University dan berhasrat mengikut jejak langkah bapanya sebagai stockbroker. Namun selepas menyedari ia bukan impian yang didambakan selama ini, Sophie memilih melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi di l’Universite de Montreal.

Selepas beberapa tahun berada dalam bidang komunikasi, beliau akhirnya memilih untuk menceburi industri radio dan televisyen sebaik menamatkan pengajian peringkat ijazah di Ecole de radio et television Promedia di Montreal. Tidak lama selepas berkahwin dengan Justin, Sophie mendapat tawaran kerja sebagai wartawan budaya Quebec di CTV’s etalk iaitu sebuah program yang mengetengahkan kisah penglibatan dan aktiviti kebajikan para selebriti. Ia nyata mengujakan Sophie memandangkan jiwanya yang sudah sebati dengan kerja amal dan sensitif terhadap kehidupan insan kurang bernasib baik.

Disifatkan wanita berdedikasi dan ceria, Sophie turut dilaporkan pernah berdepan masalah bulimia yang dialaminya sejak berusia 17 tahun. Gangguan masalah tersebut berterusan sehingga Sophie berusia awal 20an dan meminta bantuan ibunya untuk mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan. Selain aktif berkongsi pengalaman yang dideritai, beliau juga cukup bersemangat memberi ceramah berkaitan keyakinan wanita dan keganasan terhadap golongan berkenaan.

Menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14 mereka baru-baru ini, kehidupan Justin dan Sophie lebih bermakna dengan kehadiran tiga cahaya mata. Anak sulung, Xavier James Trudeau dilahirkan pada Oktober 2007, anak perempuan Elle-Grace Margaret Trudeau pula dilahirkan pada Februari 2009 sementara anak bongsu, Hadrien Trudeau dilahirkan pada Mac 2014.

Difahamkan, Sophie pernah menjadi suri rumah selama beberapa tahun dan hidup normal seperti kebanyakan kaum ibu lain dengan melakukan tugas seperti memasak, mendidik, dan menghantar anak-anak ke sekolah. Beliau juga dipercayai mahu kesemua anaknya fasih menguasai Bahasa Inggeris dan Perancis, sama seperti dirinya dan Justin dibesarkan.

Ketika pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia pada pertengahan Mac lalu, Sophie turut disahkan positif jangkitan Covid-19 dan berjaya sembuh seperti sediakala selepas mendapatkan rawatan lanjut daripada pihak perubatan.

IKLAN
Share