
Shahmalarani Chandran Raih Pingat Emas Sukan Asia 2026
Sekalung tahniah buat atlet karate wanita negara, Shahmalarani Chandran yang berjaya merangkul pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026! Atlet berusia 27 tahun berkenaan menambah kutipan pingat buat kontinjen Malaysia bagi acara kumite wanita bawah 50 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi, Jepun.
Dalam pertarungan sengit di pentas final pada 24 September lalu Shahmalarani menewaskan atlet karate veteran Hong Kong, Tsang Yee Ting menerusi keputusan hantei iaitu keputusan pengadil apabila pertarungan tegang tersebut berakhir 0-0 sehingga terpaksa ditentukan oleh penilaian juri.
Kejayaan ini bukan hanya melengkapkan koleksi kejuaraannya selepas mengumpul tiga pingat emas Sukan SEA. Malah menyumbang pingat emas ketiga keseluruhan buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2026.
Menerusi perkongsian di media sosial, Ratu Kumite ini menzahirkan rasa bangga kerana berpeluang mengharumkan nama negara sekali lagi di pentas antarabangsa.
“Sehari sebelum detik besar itu, inilah doa yang saya panjatkan. ‘Jika saya benar-benar layak berdiri di tempat tertinggi di podium, berikanlah kemenangan itu kepada saya. Tetapi jika saya tidak layak, biarlah saya tersingkir seawal pusingan pertama.
Saya sentiasa percaya kepada kerja keras, bukan sekadar bergantung kepada doa. Jika segala pergorbanan dan usaha saya benar-benar melayakkan saya menggenggam pingat emas itu, izinkan saya mendapatkannya dengan usaha saya sendiri. Jika tidak, biarlah atlet yang paling layak memilikinya, walaupun bukan bendera Malaysia yang berada di belakang mereka.’
Saya mahu layak mendapatkan pingat ini kerana usaha, bukan menang kerana nasib.”
Difahamkan menjelang perlawanan di Sukan Asia 2026, Shahmalarani Chandran sudah pun membuat persiapan mental dan fizikal sebaik mungkin selama beberapa bulan. Ujarnya ketika orang lain berlatih enam hari, dia memilih untuk berlatih tujuh hari. Jika orang lain menjalani 10 sesi latihan, dia akan melakukan 12 malah kadangkala sehingga 15 sesi.
“Saya tidak sampai ke sini kerana nasib. Saya cuma mahu menjadi orang yang bekerja paling keras di dalam gelanggang ini. Hari ini mungkin saya bergelar juara, esok mungkin tidak. Tetapi satu perkara yang saya pegang, tiada siapa boleh mengalahkan kesungguhan saya untuk bekerja keras. Itulah janji saya kepada sukan ini.”
Pastinya tahun 2026 melakar pelbagai momen manis buat Shahmalarani Chandran. Dia bukan hanya menambah koleksi pingat karier sukannya. Bahkan memulakan perjalanan indah sebagai isteri di samping menggenggam Sarjana Sains dalam bidang Sains Aktuari dari Sunway University pada Julai lepas.
Pada Sukan SEA Thailand 2025, Shahmalarani berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram. Atlet ini turut konsisten meraih emas pada edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja dalam acara sama.
Tidak cukup itu, dia juga merupakan atlet cemerlang IPT yang menerima biasiswa Menteri Pengajian Tinggi 2022. Shahmalarani Chandran menjadi graduan First Class Honours Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Aktuari, Taylor’s University pada tahun 2023 dan menerima Anugerah Dekan sebanyak lapan kali.
Atas aksi dan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan, Shahmalarani menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaya sempena Sambutan Hari Lahir Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 24 Ogos 2023.
Bukan itu saja, dia juga merupakan salah seorang penerima Bintang Kecemerlangan Sukan (BKS) di Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-77 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 11 Disember 2022.
Syabas Shahmalarani Chandran!
This website uses cookies.