
Wan Emir Astar Titip Ucapan Romantis Buat Mira Filzah
Beruntung Mira Filzah dikurniakan suami yang bukan hanya penyayang dan memahami. Malah seorang lelaki romantik dan sering mengingati hari-hari istimewa berkaitan isteri tercinta. Saban tahun, apabila tiba ulang tahun kelahiran mahupun ulang tahun perkahwinan, Wan Emir Astar tidak ketinggalan meraikan hari istimewa di samping insan tersayang.
Terbaharu, Mira Filzah dan Wan Emir Astar menyambut ulang tahun perkahwinan ketiga mereka. Seperti kebiasaan, anak sulung kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Mastura Mohd Yazid ini berkongsi momen sambutan di media sosial miliknya.
Lebih bermakna, Wan Emir turut menitipkan ucapan romantis ditujukan khas buat suri hati kesayangan.
Ujarnya, “Enam tahun sudah kekasihku Mira Filzah. Semakinku mengerti, cinta itu tidak selalunya banyak bicara. Ada masa cukup dengan satu pandangan, satu genggaman atau sekadar berada di sisi. Tanpa sepatah kata, ku tahu bila dirimu sedang lelah, bila hati sedang berat dan bila diperlukan, hanyalah untuk tetap ada. Yang sama darimu buat diriku.
Nur Amirah kekasihku, mungkin itulah keindahan bahasa cinta kita. Pencipta kita menemukan dua jiwa dengan segala kurang dan lebihnya, lalu mengajar kita untuk saling melengkapi. Di mana diri ini kurang, kau mengisi. Sewaktu jiwamu lelah, ku jadi sandaran buatmu.”
Usahawan ini juga mengakui hakikat sebuah cinta yang tulus tidak harus menjadi sempurna. Sebaliknya kesudian pasangan yang sanggup menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing hingga ke akhir hayat menjadi faktor penting dalam sebuah perkahwinan.
“Enam tahun ini, alhamdulillah dalam segala ceritanya. Dia sentiasa memayungi kita dengan rahmat dan reda-Nya. Doaku semoga Allah terus membimbing langkah kita, menjaga hati kita, memberkati keluarga kita dan menjadikan segala cinta, perjuangan dan pengorbanan kita di dunia sementara sebagai bekal untuk bertemu kembali di negeri abadi.
Selamat ulang tahun perkahwinan yang keenam, Nur Amirah Filzah. Kekasihku, permaisuri bidadariku. Selagi Allah mengizinkan, genggam erat tangan kita di dunia hingga ke syurga menanti.”
Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 3 September 2020. Majlis pernikahan mereka berlangsung sederhana namun meriah sewaktu negara berdepan situasi pandemik Covid19.
Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, Wan Emir Astar dan Mira Filzah dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Wan Khair Amir yang kini berusia empat tahun.
This website uses cookies.