Datuk Chef Wan Tak Lokek Ilmu Masakan, Siap Kongsi Dua Resipi Enak Lagi

Sebut sahaja Chef Wan, semua peringkat usia dan bangsa rakyat Malaysia mengenali beliau. Malah populariti beliau melebihi para artis dan ahli politik, namun semua kehebatan yang dimiliki tidak pernah mengundang riak insan berhati luhur bernama Datuk Redzuwan Ismail.

Hari ini Chef Wan bukan hanya pakar dalam masakan, tetapi beliau juga seorang penulis buku masakan, hos program masakan dan travelog dalam dan luar negara dan ikon yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu rahsia kejayaan untuk anak bangsanya

Lebih daripada 3 dekad dalam dunia kulinari dan melalui pelbagai pahit maung dalam perjalanan kerjaya sebagai chef. Kewibawaan beliau telah merentasi dunia, setanding dengan nama besar seperti Jamie Oliver Bakes dan Martha Stewart.

Namun untuk menggapai kejayaan seperti hari ini, Chef Wan tidak gentar meninggalkan kerjaya lumayan hanya kerana minat memasak dan mahu menjadi seorang chef profesional. Berbekal kesungguhan dan minat terhadap dunia masakan, beliau sanggup ke luar negara demi mencari ilmu masakan tanpa kenal erti jemu dan tidak pernah rasa bosan memasak.

“Bila saya belajar dan melakukan sesuatu yang saya suka, saya akan buat bersungguh-sungguh sehingga berpuas hati dengan hasilnya. Bila menjadi ia memberikan keseronokan dan kepuasan tidak terhingga, terutama bila mendapat pujian. Sebab itu, saya suka bereksperimen dengan perkakasan dapur, mengolah bahan, menyediakan masakan dan menghasilkan resipi baru di dapur.

Demi ilmu saya juga sanggup keluar negara dan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk belajar pelbagai ilmu masakan. Sebenarnya, ilmu masakan semakin diterokai semakin seronok kerana ada sahaja perkara baru boleh dipelajari,” ujar Chef Wan yang tidak pernah kenal istilah pencen dalam kerjaya yang diminatinya ini.

Katanya, selain minat dan mencari keseronokan dengan memasak, beliau mahu menjadikan masakan sebagai agen perpaduan di kalangan masyarakat dan mengharumkan nama negara.

“Sekurang-kurangnya dengan aktiviti memasak, saya boleh menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan, masyarakat, bangsa, agama dan negara saya sendiri kerana ini kemahiran saya,” tegas Chef Wan yang mendapat Latihan Profesional Chef dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academi, San Francisco, Amerika Syarikat .

Luar biasanya Chef Wan, bukan hanya mempunyai kepakaran dalam masakan tetapi beliau juga mempunyai karisma tersendiri sebagai hos program sama ada program masakan mahupun travelog di dalam dan di luar negara. Celoteh spontan sering menjadikan penonton tersenyum dan tertawa. Sehingga ada yang tertunggu-tunggu program yang dihoskan olehnya.

“Masakan telah membawa saya menjelajah ke merata dunia. Daripada pengalaman ini saya melihat masakan bukan hanya sebagai agen perpaduan sesuatu masyarakat dan bangsa tetapi ia juga adalah sumber khazanah budaya. Kerana daripada masakan kita mengenal sesuatu bangsa dan sesebuah negara.”

NEW YORK CHEESE CAKE

BAHAN-BAHAN:

Adunan Dasar Kek:
3 cawan serbuk biskut (cracker crumbs)
2 sudu teh serbuk kulit kayu manis


226gm mentega | cair dan sejukkan

Inti Kek:
680gm krim keju
¼ cawan gula kastor
6 biji telur | asingkan kuning dan putihnya
2 cawan sour cream
1/3 cawan tepung Jagung
2 sudu teh esen vanila
2 biji lemon | parut kulit kuning sahaja & perah jusnya

Sos Ceri:
1 sudu besar tepung jagung
1 tin besar Pitted Dark Cherries dengan sirap
1 sudu besar mentega

CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan adunan dasar kek: Oles mentega ke dalam bekas bersaiz 22 cm. Campurkan semua bahan adunan dasar kek menggunakan sudu kayu. Masukkan adunan dalam loyang dan tekan sehingga padat, kemudian panaskan dalam ketuhar lebih kurang 15 minit dengan suhu 180 C. Atau letakkan dalam peti sejuk lebih kurang 30 minit. Untuk menyediakan inti kek, pukul krim keju hingga halus, tambahkan gula sedikit demi sedikit dan teruskan memukul sehingga ringan dan gebu. Tambahkan kuning telur satu persatu. Masukkan sour cream, tepung, esen vanila, jus lemon dan parutan kulit lemon. Di dalam mangkuk yang berasingan, pukul putih telur sehingga kembang kemudian gaulkan dengan krim keju. Tuangkan adunan inti kek ke atas lapisan dasar dan bakar di dalam ketuhar selama 1 jam, 15 minit dengan suhu 165C. Akhir sekali cara menyediakan sos ceri: Campurkan tepung jagung dengan pitted Dark Cherries dan masak sehingga mendidih. Setelah pekat, tutup api. Masukkan mentega. Kacau dan biar sejuk. Tuang atas kek keju dan hidangkan.

KAFTA BEBOLA DAGING

BAHAN-BAHAN:

Bebola:
500gm daging cincang

1 biji bawang besar | dadu halus
2 ulas bawang putih | cincang
4 sudu makan daun parsli | cincang halus
1 sudu teh serbuk lada putih
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu besar serbuk paprika
2 sudu teh garam
2 sudu besar minyak zaitun

Kuah:
60ml minyak zaitun
1 biji bawang besar | cincang halus
3 ulas bawang putih |cincang halus
1 sudu teh serbuk jintan halus
1 sudu teh serbuk jintan kasar
1 sudu makan paprika
2 biji tomato | ramas halus
2 sudu besar daun parsli | cincang halus
2 biji telur
Garam, gula dan serbuk lada putih secukupnya

CARA MEMASAK:
Untuk menyediakan bebola daging. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk, gaul rata dan bentuk menjadi bebola daging. Ketepikan. Panaskan minyak dalam kuali, goreng hingga ke perangan dan ketepikan. Untuk menyediakan kuah, panaskan minyak zaitun, tumis bawang besar dan putih hingga wangi. Masukkan jintan halus dan kasar, paprika dan buah tomato yang telah diramas. Masukkan bebola daging, daun ketumbar, parsli, garam, gula dan serbuk lada sulah. Masak lagi di atas api perlahan selama 15 minit. Kemudian pecahkan telur ke dalamnya dan masak lima minit lagi.

IKLAN
Share