Siapa sangka di sebalik kebahagiaan hidup yang dikecapi hari ini, rupa-rupanya Norman Hakim pernah melalui detik hitam hingga nekad mahu bunuh diri! Pengakuan mengejutkan itu didedahkan Norman sendiri ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan hos terbaharu Program Bual Bicara Mingguan Wanita sekitar Jun lalu.
Amat mengharapkan agar perkongsian ini mampu memberi iktibar dan pengajaran berguna kepada masyarakat… Norman sama sekali tidak kisah sisi peribadinya diketahui umum asalkan tiada lagi insan yang tersilap langkah melakukan perbuatan sama kelak. Mengimbas kembali memori sukar berkenaan, suami Memey Suhaiza ini menjelaskan hal tersebut berlaku 10 tahun lepas akibat kekhilafan diri hingga rumah tangga yang dibina gagal diselamatkan.
Dengan penuh rasa sayu, dia menyusun bicara. “Sejujurnya, 10 tahun lepas saya pernah buat keputusan untuk bunuh diri. Iya, orang menilai tentang betapa bahagianya kehidupan saya sekarang tapi mereka tak tahu bagaimana hidup saya suatu masa dulu. Kalaulah saya ‘padam’ masa tu…,” perbualan Norman bersama kami ketika itu tiba-tiba terhenti. Seolah-olah dia hilang kata-kata.
Mengenang betapa berdosa dan rasa bersalah yang menyelubungi diri hingga ke saat ini, dia kembali berbicara. “Masa tu tak fikir panjang. Kita ni pula tengah tertekan dan mudah terpengaruh. Dalam pukul 3 ke 4 pagi… tanpa fikir saya terus ambil paracetamol yang sepapan ada 10 biji tu. Saya hancurkan 10 biji pil tersebut dan minum dengan coke.
Lepas dah telan semua, saya menangis call mak ayah dan minta maaf dekat mereka dalam keadaan sedih dan tertekan. Saya tak sedar apa yang berlaku lepas tu dan tahu-tahu saja, saya terbangun pukul 8 pagi. Bermula dari saat terjaga pagi itulah yang menjadi turning point untuk saya berfikir semula kesilapan yang dah saya buat.
Kebetulan pagi tu cuaca sangat hening. Waktu tu saya hilang keluarga, saya bercerai, saya rindu anak-anak… macam-macam. Tapi itulah sebenarnya turning point yang membuatkan saya segera bangkit untuk hidup. Mungkin Allah panjangkan umur saya sebab Dia nak tunjuk yang kalau kita ada masalah, ada orang lain yang hadapi masalah lebih besar.
Ads
Start dari situ saya beli buku keagamaan berkaitan solat-solat sunat. Sebelum ni pun memang tahu tentang solat-solat sunat ni tapi tak pernah hendak pergi belajar secara mendalam. Lepas beli dan baca buku ini, saya buat dan cuba istiqamah. Saya ingat lagi masa tu dalam penghujung tahun 2008.
Salah seorang yang menyedari keadaan saya waktu itu ialah Datuk Dr Fadzilah Kamsah. Dia tepuk bahu saya dan cakap, “Norman, awak teruk ni.” Beliau jugalah yang meminta saya berjumpa dengan gurunya. Bulan 5 tahun 2009, saya pergi berjumpa dengan Ustaz Shahrom. Dari situ saya belajar satu persatu, saya istiqamah dan sebagainya. Saya juga mula jaga kesihatan dan fitness,” telusnya panjang lebar.
Ditanya resipi kebahagiaan yang diamalkan hingga berjaya satukan isteri tercinta, Memey Suhaiza dan bekas isteri, Abby Abadi… Norman berkata dia cuma kembali melaksanakan suruhanNya.
Ads
“Saya ambil iktibar atas kelemahan saya dalam rumah tangga dulu dan bersyukur kerana Allah pilih dan satukan kami. Walaupun bukan lagi sebagai suami isteri tapi saya, Memey dan Abby saling menyayangi satu sama lain. Ilaahi Taala.
Saya bahagia dapat isteri dan bekas isteri yang juga ibu kepada anak-anak yang saling menyayangi untuk sama-sama membesarkan mereka. Nak dapat apa yang dihajati ini bukan hanya amalkan dalam setahun dua dah boleh nampak hasilnya. Kena ambil masa dan istiqamah.
Ads
Contohnya bagi saya, saya akan bangun pagi bertahajud, berserah kepada Allah Taala dan paling penting sekali, kita buat solat sunat taubat. Minta ampun kepada Allah atas dosa yang telah kita buat selama ini sebab kita manusia tak lari dari khilaf. Keduanya lepas taubat, kita buat solat tahajud dan kita buat solat hajat untuk kita meminta kepadaNya.
Sebab memang dah sebut dalam hadis, waktu tahajud apabila minta kepada Allah Taala ibarat kita memanah dengan keadaan yang tepat. Jadi kita kena istiqamah. Pada saya, itu adalah terapi spiritual yang sangat membantu. Kita Islam, ini adalah cara kita. Inshaallah, setiap tindakan, perlakuan, perkataan yang keluar dari mulut kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah… Allah akan ‘kawal’ kita. Segala-galanya pada atas. InshaAllah, percaya dan perbaiki diri kita setiap tahun.
Dulu saya nak baca sepotong ayat pun rasa begitu berat. Tapi alhamdulillah, daripada sepotong ayat dapat baca hingga empat ayat, daripada hanya satu halaman sehari setiap pagi… sekarang dapat baca sampai empat halaman Al-Quran.
Jadi, dari apa yang saya dapat daripada bacaan Al-Quran itulah saya kongsikan kepada isteri dan kemudian dia akan turunkan kepada anak-anak pula. Kita kena istiqamah,” ungkap Norman. Sebelum akhiri perbualan, dia sempat berpesan perkongsian ini dibuat bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk sebaliknya sebagai pengajaran kepada semua terutama lelaki bergelar suami agar terus cuba memperbaiki diri demi isteri dan keluarga tersayang.
Kredit foto: Instagram Norman Hakim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaik Perdana Menteri mengumumkan barisan Jemaah Menteri Kabinet yang baharu semalam, dua nama Menteri ini antara yang paling trending dan menjadi bualan ramai.
Rata-rata rakyat menzahirkan rasa syukur dan teruja selepas mengetahui nama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Khairy Jamaluddin tersenarai sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing. Berdasarkan pemerhatian sejak semalam juga mendapati kedua-duanya insan hebat ini menjadi menteri ‘favourite’ dalam kalangan rakyat tidak kira dari golongan muda mahupun berusia.
DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Pada pukul 10 pagi tadi, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri selesai mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara (Senator) di Parlimen. Yang pasti, pelantikan beliau sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan calang-calang kerana Datuk Seri Dr Zulkifli memiliki pengetahuan yang luas dalam bidang pengajian Islam.
Beliau yang sebelum ini merupakan Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Universiti Islam Madinah, Arab Saudi; Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Syariah), Islamic Sciences & Arabic University, Jami’ Al-Sadat, Damascus, Syria dan bergelar Doktor Falsafah Syariah (Fatwa), dari Universiti Sains Malaysia.
Menelusuri kerjaya Datuk Seri Dr Zulkifli, beliau ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama dua tahun sejak 2006. Empat tahun kemudian, beliau menganggotai Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sembilan selama sedekad sejak tahun 2000. Pada tahun 2005 pula, Datuk Seri Dr Zulkifli juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Terengganu selama 9 tahun.
Pada tahun 2014, Datuk Seri Dr Zulkifli dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Menariknya, selain berpengetahuan luas dalam bidang pengajian Islam dan menjadi rujukan ramai, tokoh ilmuan ini juga telah menghasilkan lebih 300 buah buku. Ketika Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana
Menteri kelapan pada 1 Mac lalu, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli turut berada di Istana Negara untuk menyampaikan bacaan doa.
Dan kira-kira seminggu kemudian, beliau membuat kunjungan hormat ke pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyampaikan laporan perkembangan semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selain turut menghadiahkan koleksi buku-buku terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
YB KHAIRY JAMALUDDIN Menteri Sains, Teknologi & Inovasi
Populariti Yang Berhormat Khairy Jamaluddin mula bersinar sejak beliau menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Disifatkan seorang pemimpin yang memiliki peribadian
menarik dan mesra rakyat, Khairy sekali lagi diberi mandat memimpin kementerian. Namun kali ini, beliau ditugaskan sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Khairy yang kini berusia 44 tahun mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup berjaya. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi
dari University of Oxford. Dek kerana minatnya dalam bidang politik, Khairy turut menyambung pengajian peringkat Sarjana Undang-Undang & Teori Politik di University
College of London.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, suami kepada Nori Abdullah ini pernah menjadi hos porgram ‘Dateline Malaysia’ di NTV7 selama setahun pada 1998. Setahun kemudian, beliau menjadi penulis The Economist yang pada tahun sama turut menyaksikan beliau diterima berkhidmat sebagai Penolong Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Jawatan itu disandang Khairy selama empat tahun sebelum dilantik menjadi Timbalan Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari tahun 2003 hingga 2004.
Pada tahun 2004 hingga 2006 pula, Khairy dilantik sebagai Pengarah Penasihat Korporat ECM Libra Berhad dan menyandang Pengerusi Liga Super Malaysia Sdn Bhd pada tahun
berikutnya. Tahun 2007 menyaksikan detik permulaan kerjaya Khairy secara aktif dalam bidang sukan.
Selain menjadi Pengerusi Liga Super Malaysia, beliau turut dipilih sebagai Timbalan Presiden II, Persatuan Bola Sepak Malaysia selama tiga tahun. Setahun kemudian, beliau turut menjadi Ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan sebelum menjadi Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) selama setahun mulai 2012.
Khairy di samping bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi
Kemuncak kerjaya Khairy Jamaluddin ialah pada tahun 2013 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Belia & Sukan selama lima tahun bermula 2013 hingga 2018. Pembabitan Khairy dalam arena politik menyerlah apabila beliau menyertai parti UMNO pada tahun 1998. Bermula tahun 2001 hingga 2004, beliau menjadi Exco Pemuda dan tidak lama selepas itu dilantik Timbalan Ketua Pemuda dari tahun 2004 hingga 2009 dan Ketua Pemuda Bahagian Rembau dari tahun 2004 hingga 2013. Khairy seterusnya berjaya mendapat kepercayaan pucuk pimpinan parti apabila menjadi Ketua Pemuda selama sembilan tahun dari tahun 2009 hingga 2018.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiap kali 18 Februari tiba, Bunga Cinta Lestari (BCL) dan anak tersayang iaitu Noah pasti menziarahi pusara Allahyarham Ashraf Daniel Mohamed Sinclair. Aktor berkenaan kembali ke pangkuan Ilahi pada tanggal 18 Februari 2020 dan tahun ini masuk tahun kelima pemergiannya.
Bukan mudah bagi penyanyi terkenal Indonesia ini untuk menjalani hidup seharian. Meskipun BCL kini sudah pun berkahwin dan mempunyai suami Tiko Aryawardhana, namun kenangan bersama Allahyarham Ashraf Sinclair terpahat kemas di ingatannya sehingga kini.
BCL Ziarah Pusara Allahyarham Ashraf Sinclair
Berkongsi momen menziarah pusara Allahyarham baru-baru ini, BCL dilihat hadir berbaju kurung dan berselendang rona merah jambu. Turut menemaninya ialah Tiko, Noah dan kedua-dua ibu bapa BCL.
Daripada foto yang dimuat naik di media sosial, terpancar wajah penuh kerinduan BCL terhadap insan tercintanya itu. Malah kelihatan dia mengesat air mata usai menabur kuntuman bunga mawar merah dan air mawar di pusara Allahyarham Ashraf.
Kongsi BCL, “Five years have passed, but the ache of your absence remains. Life moves forward, yet we carry you in every moment, every prayer. So much has changed, but our love for you never will. You are missed beyond words, loved beyond measure, and remembered always.”
Masih Ingat Kenangan Bersama Allahyarham Ashraf Sinclair
Sepanjang pemergian Allahyarham Ashraf kira-kira lima tahun lalu, BCL tidak pernah sesekali melupakan tarikh-tarikh penting bersama, meskipun arwah sudah kembali ke rahmatullah namun figura ini tetap mengingati hari lahir dan ulang tahun perkahwinan mereka.
Pelantun lagu Wanita Terbahagia ini mendirikan rumah tangga bersama Ashraf Sinclair pada 9 November 2008. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Noah Sinclair yang kini menginjak usia 15 tahun.
Empat tahun hidup tanpa suami di sisi, BCL akhirnya mengambil keputusan untuk kembali berumah tangga dengan jejaka pilihan. Keputusan itu mendapat restu anaknya, Noah dan keluarga mentua di Malaysia. Pada 2 Disember 2023, penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) sah bergelar isteri kepada Tiko Aryawardhana yang dikhabarkan kenalan lama di Bali, Indonesia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai menghargai kejayaan membanggakan Abdul Latif Romly yang membawa pingat emas di Paralimpik Tokyo 2020, pihak kerajaan negeri Perlis berbesar hati menyampaikan insentif kepada atlet para berkenaan hari ini. Bertempat di Pejabat Menteri Besar Perlis, Latif dilihat menerima Insentif Kemenangan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bernilai RM150 ribu bagi acara Lompat Jauh T20.
Hadir dengan menyarung kemeja Olimpik Tokyo, Latif turut ditemani kedua-dua ibu bapa tersayang. Bapanya, Romly Mat dilihat mengenakan kemeja corak batik berwarna maroon sementara ibu tersayang pula Salmah Yatim menyarung jubah biru lengkap bertudung polos rona senada.
Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man dan beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negeri Perlis.
Menerusi perkongsian di laman media sosial Latif, atlet para berusia 24 tahun itu menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan kerajaan negeri kelahirannya. “Syukur alhamdulilah terima kasih kerajaan negeri Perlis memberi imbuhan kepada saya sempena kejayaan saya di Tokyo baru-baru ni.”
Kejayaan Latif pada 4 September lepas bukan hanya mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengucapkan tahniah atas pencapaian membanggakan tersebut di pentas dunia.
Seri Paduka berdua bertitah kejayaan Latif menjadi sumber inspirasi kepada rakyat dan atlet Malaysia untuk berusaha mencapai kejayaan sama ada di dalam negara mahupun peringkat antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa dan keluarga saya yang banyak mendoakan kejayaan saya. Tak lupa juga kepada coach Amri Suhaimi, Firdaus Salim yang banyak membantu persiapan saya sebelum ke Tokyo 2020.
Terima kasih juga kepada KBS, MSN, ISN, MPN serta sahabat-sahabat saya di atas bimbingan, usaha dan doa anda semua yang membantu saya untuk mendapatkan pingat emas dengan catatan 7.45m pada Kejohanan Paralimpik Tokyo kali ini.”
Abdul Latif Romly mengungguli acara Lompat Jauh T20 (kecacatan pembelajaran) di Paralimpik Tokyo 2020 dengan mencatat lompatan terbaik sejauh 7.45 meter. Dalam temasya sukan berprestij itu, Malaysia berjaya meraih tiga pingat emas menerusi acara angkat berat dari atlet Bonnie Bunyau Gustin, badminton dari atlet Cheah Leik Hou dan lompat jauh, Abdul Latif Romly.
Latif sebelum ini telah memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Paralimpik Tokyo 2020.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.