
Vie Shantie Rai Anniversary
Diam tak diam, usia perkahwinan usahawan Vie Shantie Khan dan suami tercinta, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan hampir menjangkau usia 10 tahun. Tanggal 11 November pastinya menjadi detik terindah dan bermakna bagi pengasas jenama muslimah V Hijrah ini apabila dia kembali bertemu jodoh selepas perkahwinan terdahulu berakhir dengan perpisahan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Vie Shantie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Black Stone mengimbau momen-momen istimewa saat bergelar suri hati Datuk Seri Panglima Abdul Rahman.
Dia tampil menawan dalam persalinan putih gading sedondon dengan suami tercinta ketika majlis pernikahan. Jelas terserlah wajah bahagia anak kelahiran Sabah ini di sisi suami tercinta.
Bersempena ulang tahun perkahwinan, ibu kepada empat cahaya mata ini menitipkan ucapan penghargaan buat Datuk Seri Abdul Rahman yang sentiasa menyokong dirinya sepanjang melayari hidup rumah tangga.
“Happy wedding anniversary, my love. Sudah hampir sedekad bersama, you’re so lucky to have me kan sayang?” seloroh jelitawan ini.
Ujarnya lagi, “Thank you for always loving me throughout everything. I’m truly blessed to have you too Baby.
Itu saja panjang ‘ucapannya’ tahun ini, kerna yang panjang-panjang suaminya udah selalu dengar. Iya kan encik suami.”
Hasil perkongsian hidup bersama ahli perniagaan dan politik, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, Vie Shantie dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Vie Raissa.
Terdahulu Vie Shantie pernah berkahwin dengan aktor Dato’ Sri Eizlan Yusof dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.
26 Julai lalu, suri hati Datuk Seri Panglima Abdul Rahman ini menginjak usia 39 tahun. Pada tahun 2023, syarikat Vie Shantie memperoleh kontrak perdagangan arang batu di antara Malaysia, Singapura dan China selama 15 tahun.
Bukan itu saja, dia juga berjaya menandatangani perjanjian persefahaman dengan salah sebuah syarikat perlombongan dan pembinaan terbesar di dunia. Siapa sangka, anak kelahiran Kampung Pulau Simpangan, Tuaran di Sabah ini mampu menakluk pasaran global.
Semoga segala impian dan perkahwinan usahawan wanita ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
This website uses cookies.