Keikhlasan seorang wanita warga emas, Chee Hoi Lan, 83 tahun atau mesra digelar Laoshi yang sudi menjaga Rohana Abdullah yang beragama Islam sejak kecil membuatkan dirinya dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia.
Kredit Foto: Harian Metro
Biar berbeza budaya dan agama, Laoshi yang juga pesara guru tadika dengan rela hati tanpa berkira serta kasih sayang yang tinggi memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi bagai menatang minyak yang penuh. Laoshi juga sanggup menyediakan wang belanja untuk Rohana mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).
“Dua puluh dua tahun lalu, dia ditinggalkan di tadika kerana ibunya terpaksa pulang ke kampung halaman di Indonesia.
Ketika itu, usia Rohana Abdullah baru sahaja dua bulan namun kerana kemurnian hati seorang wanita berbangsa Cina, dia dijaga seperti anak sendiri sehinggalah sekarang.
Ads
Wanita itu, Chee Hoi Lan, 83, adalah guru tadika di mana ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan dan mengenangkan nasib bayi terbabit, dia mengambil keputusan menjaganya seperti anak sendiri.
Hoi Lan berkata, dia sedar isu perbezaan agama akan menjadi masalah dan kerana itu, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana, 22, menggunakan wangnya sendiri termasuk menghantarnya ke Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).
Selain itu, Rohana juga dipastikan belajar perkara asas mengenai Islam menerusi pengajian langsung di sekolah dan didikan daripada kenalannya.
“Saya sayangkan dia seperti anak sendiri. Sejak kecil, saya pastikan dia makan makanan halal dan melakukan ibadat sebagai seorang Muslim sehinggalah hari ini.
Ads
“Cuma sebelum saya mati, saya mahu lihat dia berkahwin, bekerjaya dan bahagia. Saya lega kerana selama hayat saya, saya pastikan dia terjaga sebagai seorang Muslim, dia akan kekal begitu sampai bila-bila,” katanya ketika membuat aduan mengenai Rohana yang tidak memiliki kewarganegaraan kepada Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim, kelmarin.
Hoi Lan yang tidak berkahwin berkata, selama ini Rohana tinggal bersamanya di sebuah kawasan perumahan di ibu negara dan sehingga hari ini, dia memastikan ‘anaknya’ itu meneruskan hidup sebagai seorang Muslim.
Laoshi terpilih menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Kisah pengorbanan Laoshi menjaga Rohana pernah viral suatu ketika dahulu sehingga ramai yang mengagumi tindakan warga emas itu menjaga keperluan Rohana dan memastikan anak angkatnya itu menerima segala yang diperlukan dalam mempelajari agama Islam.
Ads
Sementara itu, selebriti, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina dipilih antara penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan.
Tokoh korporat, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir diumumkan penerima Anugerah Perdana, manakala Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Datuk Dr Azizan Baharudin menerima anugerah bagi Ikon Sains dan Peradaban.
Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) TV3 dan TV9, Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam); Pengasas Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam) dan pakar kaunseling, Hushim Salleh (Ikon Kaunselor dan Motivasi).
(Sumber: FB Ipoh Ipoh Ajer Original & Harian Metro)
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebentar tadi baru berlangsungnya Pertunjukan Separuh Masa (Super Bowl Halftime Show) 2023 yang menyaksikan penyanyi terkenal dunia kelahiran Barbados, Rihanna membuat persembahan dengan menyanyikan lagu-lagu hits sepanjang masa selama 13 minit, antaranya Where Have You Been, Only Girl (In the World), We Found Love, Rude Boy, Work, Wild Thoughts, Pour It Up, All of the Lights, Run This Town dan Umbrella.
Tampil bertenaga dengan iringan penari latar yang nyata mengamatkan stadium State Farm di Glendale, Arizona, ini merupakan persembahan pertama kali selepas kali terakhir pada tahun 2016 dan juga selepas melahirkan pada melahirkan anak lelaki pada 13 Mei lepas bersama suami, A$AP Rocky.
Bagi mereka yang menyaksikan persembahan hebat penyanyi yang pernah muncul dalam filem Ocean’s Eight dan Battlefield ini pasti perasan yang perut Rihanna kelihatan sedikit buncit walaupun Rihanna memakai persalinan berona merah yang menutupi keseluruhan tubuhnya.
Namun, selepas ramai berspekulasi dan berteka teki rupa-rupanya Rihanna hamil kali kedua ketika membuat persembahan tersebut. Ini merupakan satu pencapaian yang hebat bagi Rihanna, membuat persembahan hebat walau pun sedang mengandung, nyata mengujakan para penonton yang menyaksikannya secara langsung walaupun tidak dinyatakan secara terperinci usia kandungan penyanyi hebat itu.
Kredit foto: Hollywood Reporter
Ini disahkan oleh wakil Rihanna menerusi sumber, Rihanna dan A$AP Rocky sentiasa mahukan keluarga yang besar. “Rihanna sangat suka menjadi seorang ibu dan ia adalah pencapaian terbesarnya dalam hidup. Dia dan A$AP sentiasa mahu membesarkan keluarga mereka dan mempunyai seorang lagi bayi bersama-sama,” kata sumber itu.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
*
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sebut sahaja disleksia, ramai yang sudah membayangkan reaksi seseorang membaca dan menulis secara terbalik. Secara saintifiknya, disleksia adalah gangguan kemampuan berkaitan membaca dan menulis yang menyebabkan individu terlibat tidak mampu melakukanya dengan baik.
Di Amerika Syarikat, dianggarkan 80 peratus daripada rakyatnya tidak mampu membaca dengan baik dan menderita disleksia. Meskipun ia berlaku dengan kerap dan meluas, gangguan disleksia bukan disebabkan perbezaan etnik, jantina mahupun taraf kehidupan. Ia boleh berlanjutan seumur hidup dan jika tidak diatasi boleh menjadi semakin parah.
Salah satu punca disleksia adalah keturunan. Kajian menunjukkan individu yang mempunyai sejarah disleksia berisiko lebih tinggi untuk mengalaminya. Ada ahli akademik menyatakan, pesakit disleksia tidak menggunakan bahagian otak kiri mereka untuk mengeja dan membaca sekali gus menghadapi kesukaran untuk menyambungkan sesuatu huruf membentuk perkataan dan sebagainya.
GEJALA YANG SERING DIALAMI PESAKIT DISLEKSIA
Kebanyakan mereka yang menderita disleksia terjadi ketika masih di usia muda. Antara gejala yang dikenal pasti adalah seperti berikut.
Mereka kreatif dan pandai
Sukar untuk membaca dan menulis
Petah berbicara
Memiliki tulisan yang buruk atau sukar dibaca
Bingung menulis dan membaca huruf, kata termasuk angka
Menghadapi masalah untuk membaca arah
Pendengaran yang lebih tajam
Khalayan yang kuat
Mempunyai masalah penglihatan
Mereka juga lazimnya mempunyai masalah dalam hubungan sosial kerana kurang rasa percaya pada diri dan depresi.
LANGKAH UNTUK TANGANI
Tiada rawatan atau teknik khusus untuk menyembuhkan pesakit disleksia. Sebagai alternatif, ibu bapa digalak untuk mendaftarkan kelas khusus untuk membantu mereka. Anak-anak yang menderita disleksia turut disarankan menemui ahli terapi bahasa dan membaca serta seorang psikolog-saraf. Paling penting, ibu bapa sentiasa memberi kata-kata semangat dan tidak berhenti mengajar mereka membaca, bertutur dan menulis dengan lebih baik setiap hari.
Antara selebriti wanita antarabangsa yang pernah mengalami masalah pembelajaran tetapi kini mencipta kejayaan dan dikenali ramai adalah Jennifer Aniston, Keira Knightley, Cher dan Salma Hayek.
Malah, Pengarah tersohor yang mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil kutipan filem Box Office seperti Transformers iaitu Steven Spielberg juga merupakan salah seorang penghidap penyakit ini. Begitu juga Tom Cruise dan Orlando Bloom.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jenama ‘Ezzati Amira’ kian mendapat tempat dihati penggemar fesyen tempatan. Rekaan segarnya memberikan nafas baru dalam pemakaian trendy harian serta pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap helaiannya tersendiri.
Pemilik jenama yang diungguli seorang wanita bernama Ezzati Amira Affandy atau mesra disapa sebagai Ezzati merupakan graduan jurusan rekaan fesyen dari Raffles Design Institute. Pengalaman hampir 10 tahun dalam industri fesyen membuktikan Ezzati mampu membina jenama dan empayarnya sendiri.
Ezzati memulakan kerjaya pertama sebagai pereka jenama ready-to-wear di syarikat high street fashion tempatan, Le Ann Maxima selama tiga tahun. Selepas itu, Ezzati memilih untuk bekerja sebagai jurujual di sebuah butik fesyen terletak di Publika.
Sejak kecil dunia fesyen sememangnya sudah sebati dengan wanita berusia 30an ini. Kerja-kerja home based seperti menjahit telah menjadi rutin bagi Ezzati sebelum tampil dengan jenama fesyennya sendiri iaitu ‘Ezzati Amira’ yang kian menjadi pilihan penggemar fesyen masa kini.
Pemilihan gabungan fabrik menjadikan setiap rekaan jenama ini cukup ekslusif dan tersendiri. Selain versatil jenama Ezzati Amira turut dikenali dengan signature cetakan atau motif yang menonjol. Menariknya lagi, dalam satu koleksi sang pemakai boleh menyuai padankan (mix & match) mengikut stail tersendiri.
PERMULAAN
“Tahun 2013 saya berhenti kerja untuk mencari pengalaman baru seterusnya melangkah ke satu tahap yang lebih baik. Dalam tempoh ini saya mencari jenama yang menghasilkan rekaan ready-to-wear namun ketika ini jumlahnya tidak ramai.
Lantas saya pun terfikir mengapa tidak untuk saya memulakan platform ini dan mencari kelainan. Trend rekaan pada masa itu ialah custom-made. Di Malaysia sebenarnya tidak ramai pereka fesyen wanita yang menghasilkan ready-to-wear. I really love designing ready-to-wear and I love to see people when they are wearing my brand.
Kedua ibu bapa menjadi tulang belakang paling kuat buat saya. Mereka juga mencadangkan saya untuk membuka jenama fesyen sendiri. Sejak itu semangat saya kian membara lalu saya teruskan kerja-kerja menjahit di rumah dan menghasilkan beberapa koleksi dalam skala kecil. Koleksi itu dikenali sebagai Spring/Summer 2013.
Kebetulan ketika itu pengaruh media sosial seperti Instagram baru menular di Malaysia. Maka saya ambil peluang dengan memuat naik gambar sample pieces. Tanpa diduga ia menjadi tular terutama di kalangan rakan-rakan but for me it is good. Saya mendapat banyak respon daripada pengikut di Instagram. Ramai juga yang bertanya di mana mereka boleh membelinya. Saya bersyukur kerana orang sudah mula nampak dan mahu membeli rekaan saya itu.
Kebetulan juga ketika itu Andrews Models bakal muncul dengan platform ready-to-wear untuk Kuala Lumpur Fashion Week. Mereka tertarik dengan rekaan saya dan memilih untuk berkolaborasi. I think that was the highlight of where I started the brand.
Ezzati Amira berkembang secara perlahan-lahan sehinggalah saya mula membuka studio pertama di Wisma Central berhampiran Kuala Lumpur City Centre. Pada tahun 2016 saya berpindah ke Jalan Maarof, Bangsar. Saya memilih rumah untuk dijadikan butik kerana ia lebih spacious, tenang dan memudahkan saya menyimpan stok dengan lebih tersusun.
NASIHAT
Nasihat saya buat mereka yang mempunyai impian untuk bergelar pereka fesyen atau yang masih baru dalam industri ini, usah overconfident. Saya sendiri sering bergaul dengan golongan lebih berusia, matang dan berpengalaman untuk melatih saya berkomunikasi dengan lebih baik seterusnya tahu menghormati orang lain. Ini juga dikatakan adab sesama manusia, hati perlu sentiasa bersih.
Seterusnya, minat adalah kunci utama sukses. Sabar dan jangan mudah putus asa. Percaya dengan kemampuan diri. Jangan jadi kaya dengan cara yang ‘licik’ dan busuk hati kerana ia jelas tidak ikhlas malah tidak halal. Dalam hidup ini sama ada menang atau kalah, tiada yang betul atau salah kerana ia subjektif. Hari ini mungkin kita di atas, esok lusa mungkin di bawah pula.
Ingat dari mana bermula. Sentiasalah merendah diri, tanamkan impian yang besar dan sentiasa dahagakan idea-idea baru. Tahu dan cari apa kelebihan yang dimiliki. Kerja keras untuk apa yang kita ingin capai,” akhiri Ezzati yang mengimpikan untuk menjalinkan lebih banyak kolaborasi dengan pelbagai pihak pada masa akan datang.
Kredit Foto: Instagram @ezzatiamira_
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Setiap anak pasti menjadikan ibu mereka sebagai sosok inspirasi dalam kehidupan. Tidak terkecuali, Lisdawati Nazaruddin yang mengagumi dan menghargai jasa ratu hati kesayangan hingga ke saat ini ...