Gaya Hidup

Insiden Tertukar RESIT BAYARAN Terbitkan Bibit-Bibit Cinta YTM MEGAT HASNOL & FARAH INTAN

Pertemuan yang tidak disengajakan gara-gara tertukar resit bayaran di sebuah restoran akhirnya membawa pasangan ini ke jenjang pelamin. Puteri Farah Intan Burhanudin kini sah bergelar suri hati kepada Yang Teramat Mulia Megat Hasnol Rizwa Dato’ Haji Zakuan Ariff pada 29 April 2017.

“Ketika pertemuan itu kami bersama rakan masing-masing makan malam di restoran itu. Suasana restoran sangat padat. Semasa di kaunter bayaran tiba-tiba berlaku insiden kami tertukar resit. Itulah kali pertama kami bertegur sapa dan bermulalah episod seterusnya.

Dua tahun menjalinkan hubungan serius, suami melamar saya ketika kami bercuti ke Istanbul bersama rakan-rakan sekitar Mei 2015. Lamaran dilakukan ketika makan malam di Skydeck Restaurant Galata Tower,” kongsi Farah Intan yang bertugas di PEMANDU Associate Sdn Bhd di bawah Jabatan Perdana Menteri.

MAJLIS

Sementara Megat pula sebagai Pengurus Pemasaran Kumpulan di syarikat pembangunan hartanah Bumiputera iaitu Kumpulan EMKAY.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 10 September 2016. Mereka bergelar tunangan selama lapan bulan dan bernikah pada 29 April 2017 dengan sekali lafaz. Farah Intan anggun dalam persalinan pernikahan rekaan Datuk Rizalman berkonsepkan trendy peplum dress

bersama lace corset bodice dan puffed sleeves. Seri pengantinnya terserlah dengan sentuhan solekan oleh Syed Faizal Noh.

Bertemakan flora pastel bersama rona putih, pink dan ros keemasan, Rekateemor berjaya merealisasikan impian perkahwinan raja sehari ini bagi majlis pernikahan.

Pada 6 Mei 2017 berlangsung majlis resepsi di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur berkonsepkan tradisional. Datuk Rizalman terus menjadi pilihan sementara solekan disempurnakan oleh Khir Khalid. Dekorasi pelamin bertemakan keemasan (moden dan tradisional) bersama elemen metallic gold paper flower

yang diilhamkan oleh Mahligai Creative.

Megat menerima sembilan dulang hantaran bertemakan flora dan pastel, manakala Farah Intan menerima tujuh dulang hantaran bertemakan rona perak. Pasangan ini memilih Greece, Morocco, Sepanyol dan United Kingdom sebagai destinasi bulan madu. Semoga pasangan secocok ini kekal bahagia selamanya melayari bahtera rumah tangga. AMY MOHD   

IKLAN
Share