Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru-baru ini dilantik sebagai duta jenama Binary University pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beliau dan universiti swasta tersebut.
Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Binary University, Tan Sri Dato’ Professor Joseph Adaikalam.
Menerusi Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut membantu melalui aktiviti CSR bagi memperluaskan lagi usaha ini agar masyarakat mendapat pendidikan yang lebih baik.
Menurut penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Lip Lap Raya, kerjasama ini memberi makna tersendiri buat dirinya.
“Walaupun saya dikenali dalam bidang seni dan keusahawanan namun perkembangan dan keperluan akademik anak bangsa turut menjadi perhatian saya kerana ilmu adalah asas dan penggerak kehidupan untuk masa hadapan setiap individu.
Saya sering terkesan dengan kesusahan yang menimpa golongan kurang bernasib baik. Saya juga datang dari keluarga yang sederhana. Dengan rahmat Allah, saya berada dalam kerjaya saya sekrang selama beberapa dekad. Kejayaan saya dalam bidang seni dan keusahawanan adalah dokongan dari keluarga juga suami tercinta dan anak-anak.
Hari ini saya dikurniakan sedikit kelebihan untuk membantu melalui aktiviti CSR yang saya lakukan bersama suami menerusi Yayasan Nurjiwa.
Ini adalah usaha CSR yang saya lakukan buat masyarakat namun saya mahu memperluaskan lagi usaha ini. Tentunya memilih untuk membantu masyarakat mendapat pendidikan yang lebih baik.
Saya berpegang kepada prinsip, apa yang saya lakukan bukan untuk menoleh masa lalu tetapi untuk masa hadapan. Ia bukan untuk diri saya tetapi masyarakat di sekeliling saya.
Dengan memberikan pendidikan kepada anak-anak masyarakat luar bandar yang kurang bernasib baik kita akan dapat membantu menaikkan taraf hidup mereka serta peluang mendapatkan pekerjaan pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi.
Bukan itu sahaja, seorang siswazah yang berjaya juga dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan buat orang lain. Ini akan merangsang pembangunan bangsa dan negara. Saya percaya, ilmu sangat bernilai serta dapat mengubah nasib dan kehidupan masyarakat luar bandar.
Sebagai public figure dan artis, saya tidak ketinggalan untuk mengalu-alukan lebih ramai peminat, pengikut serta seluruh masyarakat khususnya dari luar bandar untuk merebut peluang keemasan ini.”
Binary University membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk melanjutkan pengajian meski dalam kesukaran mendapat peluang belajar di tempat lain, sama ada kerana kos yang tinggi atau medium pengajian menggunakan Bahasa Inggeris.
Universiti ini telah sekian lama mewujudkan pengajian diploma dalam Bahasa Malaysia pada tahun 1989. Tahun ini, Binary University bakal menyediakan 2,000 tempat untuk lepas SPM bagi mendapatkan 3 pengajian diploma dalam Bahasa Malaysia. Para pelajar juga berpeluang mendapatkan subsidi di bawah geran pendidikan Binary bernilai antara RM15,000 ke RM20,000.
Lebih dari 20,000 pelajar telah mengecapi peluang ini dengan bantuan biasiswa sebanyak RM39 juta diperuntukan kepada para pelajar yang mengikuti pengajian diploma di Binary University.