
Datin Intan Najuwa
Datin Intan Najuwa tidak menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk memperlahankan langkah. Walaupun kini sedang sarat hamil anak kedua, pelakon dan usahawan berusia 33 tahun itu tetap ligat mengembangkan empayar DicoBrew Pastries & Coffee apabila mengumumkan pembukaan sebuah lagi cawangan baharu. Perkongsian itu sekali gus mencerminkan kesungguhannya membina jenama sendiri di samping menggalas tanggungjawab sebagai bakal ibu kepada dua cahaya mata.
Menerusi perkongsian di Instagram, Intan turut berkongsi beberapa sudut menarik premis terbaharu DicoBrew yang sedang dalam proses pengubahsuaian. Walaupun belum mendedahkan lokasi cawangan tersebut, pelakon dan usahawan itu meluahkan rasa teruja melihat ruang berkenaan mula direalisasikan serta berharap ia dapat beroperasi sebelum kelahiran anak keduanya.
“A little hint for you guys… We’re opening another DicoBrew! Had a quick site visit today, and seeing the space in person made everything feel so real. I’m already imagining all the cozy corners, warm coffee, and beautiful memories we’ll create here… Hopefully, we can open our doors before this momma pops out!”
Perkongsian ringkas itu cukup menggambarkan keterujaan seorang wanita yang bukan sahaja sedang melalui fasa indah kehamilan, malah tetap komited membesarkan sebuah jenama yang dibinanya dengan penuh kasih sayang.
Di sebalik kehidupan yang sering menjadi perhatian ramai, Datin Intan Najuwa sebenarnya mengakui perjalanan sebagai pemilik kafe bukan sesuatu yang mudah.
Sebelum ini, pelakon drama Suamiku Mr. Blind itu pernah berkongsi di Threads mengenai tekanan yang dihadapinya sepanjang menguruskan DicoBrew Pastries & Coffee di Bukit Bintang.
Menurutnya, beliau seorang yang mudah tersentuh apabila menerima aduan pelanggan walaupun hanya berkaitan perkara kecil. Malah, setiap rungutan itu sering bermain di fikirannya sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.
Sikap itu memperlihatkan bahawa Datin Intan Najuwa bukan sekadar meletakkan namanya pada sesebuah perniagaan. Sebaliknya, dia benar-benar turun padang, memantau operasi dan sentiasa mahu memastikan pelanggan memperoleh pengalaman terbaik setiap kali mengunjungi kafe.
Walaupun sering memuat naik gaya hidup mewah di media sosial, Datin Intan Najuwa pernah berdepan kritikan apabila ada pihak mempersoalkan mengapa orang ramai masih perlu menyokong perniagaannya sedangkan dia dilihat sudah hidup senang.
Namun, isteri kepada Datuk Ahmad Azraf Azman dan ibu kepada si comel, Imane Lunara ini tampil menjelaskan bahawa DicoBrew dibangunkan menggunakan modal sendiri dan bukan semata-mata untuk kepentingan dirinya.
Tambahan lagi, perniagaan tersebut menjadi sumber rezeki kepada ramai individu yang bekerja bersamanya.
“Jadi bila pemilik sesebuah perniagaan sudah kaya, tak boleh lagi sokong bisnes dia?
Saya buka kedai kopi menggunakan modal sendiri dan perniagaan ini bukan hanya tentang saya.
Staf saya juga ada keluarga untuk ditanggung, malah beberapa pekerja sambilan bergantung kepada kerja ini bagi membiayai pengajian mereka.”
Menurut Datin Intan Najuwa lagi, pembukaan kafe tersebut telah membuka peluang pekerjaan kepada ramai anak muda dan individu yang memerlukan pendapatan.
Katanya, setiap usahawan berhak menerima sokongan selagi menawarkan produk serta perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.
Lebih menyentuh hati, Datin Intan Najuwa turut menyeru masyarakat supaya tidak mudah iri hati terhadap kejayaan orang lain. Sebaliknya, beliau percaya budaya saling mendoakan akan membuka lebih banyak pintu rezeki buat semua.
“Lebih baik kita doakan semua peniaga, sama ada kecil atau sudah berjaya, sentiasa dimurahkan rezeki.
Apabila kita mendoakan kebaikan buat orang lain, insya-Allah kebaikan dan rezeki itu juga akan kembali kepada kita.”
Kenyataan tersebut menerima sokongan ramai netizen yang berpandangan bahawa setiap perniagaan wajar diberikan peluang untuk berkembang tanpa mengira siapa pemiliknya.
Ramai turut menyifatkan kejayaan seseorang usahawan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menghentikan sokongan masyarakat, sebaliknya perlu diraikan kerana turut memberi manfaat kepada pekerja serta ekonomi setempat.
Sejak mendirikan rumah tangga bersama usahawan Datuk Ahmad Azraf Azman pada Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata sulung pada Disember 2024, kehidupan Datin Intan Najuwa sememangnya sering menjadi perhatian. Namun di sebalik segala kemewahan yang dipaparkan, pelakon jelita ini membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dengan hanya bergantung kepada keselesaan hidup semata-mata.
Kini, ketika ramai wanita memilih untuk berehat menjelang kelahiran anak kedua, Datin Intan Najuwa masih ligat merancang masa depan perniagaannya. Semangat, disiplin dan kesungguhannya mengembangkan DicoBrew menjadi bukti bahawa kehamilan bukan penghalang untuk seorang wanita terus mengejar impian, mencipta peluang pekerjaan dan membina legasi yang memberi manfaat kepada lebih ramai insan.
Artikel berkaitan: Shikin Maembong Pakai Tudung, Suami & Anak Non Stop Puji Cantik, Panjat Doa Terus Istiqamah!
This website uses cookies.