
Di sebalik suara emas Iskandar Ismail yang kini mencuri perhatian di pentas Gegar Vaganza (GV12), berdiri seorang isteri luar biasa yang setia menjadi tulang belakang keluarga. Isteri Iskandar Ismail, Norazura Mohamad Ismail atau mesra disapa Nora, bukan sekadar isteri kepada seorang penyanyi, tetapi juga ibu kepada tiga cahaya mata, mahir dalam bidang baking dan kini sukses membina kerjaya sebagai Pengurus Acara di Singapura.
Berusia 39 tahun, Nora tenang berkongsi kisah peribadi dan perjalanan rumah tangganya dengan Iskandar Ismail. “Kami berkenalan sebagai kawan sekerja dan akhirnya mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2013. Sepanjang perkahwinan kami yang mencecah 13 tahun, saya tertarik dengan peribadi beliau yang tenang, ikhlas dan bertanggungjawab,” kongsi Nora membuka bicara.
Nama Iskandar Ismail atau Eiss semakin hangat diperkatakan apabila beliau diumumkan sebagai finalis GV12. Bakal berentap di pentas akhir tak lama lagi, beliau yang kini berusia 47 tahun merupakan anak kepada Allahyarham R. Ismail, legenda muzik Singapura yang terkenal dengan lagu ikonik ‘Gurindam Jiwa’.
Hampir 25 tahun hidup Iskandar Ismail dihabiskan sebagai penyanyi kelab malam. Namanya mula mendapat perhatian selepas menjuarai pertandingan realiti SG Mania pada tahun 2014 menerusi lagu ‘Dimanakan Ku Cari Ganti’ tribute untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Penyertaan Iskandar dalam GV12 menjadi simbol kebangkitan semula yang bermakna, bukan hanya buat dirinya, tetapi juga untuk keluarga yang setia menyokong dari belakang tabir.
Bagi isteri Iskandar Ismail, kejayaan ini bukan datang dengan mudah. Mereka sama-sama cekal melalui fasa jatuh bangun, pengorbanan masa dan kesabaran yang panjang.
Di Singapura, Nora menggalas tanggungjawab besar sebagai ibu kepada tiga anak perempuan. Izz’Maisyah Hazwani, 19 tahun, merupakan anak daripada perkahwinan pertama Iskandar, kini menetap di Bali bersama ibu kandungnya. Sementara Izzara Safiya, 9 tahun, dan Azzura Sofiya, 7 tahun, merupakan cahaya mata hasil perkongsian hidup Nora dengan Iskandar.
Dalam masa yang sama, beliau bekerja sebagai Pengurus Acara di Restoran Permata, selain mengusahakan perniagaan baking kecil, Viva Vanilla (@vivavanilla.sg), yang aktif terutamanya ketika musim perayaan dan tempahan khas.
Antara kepakaran Nora ialah pembuatan kuih tat, biskut dan kek yang terkenal dengan rasa premium serta sentuhan air tangan Melayu. Hasil air tangannya berjaya menambat hati peminat pencuci mulut di Singapura dan menjadi sumber pendapatan tambahan keluarga.
Fasa paling mencabar dalam perkahwinan mereka hadir ketika pandemik Covid-19 apabila punca rezeki Iskandar sebagai penyanyi terhenti secara mendadak. Seperti pasangan lain, mereka melalui saat kekurangan, tekanan emosi dan ketidaktentuan masa depan.
“Namun waktu itulah yang menguatkan kami. Iskandar sangat rajin dan tidak malu mencari rezeki. Macam-macam pekerjaan dia buat, daripada penghantar makanan, pelayan restoran, penghantar bunga hinggalah bekerja di McD demi kelangsungan hidup,” kongsi Nora dengan nada penuh syukur.
Sepanjang penglibatan Iskandar dalam GV12, Nora meneruskan kerjayanya di Singapura bersama anak-anak. Walaupun berjauhan, sokongan sebagai isteri tidak pernah terputus, sama ada melalui doa, kata-kata semangat atau kehadiran fizikal apabila diperlukan.
Setiap persembahan ditonton dengan perasaan bercampur baur antara sebak, gembira, takut dan bangga. Walau bagaimanapun, anak-anak menanggung rindu apabila Iskandar terpaksa melepaskan detik penting seperti majlis graduasi anak sulung dan hari pertama sekolah anak bongsu kerana komitmen persembahan setiap minggu.
Namun apabila melihat Iskandar mara ke final GV12, Nora mengakui rasa lega kerana segala pengorbanan mereka sekeluarga akhirnya menampakkan hasil.
“Sebelum pertandingan, dia akan video call saya dan minta kami semua mendoakan agar hatinya tenang di atas pentas. Sebagai isteri, saya juga tak putus-putus memanjatkan doa supaya dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Ditanya perasaannya jika suatu hari nanti perlu berpindah ke Malaysia demi kerjaya suami, Nora mengakui bersedia asalkan mereka sentiasa bersama sebagai sebuah keluarga.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/cheryl-samad-genetik-melayu-eurasian-portugis/
This website uses cookies.