
Majlis pernikahan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2 Oktober 2025 berlangsung penuh istiadat dan meriah. Dengan sekali lafaz, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz sah bergelar isteri Tengku Amir Shah.
Upacara akad ijab dan kabul dimeterai tepat jam 10.08 pagi di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. Ia turut disusuli dengan 11 das tembakan meriam.
Istiadat Pernikahan Diraja ini disempurnakan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, YAD Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir.
Dua orang saksi pernikahan adalah YAM Tengku Panglima Raja Selangor Tengku Ahmad Shah Alhaj dan YAD Tengku Indera Pahlawan Diraja Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj.
Tengku Amir Shah Selamat Bergelar Suami


Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat ini, disaksikan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Turut hadir dalam istiadat tertutup ini adalah Kerabat Diraja Selangor dan keluarga pengantin Diraja Perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak.
Pastinya tumpuan diberikan kepada pasangan mempelai yang tampil segak dan anggun dalam persalinan sedondon rona putih gading. Jelas terpancar wajah bahagia pengantin baharu saat sah disatukan sebagai suami isteri.
Wajah Jelita Ibunda Tengku Amir Shah

Selain terpikat dengan pesona pengantin perempuan, kemunculan dan wajah jelita ibunda Raja Muda Selangor turut mencuri tumpuan. Cantik jelita orangnya!
Ternyata Tengku Amir Shah mewarisi wajah ibunda tersayang, Yang Mulia Puan Nur Lisa Idris Abdullah.
Pada majlis penuh istimewa ini, YM Puan Nur Lisa mengenakan persalinan kurung warna kelabu lengkap berselendang polos. Beliau juga memiliki raut wajah ayu dan ‘murah’ senyuman.
Kakanda kepada Raja Muda Selangor iaitu Tengku Zatashah turut berkongsi beberapa keping gambar di samping ratu hati kesayangan Tengku Amir Shah tersebut.

YM Puan Nur Lisa Idris Abdullah merupakan warganegara Amerika Syarikat. Sultan Selangor berkahwin dengan YM Puan Nur Lisa pada 1988 namun berpisah pada tahun 1997.
Tengku Amir Shah dilantik Raja Muda Selangor pada 3 Mei 2002 ketika berusia 11 tahun dan dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor pada 8 Oktober 2016.
Moga ikatan suci yang dibina sentiasa dalam rahmat Allah SWT & bahagia sampai syurga.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berhenti Menjadi Hakim Yang Menghukum, Buat Keputusan Bila Bertengkar Dengan Pasangan

Apabila adanya pertengkaran, pastinya ia melibatkan emosi anda dan pasangan. Namun, sekiranya anda dan pasangan boleh mengelola perasaan dengan baik, dengan selalu melihat masalah dari pelbagai sudut, tentu anda berdua boleh menurunkan rasa ego untuk kebaikan bersama.
Pertengkaran boleh menegangkan keadaan dan menjarakkan hubungan anda. Harus berhati-hati apabila melalui proses pertengkaran:
Cari penyelesaian
Marah adalah reaksi normal seorang insan terhadap sesuatu yang dia enggan kompromi. Maka, pentingnya anda untuk peka dengan keadaan pasangan yang sedang dilanda kegelisahan hati. Berikan ruang untuk dia bermain dan meredakan perasaannya. Jika perlu, letakkan diri sebagai teman untuknya meluahkan segalanya. Berikan idea untuk mencari penyelesaian yang tepat untuk permasalahannya.
Namun, jangan jadi hakim yang memberikan hukuman atau keputusan dan tindakannya. Itu hanya akan mengeruhkan suasana dan permasalahan lain pula akan timbul maka keadaan akan lebih rumit. Hasilnya, hubungan anda berdua pula menjadi korban.
Komunikasi
Komunikasi memang selalu dikatakan sebagai cara paling tepat untuk menghindari konflik yang bukan-bukan. Apabila ia berlaku di dalam sebuah rumah tangga, maka komunikasi dua hala amat penting bagi menjalin perhubungan yang lebih baik dan matang. Komunikasi yang harmoni perlu ada antara anda dan pasangan serta anggota keluarga lainnya, supaya hubungan lebih mesra dan baik.
Sekiranya anda kurang gemar dengan cara dan perkataan yang digunakan oleh pasangan, usahakan untuk menegurnya dengan bicara yang lembut. Jangan gunakan perkataan kasar untuk menyerangnya kerana ia akan menjadikan keadaan lebih teruk.
Bahasa yang lembut dan cara menegur yang baik pastinya akan membuat pasangan lebih sejuk hatinya. Dan mungkin dia akan memohon maaf kerana kekasarannya terhadap anda. Jadi, pasti masalah antara anda berdua selesai dengan baik. Jangan tambah panas dengan memasukkan sesuatu yang boleh menyemarakkan kemarahan. Cuba tahan emosi dan ego supaya tidak merosakkan hubungan kalian.
Tolak ansur
Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian tersendiri, jadi mengapa harus memperpanjangkannya sehingga keadaan menjadi lebih rumit. Segera selesaikan dan baiki hubungan anda berdua menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Sekiranya salah satu masalah adalah anda terlalu penat menguruskan anak-anak sendirian, mintalah pasangan untuk membantu dan begitu juga sebaliknya.
Yang penting, mesti ada rasa faham-memahami dan bersedia menerima segala pendapat dengan matang, itu sudah cukup untuk membentengi keluarga anda dari salah faham. Ia juga akan menambah rasa percaya dan saling menyayangi untuk melengkapi keharmonian rumah tangga anda berdua.
Terima perbezaan
Apabila anda mengambil keputusan untuk berkahwin, pasti ada sesuatu pada pasangan yang melengkapi diri dan hidup. Ada sesuatu yang tiada pada anda, dipunyai oleh pasangan. Semua itu adalah alasan jitu mengapa anda dan pasangan dipertemukan, lalu hidup bersama sebagai suami isteri. Pastinya, antara anda berdua mempunyai perbezaan namun jangan jadikan itu sebagai satu bebanan atau alasan untuk bertengkar.
Menyatukan perbezaan yang anda antara suami isteri memang tidak semudah umpama membalikkan tapak tangan. Namun, sekira keduanya dapat menghargai perbezaan yang wujud antara anda berdua, pasti perselisihan faham dapat diminimumkan.
Daripada perbezaan itu, kita boleh belajar apa yang suka dan tidak disukai oleh pasangan. Begitu juga sebaliknya. Kita akan menjadi lebih bijak di dalam menghadapi perbezaan itu dan seterusnya akan lebih menghargai antara satu sama lain.
Jangan libat orang lain
Sekiranya pertengkaran itu tidak terbendung lagi, jangan hamburkan kemarahan anda pada orang lain seperti orang tua anda atau anak-anak, kerana sekiranya anak-anak menjadi saksi pertengkaran orang tuanya, ia akan mempengaruhi perkembangan psikologinya.
Tambahan, sekiranya masalah rumah tangga anda melibatkan orang tua anda, pasti keadaan akan menjadi lebih rumit dan runcing. Seharusnya, masalah rumah tangga anda, selesaikan antara pasangan sahaja. Jangan babitkan orang tua anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anda Tergolong Dalam Golongan GIGI KUNING? Cuba TIPS Ni Untuk Dapat GIGI PUTIH

Senyuman menawan adalah senyuman yang diberi penuh keikhlasan. Namun, terdapat faktor penyumbang yang menjadikan senyuman itu sesuatu yang cukup bernilai iaitu keputihan gigi. Jangan kerana sayang duit, gigi kuning pun tak kisah. Tapi ada cara semula jadi yang anda boleh cuba. Nak tahu?
Sebagai wanita, kebersihan gigi perlu menjadi keutamaan. Mungkin para lelaki juga perlu menitikberatkan soal kebersihan gigi kerana saat komunikasi pasti menjadi lebih selesa dan menyenangkan. Sekiranya anda tergolong dalam orang-orang yang memiliki gigi kuning, tip ini diharap dapat menjadi penyelesaian.

Penyebab gigi kuning?
- Malas menggosok gigi atau cara menggosok gigi yang anda lakukan salah
- Tabiat minum kopi dan teh menyebabkan gigi menjadi kuning
- Bagi si perokok, efek nikotin membuat gigi menjadi kuning
- Pemakaian ubat titis mata secara berlebihan
- Sering mengambil minuman supplemen atau minuman penambah energi
- Memakai ubat pemutih gigi yang tidak sesuai

Bagaimana cara memutihkan gigi secara semua jadi, cepat dan mudah?
Merawat gigi ternyata tidak hanya dapat dilakukan dengan cara seperti menggosok gigi dengan menggunakan ubat gigi, tapi kita juga perlu mengelakkan tabiat buruk yang boleh menyebabkan gigi menjadi kuning. Selain itu anda juga dapat melakukan beberapa tips tradisional atau alami untuk memutihkan gigi :

- Memutihkan gigi dengan kayu sugi
- Rawat gigi dengan mengunakan kayu sugi. Kayub sugi adalah sejenis dahan atau akar pokok yang digunakan untuk membersihkan gigi, gusi dan mulut. Cara ini sudah lama digunakan oleh umat Islam terdahulu serta menjadi sunat yang dilakukan baginda Rasulallah SAW.
- Putihkan gigi dengan menggunakan arang
- Walaupun kedengaran agak pelik kerana arang berwarna hitam tetapi cara ini amat berkesan utnuk menghilangkan warna kuning pada gigi. Tetapi anda juga harus berhati-hati memakai arang kayu kerana jika digunakan secara berlebihan boleh merosakkan gigi dan menyebabkan gigi berasa sakit.
- Putihkan gigi dengan kulit limau
- Siapa sangka, kulit jeruk yang dibunag boleh berfungi sebagai pembersih gigi. Gunakan bahagian dalam kulit limau yang berwarna putih untuk menggosok gigi yang kuning. Lakukan secara teratur setiap hari dan gigi anda boleh kelihatan putih secara semula jadi. Hati-hati buat anda yang bergigi sensitif kerana kandungan vitamin C yang terkandung di dalamnya tidak sesuai untuk gigi anda.
- Putihkan gigi dengan strawberi
- Selain enak dimakan, strawberi juga berkhasiat untuk memutihkan gigi secara alami. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran seperti strawberi, epal dan saderi bermanfaat untuk memutihkan gigi. Anda tidak perlu membuat ramuan khusus, hanya makan buah-buahan ini selain untuk menjaga kesihatan.
- Putihkan gigi dengan ubat gigi dari bahan semula jadi
- Sediakan daun salam dan kulit limau kemudian jemur sehingga kering. Tumbuk sehingga halus dan tambahkan air. Adun sebati sehingga menjadi pes. Gunakan ubat gigi ini untuk menggosok gigi setiap hari atau berselang hari.
- Putihkan gigi dengan lemon dan garam
- Buatlah ubat gigi anda sendiri dari bahan semula jadi iaitu dari jus yang ditambah sedikit garam. Ubat gigi begini boleh membantu memutihkan gigi anda tetapi anda ditegah dari menggunakannya setiap hari kerana garam boleh menyebabkan lapisan gigi anda rosak.
- Putihkan gigi dengan soda bikarbonat
- Soda bikarbonat mampu menghilangkan noda-noda yang ada pada gigi namun jika ia sering digunakan, ia boleh merosakkan lapisan gigi . gunakan sebulan sekali. Caranya mudah, hanya sapukan soda bikarbonat ke seluruh permukaan gigi dan biarkan seketika selama 10 minit. Kemudian, gosok gigi menggunakan ubat gigi biasa.
- Putihkan gigi dengan berhenti merokok.
- Anda perlu ingat, semua rokok menyimpan tar dan campuran tembakau yang menjadikan gigi anda kuning. Apabila berhenti merokok, anda bukan sahaja boleh memelihara kebersihan gigi malah boleh menjamin kesihatan.
- Putihkan gigi dengan biji buah pinang
- Memutihkan gigi dengan kayu sugi
- Biji buah pinang bermanfaat untuk merawat gigi. Caranya, bakar biji buah pinang sehingga hangus. Gosok biji buah pinang pada gigi dengan menggunakan sabut pinang dua minggu sekali. Biji pinang juga boleh menguatkan gigi.
10. Putihkan gigi dengan pengambilan susu
– Beberapa produk susu yang berada di pasaran seperti keju dan yogurt mengandungi kalsium tinggi dan sangat baik untuk membantu memutihkan dan menguatkan gigi. Banyakkan makan makanan yang mengandungi kalsium tinggi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Risau Tinggal Anak Pada Pengasuh, Muhaini Mahmud Lepaskan Jawatan Besar Asal Hati Tenang

Dari syarikat korporat ke dunia penjagaan kanak-kanak, Muhaini Mahmud akhirnya menemui kerjaya yang diimpikan. Bersandarkan sifat keibuan yang tebal, wanita jelita berusia 43 tahun ini bangkit bersama rakan kongsi, Nadira Yusoff mengasaskan Kiddocare Sdn Bhd. Misi mereka jelas, mahu membantu menangani isu pengasuh di Malaysia dan menjana pendapatan wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Peramah dan menyenangkan. Begitulah personaliti Muhaini ketika pertemuan kami di program MySTEP di The Club, Bukit Utama. Tampil anggun dalam persalinan sut serba putih, Muhaini mesra menyapa penulis sambil menerangkan program latihan team Kiddocare yang sedang berlangsung waktu yang sama.
Kiddocare diasaskan dengan tujuan membantu ibu bapa yang bekerja untuk menjaga anak-anak di rumah menggunakan perkhidmatan pengasuh terlatih dan boleh dipercayai.
“Semuanya bermula apabila Nadira mendapat idea untuk mengasaskan Kiddocare. Secara kebetulan idea tercetus apabila beliau terlupa untuk mengambil anak dari taska kerana terlalu sibuk bekerja. Dia hanya menyedari perkara ini apabila guru taska menelefonnya pada lewat petang.
Saya pula seorang ibu tunggal kepada anak lelaki, Mateen Maliq yang baru berusia setahun waktu itu. Jadi saya sangat memahami keadaan ibu bekerja, terutamanya ibu tunggal yang sentiasa memikirkan anak-anak dan sama ada mereka dijaga dengan baik atau sebaliknya.
Iya, memang susah nak mengimbangi kerjaya dan komitmen dalam satu masa.


Ibu-ibu sebenarnya menghadapi cabaran dan tekanan yang besar apabila bekerja. Mereka mempunyai komitmen tambahan terhadap pekerjaan. Tetapi apabila berlaku sesuatu yang besar berkaitan keluarga, hendak atau tidak mereka terpaksa mengambil cuti sehingga menjejaskan tugas.
Jadi berdasarkan hal ini, timbul idea penubuhan Kiddocare untuk membantu ibu bapa mendapatkan pengasuh yang boleh dipercayai untuk anak-anak mereka sewaktu bekerja.
Selain itu, masa bekerja yang fleksibel dan peluang menjana pendapatan di Kiddocare mampu memperkasakan semula wanita daripada komuniti B40 untuk menyara keluarga.
Kami juga memberi peluang pendapatan kepada wanita yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 yang lepas. Ada banyak kisah kejayaan mengenai pengasuh kami dan bagaimana Kiddocare telah mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.” Muhaini
ILMU & LATIHAN
Bercerita isu pengasuh tanpa kelayakan yang banyak menjalankan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak, Muhaini pantas menekankan pentingnya ilmu dan latihan kepada bakal pengasuh Kiddocare.
“Kami selalu memberi latihan kepada mereka melalui kursus-kursus dan mengajar kemahiran asas seperti kursus penjagaan kanak-kanak, kursus CPR & Safety serta sebagainya. Malah dalam kerja asuhan mereka pun kami akan buat pemantauan dan penilaian berterusan.
Bukan itu saja. Kami juga akan sering berbincang tentang apa yang baik dan apa yang boleh diperbaiki.
Dengan ini dapat melengkapkan kemahiran mereka bukan sahaja sebagai pengasuh, malah sebagai seorang insan kerana semua kursus ini dikendalikan oleh pakar industri yang berwibawa dan berpengalaman.” Muhaini
Tonton temu bual Nona bersama Nadira Yusoff dan Muhaini Mahmud tentang aspirasi penubuhan Kiddocare untuk ibu bapa Malaysia ni…
Menyelami sejarah kerjaya Muhaini, wanita jelita asal Kuala Lumpur ini rupanya memiliki kelulusan tinggi dan pernah bertugas di syarikat korporat terkemuka Malaysia. “Saya memiliki ijazah dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Kemudian saya melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam Sains Aktuari di City University di London.
Kerjaya saya bermula dalam sektor korporat dan di sana saya berkhidmat kira-kira 14 tahun. Lebih lima tahun sebagai Perunding Aktuari di The Actuarial Partners dan lebih lapan tahun sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat di The Weststar Group. Saya banyak menimba pengalaman dan itulah yang membantu saya sehingga hari ini untuk menubuhkan Kiddocare.
Pada awal kerjaya saya ketika muda, memang menjadi kebiasaan apabila kita terbiasa mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada kerja supaya boleh mencapai standard hidup yang lebih baik dan maklum jugalah, sektor korporat ini memang penuh dengan cabaran, tekanan dan kerja yang tak habis-habis jadi saya mempunyai jadual kerja yang sangat sibuk dan padat ketika itu.”
****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
****************
KEIBUAN
Menjadikan masa bersama si kecil sebagai momen ‘me time’ dan cara menghilangkan stres, Muhaini kebiasaannya suka melancong atau bersantai di rumah dengan anakanda tersayang.
“Selain itu, saya suka melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, berbasikal, ‘personal training’ di gym dan bermain golf apabila kerana saya percaya senaman itu bukan sahaja penting untuk tubuh dan kesihatan kita, malah ia berfungsi sebagai penghilang stres. Bila saya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut, saya rasa seperti bebanan kerja dan hidup saya teralih sementara.”
Muhaini juga bijak mengagihkan tugas di Kiddocare di antara sesama rakan kongsi. Katanya, mereka akan melihat kepada minat, kecenderungan dan kemahiran masing-masing dalam bisnes.


Misalnya, jika ada sesi bersama pelabur, mungkin yang lebih mahir bercakap dan bersosial akan lebih ‘ke depan’ dan jika ada promosi yang perlu dilakukan melalui laman web atau media sosial pula, yang lebih mahir menulis atau mereka bentuk bahan promosi akan melakukan tugas ini.
“Tetapi apa pun tugas kami berdua, kami sentiasa membincangkan pelan tindakan kami dan kami juga akan saling memberi komen dan cadangan kepada satu sama lain. Di antara kami, ada banyak perbincangan, input dan komen yang diberikan dan kami sering menyelesaikannya bersama-sama.” Muhaini
Kini Kiddocare giat melakukan promosi untuk menarik para pelanggan seperti pakej harga murah, pemberian diskaun dan sebagainya.
Mengakhiri pertemuan, Muhaini turut berkongsi impian mereka.
“Kiddocare juga sering bergandingan dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta dan NGO untuk mencari hubungan kerjasama dan sinergi, dan dengan memaksimumkan pengaruh pihak-pihak ini, kami dapat berkembang dan menyebarkan konsep perniagaan kami kepada jaringan audiens yang lebih besar.
Setakat ini, khidmat asuhan kami meliputi bandar-bandar besar di Malaysia tetapi kami menyasarkan supaya khidmat Kiddocare boleh dicapai di mana-mana sahaja di Malaysia. Itulah yang kami ingin usahakan.

Dalam pada itu, kami juga memasang niat untuk berkembang ke negara-negara jiran juga kerana konsep perniagaan kami yang unik ini saya rasa ada potensi untuk dimajukan sebagai suatu konsep yang boleh mengubah dan memodenkan industri jagaan kanak-kanak.
Seperti di Malaysia, saya yakin negara-negara jiran yang lain juga ada potensi yang besar untuk kami ke sana.
Selain meluaskan perniagaan, kami akan sentiasa mencari peluang untuk menambah baik lagi model perniagaan semasa kami supaya tidak ketinggalan dan dapat memenuhi kehendak pelanggan kami yang sedia ada dan juga menarik lebih ramai lagi pelanggan yang baharu.” Muhaini
Penulis: Norzalina Mohd Alias
Foto: Nor Yanti Shaharudin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


