
Allah tidak akan uji hambaNya melebihi kemampuan. ‘Melepaskan’ ibu tersayang yang kembali ke rahmatullah secara tiba-tiba bukan satu perkara mudah bagi Fazilah Omar. Meskipun detik pilu itu sudah berlalu enam tahun lepas namun kenangan di samping ratu hati dan semangatnya sentiasa terpahat kemas dalam diri wanita berjiwa cekal ini.
Meniti usia 38 tahun, Fazilah atau mesra disapa El merupakan isteri kepada penyanyi kumpulan UNIC dan pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Fitri Haris.
Selain bertindak sebagai pembantu peribadi yang menguruskan karier suami, Fazilah juga wanita berkerjaya yang menerajui syarikat pemaju perumahan dikenali Yanimas Jaya Sdn Bhd yang sudah lebih tiga dekad bertapak dalam industri.
Difahamkan syarikat berkenaan milik allahyarham ibunya, Tengku Rahani Tengku Mansor. Atas rasa tanggungjawab dan mahu sambung legasi ibu kesayangan, dia mengambil alih tugas menguruskan perniagaan tersebut pada tahun 2019. Waktu itu, Fazilah menginjak usia 32 tahun.
“Ibu saya Tengku Rahani Tengku Mansor berasal dari Kelantan dan ayah saya, Omar Dollah dari Johor. Ibu saya sebelum dia meninggal ialah Pengarah Yanimas Jaya Sdn Bhd. Ayah saya pula penjawat awam, Ketua Polis di Bangi dan Kajang.
Adik-beradik saya semua perempuan. Saya anak ketiga. Sebelum buka syarikat sendiri pada 1992, dulu ibu bekerja dengan syarikat pembinaan perumahan. Projek kami semua adalah projek perumahan rizab Melayu. Di Selangor ada lebih 10 projek dijayakan.”
Kagum kebolehan graduan Sarjana Sains Kejuruteraan Awam dari Coventry University, United Kingdom ini yang mengurus legasi arwah ibu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada usia 30an.
“Waktu itu memang sangat stres dan mencabar sebab bila arwah ibu meninggal, ada beberapa projek yang berjalan dan ada benda yang saya kena decide untuk teruskan atau memberi semula tanah tersebut kepada tuan tanah. Sekarang, ada lebih lima projek yang sedang berjalan di sekitar Selangor dan Perak.
Saya boleh katakan hampir setahun saya tak tidur malam untuk fikirkan cara. Iyalah, benda jadi secara tiba-tiba. Sebelum ini saya cuma bantu dapatkan projek atau cari projek untuk ibu tapi bukan untuk buat keputusan.
Ibu tak pernah pesan minta jaga company dan saya pun tak pernah sangka akan gantikan kedudukan atau ambil tugas tersebut. Tak terlintas langsung nak jadi CEO housing property.
Bukan mudah untuk maintain dan memajukan company. Tapi ayah pesan, dia nak tengok saya menerajui bisnes ini dan menjayakan semua sebab dia yakin saya boleh lakukan.”
Tambahnya lagi, “Ketika itu, suami juga tak putus-putus memberikan sokongan dan yakin saya boleh menggalas tanggungjawab sebagai CEO dan mengatur keluarga.”
Hasil kerja keras dan membela nasib masyarakat khususnya golongan Melayu untuk memiliki rumah, Fazilah menerima pengiktirafan Best Inspiring and Creativity Women Award 2022 di Indonesia.
Hujung tahun lalu, Fazilah dan Dr Fitri secara rasmi bermastautin di UK. Dalam masa sama turut berulang alik ke Malaysia sekiranya ada urusan yang perlu diselesaikan.
Ujar ibu empat anak ini, “Selain mengendalikan syarikat pemaju perumahan, sebelum ini saya akan ulang alik ke Malaysia. Mula dari tahun lepas saya tinggal di UK sebab anak-anak bersekolah di sini.
Dalam masa sama, saya buat event management dan urus kerjaya suami sepenuhnya. Sebelum ini, saya ada buat bisnes restoran tapi sekarang tumpuan lebih kepada anak-anak. Tunggu mereka dah habis sekolah baru fikir rancangan bisnes restoran itu semula.
Pendek kata, selain jadi CEO syarikat pemaju perumahan, saya jugalah Personal Assistant (PA) Dr Fitri dan urus persekolahan anak-anak di UK ini.”
5 Jun lepas, Fazilah selamat menimang cahaya mata yang diberi nama Adwa Qalbi di di Royal Darby Hospital United Kingdom. Menariknya, bayi perempuan itu berkongsi tarikh lahir dengan bapa tersayang.
Mengulas pengalaman bersalin di luar negara, dia bagaimana pun bersyukur kerana suami tercinta dibenarkan menemaninya sepanjang proses pembedahan.
“Saya terpaksa bersalin secara pembedahan sebab ada penyakit asma yang kronik dan memang dah minta untuk caesarean (czer). Proses kelahiran Czer di UK tak sama macam di Malaysia yang kita boleh pilih tarikh.
Nak masuk hospital pun macam check in hotel availability, hanya by phone untuk lock date yang pihak hospital berikan. In case kalau kecemasan nak bersalin sebelum tarikh tu, kena terus telefon ambulan.
Saya syukur sebab suami dapat teman di labour room. Memang saya agak risau bersalin sebab penghidap asma macam saya ni berisiko. Kalau operate boleh bius dan separa sedar, tak boleh ditidurkan sebab bimbang ada komplikasi lain.”
Fazilah sah bergelar isteri Dr Fitri Haris pada 19 Oktober 2019. Sebelum berkahwin, kedua-dua mereka pernah mendirikan rumah tangga namun ditakdirkan bercerai. Hasil perkahwinan terdahulu, Fazilah mempunyai seorang anak lelaki. Begitu juga Dr Fitri yang memiliki seorang anak perempuan.
Menerusi perkongsian hidup selama enam tahun, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Bilal dan Adwa Qalbi.
Ditanya detik perkenalan suami isteri ini, wanita bijak ini membuka cerita. “Saya berkenalan dengan suami semasa kami belajar di University of Nottingham, UK. Waktu tu kami ada event dan saya terlibat dengan pengurusan acara terutamanya berkaitan rakyat Malaysia di sini. Selepas itu, saya bantu suami di Malaysia untuk program Gema Gegarvaganza sebagai pengurus.
Tiada hubungan cinta pun waktu itu dan saya hanya fokus kepada kerja di antara bos dan pengurus. Tak lebih daripada itu. Kami hanya bercinta selepas kahwin. Dia seorang lelaki yang jujur dan kerana selalu urus kariernya, saya dah terbiasa menggelar suami dengan panggilan Dr Fitri,” ujar Fazilah sambil tertawa.
Semoga rumah tangga yang dibina pasangan ini bahagia sampai ke syurga dan sentiasa dalam reda Allah SWT.
This website uses cookies.