
Bonda Umirah Taib, Wanita Inspirasi!
Bonda Umirah Taib sememangnya seorang wanita hebat dan wajar dijadikan inspirasi! Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tujuh anak, dia juga merupakan pengusaha vila, penulis buku, penceramah motivasi dan kaunselor berdaftar. Serba boleh orangnya!
Terbaharu, pemilik nama Umirah Mohd Taib ini memuat naik gambar sambil memaparkan dirinya memegang perakuan kaunselor berdaftar, Lembaga Kaunselor.
Ujarnya, “Kaunselor berdaftar, at your service. Ilmu dan amanah ini akan diguna pakai untuk berkhidmat kepada ummah, menguatkan keluarga dan memeluk luka dengan hikmah.
Doakan langkah ini terus diberkati. Karya Bonda Publication dan By Bonda, semoga dua entity ini terus memberi manfaat.”
Hujung tahun lalu, Bonda Umirah melancarkan buku terbitan baharunya iaitu Seratus Surat Cinta Buat Isteri. Pada majlis pelancaran itu, dia turut ditemani suami tercinta dan kehadiran penceramah motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah.
Khabarnya dalam masa 24 jam sahaja, buku tulisan Bonda Umirah tersebut berjaya terjual sebanyak 2,500 naskhah.
Pencapaian insan hebat ini sering menjadi perhatian golongan wanita dan para ibu. Pada Mei 2025, Bonda Umirah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam bidang Terapi Keluarga dan Perkahwinan. Difahamkan Bonda Umirah menyertai Mastership Program Counselling and Guidance di Management and Science University (MSU).
Kisah kehidupan Bonda Umirah Taib yang mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun ketika sedang mengikuti pengajian di UNIKL Royal College of Medicine Perak (RCMP) Ipoh sarat dengan pengalaman dan pengajaran hidup.
Dia juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan di RCMP dan pernah berkhidmat sebagai doktor di Hospital Sungai Buloh.
Namun demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan anak-anak tersayang, dia nekad melepaskan kerjaya berkenaan.
Kini, Bonda Umirah mengusahakan syarikat ByBonda, pengusaha Villa Bonda dan terapi kekeluargaan.
Bukan itu saja, Bonda Umirah juga penulis buku ‘Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang’ yang mencatatkan jualan mencecah ribuan naskhah.
Bonda Umirah Taib berkahwin dengan suami tercinta iaitu Shakib yang juga usahawan pada 4 Disember 2010. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu Muhammad Mujahid, Maryam Lathifa, Maryam Azizah, Maryam Khadija, Maryam Fatimah, Muhammad Musthafa dan Maryam Sumayyah.
Semoga usaha murni yang diimpikan Umirah Taib berjaya direalisasikan dan kejayaan yang dikecapi saat ini memberi suntikan semangat serta inspirasi kepada masyarakat.
This website uses cookies.