
Vie Shantie Genap Usia 40 Tahun
Vie Shantie Khan merupakan salah seorang figura wanita inspirasi kepada rakyat Malaysia. Aura dan karisma yang dimiliki anak jati kelahiran Sabah ini cukup terserlah dalam bidang perniagaan. Pada usia 30an lagi Vie Shantie telah pun meraih pelbagai pencapaian membanggakan. Bukan hanya di Malaysia bahkan di peringkat dunia.
26 Julai lalu merupakan ulang tahun kelahiran ke-40 isteri Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan ini.
Menyambut hari istimewa tersebut dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang, Vie Shantie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Blackstone berkongsi momen romantis sempena hari lahir di samping suami tercinta.
Usahawan jelita ini tampil anggun dalam persalinan beige dan berselendang rona senada ketika meraikan hari lahir di sebuah restoran eksklusif di ibu negara bersama Datuk Seri Abdul Rahman.
Menerusi perkongsian di media sosial, Vie Shantie menzahirkan rasa syukur. “Segala puji hanya bagi Allah SWT. Syukur alhamdulillah today I turn 40 (26.07.2026).
Ya Allah, terima kasih atas nikmat 40 tahun usia yang telah Engkau kurniakan kepadaku, dengan segala pengajaran yang tidak terhitung dan rahmatMu yang tiada berpenghujung.
Saat aku melangkah ke fasa baharu kehidupan ini, semoga Allah SWT mengurniakan kepadaku hati yang sentiasa ikhlas,
iman yang semakin teguh dan kehidupan yang memberi manfaat kepada orang lain. Ampunkan segala kesilapanku yang lalu, pimpin setiap langkahku pada masa hadapan serta limpahkan kepadaku kesihatan yang baik, amal soleh dan husnul khatimah. InsyaAllah.
Semoga tahun-tahun yang mendatang dipenuhi dengan keberkatan, kesabaran, kesyukuran dan sentiasa dekat denganNya.”
Tambah Vie lagi, “Jazakallahu Khairan Kathira kepada setiap seorang daripada anda atas doa yang berterusan, ucapan yang penuh kasih serta mesej-mesej yang begitu bermakna. Saya benar-benar tersentuh dan berasa rendah hati dengan masa, kasih sayang dan sokongan yang telah anda luangkan buat saya.
Semoga Allah SWT membalas segala kebaikan anda dengan ganjaran yang berlipat ganda, menerima setiap doa yang anda panjatkan dengan penuh keikhlasan, mengurniakan anda serta keluarga kesihatan yang baik, kebahagiaan dan keberkatan serta menganugerahkan ganjaran yang terbaik di dunia dan juga di akhirat. InsyaAllah.”
Melalui empayar Black Stone yang diusahakan, Vie Shantie memperoleh kontrak perdagangan arang batu di antara Malaysia, Singapura dan China.
Selain itu, personaliti ini turut mempunyai satu lagi cabang perniagaan dalam bidang fesyen muslimah menerusi jenama V Hijrah.
Hasil perkongsian hidup bersama ahli perniagaan dan politik, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Vie Shantie dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Vie Raissa.
Terdahulu dia pernah berkahwin dengan aktor Dato’ Sri Eizlan Yusof dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.
This website uses cookies.