
Kejayaan menginspirasikan! Rohana Abdullah, penerima Biasiswa Anak Emas UTeM, kini bergelar graduan selepas menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-21 baru-baru ini.
Kisah Rohana pernah tular hampir empat tahun lalu apabila beliau dijaga oleh ibu angkat berlainan agama sejak berusia dua bulan.
Namun, perjalanan hidupnya tidak mudah kerana berdepan kesukaran mendapatkan taraf kerakyatan selepas ditinggalkan sejak kecil.
Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian ramai termasuk pujian kepada ibu angkatnya, Chee Hoi Lan yang kekal teguh memastikan Rohana dibesarkan dengan penuh kasih sayang tanpa mengubah agama asalnya.
Malah, ibu angkatnya itu pernah menerima Anugerah Ikon Ibu Sejati sempena Maulidur Rasul 2022.
Gadis berjiwa kental ini juga pernah bekerja sebagai pengajar tuisyen sebelum mendapat perhatian mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tampil membantu sehingga beliau berjaya memperoleh kewarganegaraan menerusi Surat Keputusan Kewarganegaraan.
Dengan keprihatinan pihak universiti di bawah kepimpinan Naib Canselor, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, Rohana telah ditawarkan tempat pengajian serta dipilih sebagai penerima pertama Biasiswa Anak Emas UTeM.
Biasiswa ini merangkumi pembiayaan penuh pengajian diploma serta bantuan wang saku sepanjang tempoh pengajian.
Program Biasiswa Anak Emas UTeM ini diwujudkan untuk membantu pelajar cemerlang daripada golongan kurang berkemampuan.
Ia merupakan inisiatif Yayasan Tun Canselor UTeM yang menyediakan tajaan penuh bagi meringankan beban pelajar agar mereka dapat belajar dengan lebih fokus dan mencapai kecemerlangan akademik.
Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menjelaskan, kejayaan Rohana membuktikan bahawa program ini membuahkan hasil selepas tiga tahun pelaksanaannya.
Beliau berkata, UTeM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi, tetapi juga sentiasa mendahulukan kebajikan pelajar.
“UTeM sentiasa cakna dan prihatin terhadap kebajikan pelajar agar mereka menikmati suasana pembelajaran yang kondusif sepanjang tempoh pengajian,” ujar beliau.
Sementara itu, Rohana menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana diberi peluang keemasan melalui Biasiswa Anak Emas UTeM sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88.
“Saya amat berterima kasih kepada UTeM, terutamanya kepada Tun Canselor dan Naib Canselor atas kepercayaan yang diberikan melalui program ini.
Tambah Rohana, program ini benar-benar membantu pelajar cemerlang yang berdepan kesukaran kewangan dengan memberikan bantuan kewangan, motivasi dan peluang terbaik untuk mencapai potensi diri sepenuhnya.
Kini, beliau meneruskan perjalanan akademiknya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) dengan kepujian di UTeM, sekali lagi membuktikan keberkesanan Biasiswa Anak Emas UTeM dalam melahirkan graduan berprestasi tinggi.
This website uses cookies.