Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sungguh tak terhingga. Perkongsian wanita bernama Bibi Nurul Asyikin Adnan ini cukup membuktikan kecekalan hatinya, walaupun cabaran dikurniakan anak cerebral palsy begitu hebat.
Melihat foto anak syurga bernama Adam, 7 tahun, cukup memilukan hati kami. Kata ibunya yang kini berusia 34 tahun, Adam suka belajar dan mahu ke sekolah, tapi hasrat itu terbantut. Kenapa ya? Ikuti perkongsian wanita asal Pulau Pinang ini kepada Nona.
=========================
Nama anak saya Muhammad Nur Zafran, tapi sejak dalam kandungan lagi saya selalu panggil nama dia Adam. Adam penghidap cerebral palsy dan umurnya 7 tahun.
Semasa hamil, kandungan saya sihat cuma saya pula ada masalah anemia dan kerap jatuh. Masa hampir melahirkan iaitu sekitar pukul 5.00 pagi, saya terasa kontraksi yang kerap dan suami pun cepat-cepat bersiap untuk bawa saya ke Hospital Sg. Buloh.
Jam 6.50 pagi, kami tiba di hospital. Sebaik tubuh saya dibaringkan atas katil, air ketuban pun pecah. Masa tu baru pukul 7.50 pagi dan bukaan saya cuma 5 sm. Kena tunggu lagi. Selalunya kalau ikut kelahiran sebelum ni, bila ketuban pecah confirm bukan sakit lagi dah, tapi terus teran.
Tapi yang ni tak rasa pun. Cuma mengeras dan kontraksi pun tak kuat sangat. Dari pukul 8.00 pagi sampai 12.00 tengah hari, saya kira dah ramai doktor pelatih yang datang dan seluk. Tetap sama, 5 sm.
Sampailah tiga orang doktor pakar datang dan salah seorangnya tanya, kenapa doktor bertugas tak paksa bukaan rahim? Bila dia seluk, mukanya terus berubah. ‘Baby dah berak’, katanya.
Saya terus dikejarkan ke bilik pembedahan kerana bila CTG, jantung baby dah lemah. Bila masuk epidural saya terus tak sedar waktu dibedah… walaupun masih terasa tajamnya pisau yang menghiris lapisan demi lapisan kulit perut ni.
16 Ogos 2011, saya selamat lahirkan Adam. Tapi dia keluar tanpa suara. Senyap. Macam-macam saya dengar doktor dan jururawat lakukan, CPR serta sebagainya. Akhirnya baru dengar suara tangisan yang maha lemah.
Doktor cakap anak saya lemas dalam perut dan dah berak. Mungkin termakan najis. Oksigen pula kurang sampai ke otak. Jadi dijangkakan akan ada masalah.
Ads
Walaupun ramai yang menuduh salah pihak tertentu sebab saya tak dibedah lebih awal, tapi saya tak percaya semua tu. Saya percaya ini takdir Allah SWT. Mungkin ada sebab dan hikmah yang Dia nak beri kepada kami, seorang anak syurga.
RENUNGAN BERMAKNA
Bertuah kalau ada anak yang bijak dan petah berkata. Tapi Adam tak pandai semua tu. Dia cuma pandai sebut ‘Buu…’ atau ‘Yam…’ macam bayi. Tapi pandangannya dah cukup untuk menceritakan segalanya. Ya, dari segi fizikal, Adam tak mampu. Tapi dia faham cakap orang dan ada rasa marah. Kadang bila Adam tengok kakak, abang dan adiknya main berlari-lari… Ya Allah, hanya Tuhan saja yang tahu erti renungannya.
Saya tahu Adam mesti nak cakap, kenapa aku tak boleh berjalan? Padahal tahun ni Adam sepatutnya sekolah, tapi Adam tak sanggup nak tengok ke pintu, tak nak duduk bermain. Saya tahu hati Adam, dia nak sekolah sebab Adam bukan budak bodoh. Cuma tak mampu uruskan diri je.
Bila saya pangku Adam dan bukakan buku, Adam suka. Adam akan tengok gambar-gambar dan dengar saya cerita. Sambil pandang muka saya, Adam akan ketuk-ketuk kaki dia. Ketuk sampai mengamuk, mungkin bertanya kenapa kaki Adam ni ibu? Allahu, mengalir air mata saya.
Dalam redup mata Adam, pelbagai kata-kata nak diucapkan. Kalaulah dari dulu saya selalu ke fisio, buat urutan, mungkin Adam dah boleh berjalan walau tak selaju orang lain.
Ads
JATUH DITIMPA TANGGA
Dari saat Adam lahir sampailah umurnya 5-6 bulan, kami selalu berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Dalam tempoh tu, satu persatu masalah datang. Antaranya kekurangan duit.
Anak-anak sulung (kembar) nak bersekolah. Kami suami isteri terpaksa ikat perut untuk bayar yuran, beli segala kelengkapan sekolah macam baju, kasut dan beg, untuk dua orang. Waktu tu pula, kami baru berpindah dan masih perlu berulang-alik ke hospital.
Tanpa kereta, bayangkan susahnya nak bawa Adam buat rawatan. Takkan nak pinjam kereta orang selalu? Kalau dapat pinjam, kami kena usahakan belanja isi minyak dan tol. Pernah satu hari, susu Adam habis. Duit dalam tangan saya ada RM50 je.
Jadi sebagai ibu, saya cuma fikir susu anak sebab Adam bukan makan macam budak biasa. Kalau tak ada susu, badannya akan lemah. Ibu mana yang sanggup tengok anak kelaparan? Berkorbanlah guna duit tu untuk beli susu dia.
Masuk tahun 2016, kami berpindah sekali lagi ke Klang. Saya cuma dapat bawa Adam ke klinik desa menaiki motosikal. Masa tu Adam meronta-ronta tak mahu naik motor. Mungkin dia rasa kurang selesa.
Tahun 2017, Adam kena serangan sawan. Mujurlah masa tu bapa mertua ada di rumah dan kami terpaksa pinjam keretanya untuk kejarkan Adam ke hospital. Nasib baik umur Adam masih panjang.
Ads
Kos minyak dan tol saja bagi kami yang kurang kemampuan ni, memang tinggi. Dalam anggaran RM35-40 pergi dan balik. Kalau kereta meragam lagi parah, kami kena sewa kereta yang sekurang-kurangnya RM80 sehari.
Saya pening memikirkan masalah kewangan yang dihadapi. Selepas suami diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, dia cuma bekerja kebun dengan bapa saudaranya. Kerja sendiri ni, upahnya tak menentu. Dalam sebulan, kadang-kadang adalah 2-3 kali bekerja. Pergi ke Perak atau Negeri Sembilan, ada kerja adalah duit. Bila tak kerja, kami terpaksalah berlapar.
Itu pun saya tetap dahulukan susu Adam. Dengan anggaran pendapatan suami lebih kurang RM500-700, saya mohon bantuan zakat dan alhamdulilah diluluskan. Sekarang pun saya dalam proses mohon bantuan JKM dan insyaAllah saya akan mulakan kerja sebagai dropshipper di Facebook.
Saya tahu tiada ubat yang dapat merawat pesakit cerebral palsy seperti Adam. Yang ada hanyalah rawatan terapi, urutan dan kalau ada ubat pun, mungkin untuk melembutkan atau melicinkan pergerakan sendi-sendi tulang, paha, tangan atau ubat mencegah sawan. Paling penting di rumah kami ni, wajib ada ubat demam. Sebabnya bila badan Adam mula panas, saya akan lekas suapkan ubat demam supaya sawannya tak menyerang.
Jumlah belanja ni saja, termasuk susu, lampin pakai buang, Nestum dan sebagainya dalam anggaran RM400-500 sebulan. Hari-hari saya panjatkan doa, kalaulah dapat sumbangan dan bantuan masyarakat, saya teringin nak belikan kerusi roda khas serta barangan terapi untuk sensori dia. Saya kesian dengan Adam. Kakinya mungkin lenguh dan kebas di atas kerusi biasa.
Harapan saya tentulah nak tengok anak syurga saya boleh berdikari. Boleh uruskan diri walaupun hanya pergi ke bilik air dan membersihkan diri. Saya sedar kami tak mampu dari segi wang ringgit, jadi saya harap sesiapa di luar sana tak mempertikaikan usaha ibu yang mempunyai anak istimewa ni. Bukan saya tak sayang anak tapi saya tak mampu! Saya juga nak tengok dia sihat dan boleh bagi rawatan sepatutnya untuk dia.
Saya dan keluarga sungguh-sungguh nak mohon bantuan untuk Adam. Tak kisahlah dalam apa bentuk sekali pun untuk menampung kos perbelanjaannya yang di luar kemampuan kami. Sambil itu suami juga sedang berusaha mendapatkan kerja tetap.
=========================
Begitulah harapan dan hajat wanita ini yang menggunung tinggi untuk menggembirakan anak tersayang. Semoga kisah Adam menjadi iktibar dan mendapat ehsan orang ramai untuk memberikan bantuan. Sebarang bantuan boleh disalurkan kepada:
Bank: Bank Simpanan Nasional
No. Akaun: 1010841000064253
Nama: Bibi Nurul Asyikin Binti Adnan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa saja yang tak pernah menonton filem Kuch Kuch Hota Hai bukan? NONA percaya semua pembaca kami membesar dengan filem legenda itu yang dibintangi tiga trio terkemuka – Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukherjee dalam kisah cinta tiga segi yang penuh drama tersebut.
Namun tahukah anda, rupa-rupanya Rani Mukerji bukanlah pilihan utama membawakan watak Tina.
Namun menurut sumber INDIAN EXPRESS, dalam sebuah temu bual baru-baru ini, pelakon jelita Raveena Tandon mendedahkan dia dahulu ditawarkan watak dalam filem itu, tetapi terpaksa menolaknya atas sebab yang mungkin tidak difahami oleh pengarah filem tersebut, Karan Johar pada masa itu sehingga menyebabkan perhubungan Raveena dan Karan Johar selaku pengarah filem tersebut dingin sehingga kini.
Jelas Raveena, “Sehingga kini Karan masih tidak memaafkan saya kerana tidak menerima tawaran berlakon dalam Kuch Kuch Hota Hai. Tetapi dia tidak kerana faham ketika itu, Kajol merupakan rakan seangkatan dengan saya. Kami memulakan karier di Bollywood, pada waktu yang sana malah kami berdua sering mengambil peranan utama.
Jadi, saya tidak boleh berlakon dalam Kuch Kuch Hota Hai, di mana saya berada dalam watak yang kecil berbanding Kajol. Semestinya Rani mendapat manfaatnya kerana dia adalah pendatang baru dan lebih sesuai.”
Raveena mula membuat debutnya menerusi filem Pat Thar Ke Phool (1991) yang membolehkan Raveen dicalonkan dan memenangi anugerah Filmfare New Face Of The Year, kemudiannya membintangi beberapa buah filem termasuk Laadla (1994), Dilwale (1994), Mohra (1994), Khiladiyon Ka Khiladi (1996), Ziddi (1997), Bade Miyan Chote Miyan (1998) dan banyak lagi, menjadikan Raveena antara pelakon berbakat besar Bollywood pernah ada.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tahniah diucapkan kepada Che Puan Juliana Evans diatas perlantikan sebagai Duta Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” baru-baru ini. Ibu kepada Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah ini telah dilantik untuk tempoh dua tahun bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Selangor menerusi landasan media sosial.
Foto: ig @julianaevans
Pelantikan ini adalah seiring dengan visi Tourism Selangor untuk mendekati audiens dengan lebih luas dengan alternatif yang lebih “segar” dan terkini menerusi landasan digital.
Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor selaku Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri meneruskan langkah proaktif ke arah merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor dengan pelaksanaan Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”
Kempen ini mula diwar-warkan melalui landasan digital bermula pada 10 Jun yang lalu, susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) sempena penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Umum mengetahui, industri pelancongan merupakan antara yang paling terjejas ekoran impak dari pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Sebahagian operator pelancongan perlu menutup operasi atau beroperasi tanpa keuntungan dan golongan yang bergantung pada industri pelancongan pula terjejas pendapatan, malah ada yang hilang mata pencarian.
Tourism Selangor telah memperkenalkan Duta Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu”, Che Puan Juliana Evans
Memahami situasi ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menjadi pendahulu dalam pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi dan juga Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 yang telah diumumkan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 13 Julai lalu. Antara yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020 adalah Pakej Bantuan Sektor Pelancongan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 2,600,000.00.
Sebanyak RM 553,000.00 dari jumlah ini merangkumi pemberian insentif khas bersasar secara one-off sebanyak RM 1,000 seorang, di mana Kerajaan Negeri Selangor pada 19 November lalu telah secara rasmi mengagihkan insentif khas ini kepada seramai 553 orang penerima merangkumi 486 pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Selangor Tourist Guide Association (SGTA), 16 pengusaha rumah inap atau homestay yang diperakui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta 51 Hos Komuniti Selangor.
Istana Bandar antara lokasi sejarah yang boleh diterokai. Foto: ig @julianaevans
Pakej Bantuan Sektor Pelancongan ini turut merangkumi penerbitan subsidi “Baucar Pelancongan Negeri Selangor” dengan nilai peruntukan sebanyak RM 2,000,000.00. Baucar Pelancongan Negeri Selangor ini telah secara rasmi diaktifkan di Majlis Pelancaran Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” di Shah Alam pada Khamis.
Majlis yang hanya dihadiri oleh pihak Media ini telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dengan diiringi oleh YB. Tuan Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, serta Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, dan Tuan Azrul Shah bin Mohamad, Pengurus Besar Tourism Selangor.
Penggunaan baucar ini adalah dalam bentuk pengembalian mata nilai dompet elektronik dan baucar eletronik sebanyak RM 200.00 seorang untuk penerima yang layak. Baucar ini perlu digunakan bagi pakej-pakej pelancongan terpilih yang akan melalui penyenaraian di aplikasi dompet elektronik Touch n’ Go E-Wallet dan aplikasi ‘marketplace’ Lazada Malaysia melalui capaian khas pautan sesawang mikro ‘Kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!’.
Che Puan Juliana Evans menikmati keindahan di Kampung Sekinchan, Tanjung Karang. Foto: ig @julianaevans
Penebusan subsidi baucar pelancongan ini akan membuka promosi jualan di kedua-dua landasan e-dagang tersebut bermula pada 8 hingga 31 Januari 2021 dengan tempoh sah-laku bagi pakej yang telah dibeli sehingga 31 Jun 2021. Satu penghormatan kepada barisan hadapan Negara, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan kuota penerima baucar pelancongan ini khusus untuk 3,000 orang frontliners yang bertugas di Negeri Selangor dalam usaha memerangi impak pandemik Covid-19.
Sebanyak 17 pakej pelancongan “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu” usahasama antara pihak Tourism Selangor dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) turut dilancarkan pada Majlis sama. Usahasama ini melibatkan penyelarasan dan tawaran pakej-pakej pelancongan untuk di pasarkan melalui agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dengan pihak MITA.
Menjengah ke laman Instagram milik Che Puan Juliana Evans, foto-foto menarik mengenai destinasi pelancongan di Selangor sudah mula kelihatan di mana Che Puan mempromosikan destinasi pelancongan seperti sekittar Sekinchan, dan Tanjung Karang, Selangor. Sekaligus membuktikan terdapat pelbagai lokasi menarik yang boleh dilawati tidak jauh dari ibukota!
Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” disokong oleh tunjang utama, landasan digital menerusi pelbagai inisiatif promosi seperti penganjuran program Selangor e-Travel Fair, kempen media sosial bersama para Key Opinion Leaders (KOLs), serta pengiklanan digital dan atas talian. Medium pengiklanan turut diperluas merangkumi pengiklanan billboard pegun, billboard digital serta unipoles di beberapa buah lokasi tumpuan di seluruh Negara.
Selain itu, Tourism Selangor akan menganjurkan Program Jelajah Pesona Selangor ke Negeri-negeri di Malaysia serta pelbagai Acara Pelancongan berdasarkan norma baharu yang menekankan SOPs (Standard Operating Procedures) mengikut saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
YAB. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor di majlis perasmian hari ini
Kempen ini turut memberi penekanan kepada inisiatif promosi serba mampan dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan bagi mempromosikan tarikan pelancongan Negeri Selangor secara lebih meluas, termasuk pakej pelancongan bersepadu merangkumi 9 Daerah dan 12 PBT di Negeri ini.
Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor agar Kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!” dapat memberikan impak yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan domestik Negara, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak mengenali pelakon jelita Nora Danish bukan? Dan baru-baru ini, Nora Danish mendapat perhatian dan pujian netizen selepas meraikan ulang tahun lkelahiran anak sulungnya, Putra Rayqal bersama-sama dengan suami, Mohamad Nedim Nazri dan bekas suaminya.
Tindakan Nora Danish yang masih boleh duduk semeja dengan bekas suaminya sekali gus membuatkan pengikutnya berasa begitu senang dan teruja. Apatah lagi melihat Nora masih lagi menjalinkan hubungan profesional dengan bekas suami, Jejai yang sudah beberapa lama sama-sama membesarkan anak mereka.
Ramai warga maya memuji sikap Nora dan menyifatkan Nora seorang wanita dan ibu yang hebat apabila meraikan ulang tahun kelahiran anak sulungnya bersama bapa kepada anaknya. Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Nora, 41, berkongsi beberapa keping foto meraikan hari jadi Rayqal ke-14 tahun yang turut dihadiri bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.
“Sambutan awal hari jadi untuk anak kami yang kini berumur 14 tahun sebelum menghantarnya ke sekolah. Kami sempat makan tengah hari bersama keluarga. Masih tidak percaya bahawa Rayqal sudah mencecah usia 14 tahun dalam masa tiga hari lagi,” tulis Nora.
Rata-rata menyifatkan apa yang dilakukan Nora wajar menjadi contoh kepada keluarga lain apabila masih sama-sama membesarkan anak walaupun tidak lagi bergelar suami isteri. Malah ramai juga yang memuji penampilan Nora Danish yang kekal anggun seperti remaja, dan saling tidak tumpah seperti kakak apabila berdiri bersebelahan dengan anaknya.
Untuk makluman, Nora dan Jejai atau nama penuhnya Rizal Ashram Ramli telah mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang cahaya kata iaitu Rayqal. Pasangan itu bagaimanapun berpisah pada 10 Julai 2008.
Nora kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl yang kini berusia lima tahun.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban hari nama Engku Aleesya makin menjadi bualan. Bukan kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti terkenal, Erra Fazira tetapi keupayaan gadis bijak yang juga puteri kesayangan Engku Emran ini dalam bidang akademik dan sahsiah diri.