Rasanya sudah lama kita tidak mendengar perkhabaran pelakon, pengacara dan penyanyi Anis Al Idrus yang cukup popular suatu ketika dahulu dengan drama Cuak serta lagu Mengapa. Entah kenapa selepas dirinya berkahwin, populariti Anis dilihat terus malap dan hilang dari radar dan lensa media.
Namun baru-baru ini, Anis mengejutkan semua pihak dan memaklumkan dirinya sudah bercerai dengan suami yang dikahwininya setahun lepas. Pendedahan tersebut nyata mengejutkan semua pihak apatah lagi tiada angin tiada ribut Anis mengumumkan diri sudah kembali solo.
Tanpa mendedahkan punca perpisahan menerusi hantaran di Instagramnya, Anis memohon doa yang baik-baik buat dirinya. “Kehidupan ini ada pasang surutnya dan saya bersyukur dengan jalan yang sudah Tuhan tentukan sehingga membawa diri saya untuk kembali solo.
“Saya percaya dengan suratan, qada dan qadar yang ditetapkan Tuhan. Saya juga sedar bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” tulis Anis yang juga merupakan graduan Management & Science University (MSU).
Ads
Ads
Terdahulu, Anis yang juga merupakan pengacara dan usahawan ini mendirikan rumah tangga dengan bekas suaminya pada 7 Julai 2017, yang merupakan eorang pereka dalaman, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim. Suaminya mempunyai anak dari perkahwinan terdahulu, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Menerusi tembual bersama Mstar, Anis turut mendedahkan yang buat masa ini dia kini fokus pada kerjaya seninya termasuk bidang lakonan dan pengacaraan.
Ads
Anis yang juga merupakan seorang pempengaruh kecantikan turut menyatakan populariti bukan lagi satu yang dikejarnya, kerana Anis sendiri sudah puas selepas menjejakkan diri dalam bidang seni sejak usia 15 tahun. NONA mendoakan semiga yang baik-baik saja buat Anis Al Idrus!
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bait-bait lagu Tan Sri P Ramlee menyergah petang yang damai, “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tiada berjiwa, hampa”. Ahh, rindu aku pada Zaleha, aku rindukan gelak tawanya, gurau sendanya, lebih-lebih lagi keletah manjanya. Masih aku ingat saat perkenalan kami di rumah terbuka seorang teman. Dia kelihatan begitu anggun berbaju kebaya merah, rambutnya yang diikat rapi menyerlahkan lagi wajah mulusnya. “Cantiknya dia ni.” getus hati kecil ku. Siapa sangka perkenalan kami di situ membawa aku ke mahligai cinta. Saat awal perkahwinan semuanya indah, namun satu perkara yang aku tidak pernah tahu tentang dia, kompetitif! Suka membanding-bandingkan. Lama aku bersabar dengan sikapnya yang tidak suka kalah dari segala segi, penampilan, gaya dan apa sahaja yang dilakukan. Kesabaran aku sampai ke kemuncak dan aku menangis saat jatuhnya talak! Allahuakbar!
Segala-galanya bermula Ramadan tahun lalu, satu bulan yang amat aku nanti-nantikan. Umat Islam menadah syukur kerana dipertemukan dengan bulan penuh keberkatan ini. Aku? Bukan bulan biasa, bulan ini memberi aku satu ujian yang maha besar. Tibanya Ramadan, Zaleha bukan sibuk menggandakan ibadah, puas aku mengajaknya ke masjid namun ditolak mentah-mentah. “Alah abang malaslah saya nak pergi masjid, abang pergilah seorang. Bukannya saya ada kawan pun kat masjid tu. Saya solat kat rumah je.” Ujar Zaleha.
Bak kata lirik, kerana sayang aku turutkan, itulah aku. Namun jika ada majlis di masjid, Zalehalah yang paling berkobar-kobar, namun bukan kerana ibadah, semuanya untuk menunjuk-nunjuk juadah yang disediakan, segala-galanya over the top. Dari baju ke persalinan sembahyang semuanya berlebih. Bila ditegur dia melenting. “Alah abang ni, saya pakai cantik-cantik buat makanan yang mahal-mahal nak hidang ni abang juga yang bangga, orang puji saya.” Rungut Zaleha. Sayang, tahukah engkau aku mahu engkau seperti isteri-isteri yang lain, bersederhana dari segala segi. Tahukah engkau ramai yang merungut dan meluat dengan sikap mu yang suka menunjuk-nunjuk?
Semakin hampir dengan Ramadan, satu perkhabaran buruk singgah di meja. Syarikat mengalami masalah kewangan dan perlu ditutup. Satu perkara yang tidak aku sangka akan terjadi sebelum tibanya hari lebaran. Pulang ke rumah, aku khabarkan perkara ini kepada Zaleha. “Sayang, I just lost my job, everybody in my company. Syarikat I akan ditutup.” Luah aku pada Zaleha, mengharap suntikan semangat darinya. “What? U kene berhenti? Habis tu macam mana? Ehh kita ada duit lagikan? Siapa nak beli barang-barang persiapan raya. U jangan buat hal. Tahun ni I nak buat rumah terbuka besar-besaran. I dah bagi tahu kawan-kawan I semua tau!” Tegas Zaleha.
Tersentak jantung mendengar kata-kata Zaleha, bukannya tiupan semangat yang aku peroleh, malah amaran pula yang aku terima. Aku menerangkan kepada Zaleha, jangan risau kerana masih punya simpanan, namun harus berjaga-jaga kerana sekarang aku menganggur dan bukan mudah untuk mencari pekerjaan pada zaman yang mana ekonomi tidak menentu.
Lebaran hampir tiba, Zaleha hampir setiap hari keluar mencari barangan untuk rumah terbuka. Dengan hiasan rumah baru, tempahan perabot baru. Aku bertanya, “Sayang, kenapa membazir sangat, kan masih elok semua barang-barang yang sedia ada?” Dia hanya menjawab “Abang, saya guna duit saya tau, nak harapkan abang tak merasalah saya nak buat rumah terbuka besar-besaran. Dah la tu, bila saya suruh keluarkan wang simpanan abang tak mahu. Jadi jangan ambil tahu mana saya dapat duit ini semua.” Ya, semestinya itu duit yang aku berikan setiap bulan sebagai duit poket mu.
Lebaran tahun ini di sambut meriah di kampung, tiba sahaja hari kedua, Zaleha tidak senang duduk. Dia mahu pulang cepat ke rumah bagi menyiapkan persiapan rumah terbuka impiannya. ‘’Sayang, I tak puas lagi beraya kat kampung,” ujar ku kepada Zaleha. “Eh abang ni, macam budak kecil, lain kali kita balik lah lagi.. Lagipun dah rimas dah saya kat kampung ni. Saya nak balik, nak siapkan segalanya untuk rumah terbuka kita,” bebel Zaleha.
Tiba hari rumah terbuka, khemah dipasang seperti kenduri. Zaleha menjemput rakan-rakannya yang terdiri daripada kalangan VIP. Memang segala-galanya sempurna, hidangan yang begitu panjang mengalahkan bufet di hotel. Hati sedikit hairan memikirkan bagaimana Zaleha boleh mengadakan majlis sebesar ini. “Banyak sangat ke duit yang aku berikan setiap bulan sampai boleh buat majlis besar seperti kenduri?” Zaleha begitu bangga mendabik dada, bermegah-megah dengan teman-temannya yang kagum dengan majlis yang diadakan.
Aku tahu, Zaleha mahu menunjuk kepada teman-temannya yang rata-rata anak-anak orang kenamaan. Usai majlis aku sekali lagi bertanya lembut kepada Zaleha, “Sayang boleh abang tanya? Banyak sangat ke duit yang sayang simpan sampai boleh buat rumah terbuka macam kenduri ni? Paling tak makan belanja dua puluh ribu ni.” Zaleha hanya menjawab ringkas, “Alah abang, abang tak tengok ke semua orang kagum dengan kita? Maruah kita juga yang jadi tinggi kan? Kalau saya ambil duit abang pun tak salahkan? Bukannya habis pun!” Aku hanya mendiamkan diri mendengar kata-kata sinis isteri ku itu.
Hujung bulan tiba, seperti biasa bil-bil mendatang dan aku terkejut melihat bil kad kredit yang melambung tinggi. Bulan lepas penggunaan mencecah 22 ribu ringgit!! Mata aku seakan berpinar dan terkejut, tidak pernah aku menggunakannya seperti itu. Lantas aku teringat kata-kata Zaleha. Aku seperti orang gila dan terus menyergah isteriku itu, “Leha, u guna kad kredit I untuk rumah terbuka?” Dia hanya menjawab selamba, “Eh, salah ke saya nak guna, sayakan isteri abang! Lagipun abang dah ada kerja kan.. Bayar je la!”
Saat itu tahap kesabaran telah meninggi dan dengan lancarnya mulut ini berkata “ Zaleha binti Zaidi, aku ceraikan engkau dengan talak satu!” Saat itu wajah Zaleha berubah dan dia terjelepok ke lantai seperti orang meroyan. “Abang gila ke ceraikan saya, mana saya nak pergi. Saya sayangkan abang!!”
Sayang-sayang buah kepayang, tidak akan aku makan Zaleha. Aku berlalu pergi meninggalkan rumah demi mencari kedamaian. Kini lebaran tiba lagi, dan aku pasti teringat peristiwa itu. Dengarnya Zaleha ligat mencari kekasih baru, tetapi sayang semuanya tidak setia padanya. Selamat tinggal Zaleha, semoga Allah memelihara kesejahteraan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tumpang bahagia tengok kehidupan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di samping isteri tercinta. Tak dinafikan, sejuk mata memandang suri hati Ustaz Don iaitu Dr Husna Zahry.
Bersandarkan penampilan Muslimah sejati dan memiliki rupa paras cantik, wanita kesayangan Ustaz Don ini juga bukan calang-calang. Dr Husna Mohd Zahry merupakan seorang wanita berpendidikan tinggi dan berkhidmat sebagai doktor perubatan.
Melihat peribadi Dr Husna Zahry jelas terserlah sisi positif ibu kepada empat orang anak berkenaan. Setia menemani suami tercinta, kelibat Dr Husna di sisi Ustaz Don pastinya mencuri perhatian khalayak.
Ditambah pula dengan keperibadiannya yang mesra dan tidak lokek senyuman. 20 Januari, Dr Husna menginjak usia 38 tahun. Berkongsi aktiviti di media sosial, personaliti ini aktif menyertai podcast Ibu Insight yang membincangkan topik berkaitan ilmu keibubapaan.
Selain itu, pada hujung Disember lalu Dr Husna turut menemani Ustaz Don merasmikan Preschool & Playschool KinderHive di Cyber South. Difahamkan Ustaz Don Daniyal ialah Pengasas Bersama, Penasihat Akademik Islamik KinderHive.
23 Ogos lalu, pasangan ini menyambut ulang tahun perkahwinan ke-13. Menariknya, mereka berkongsi tarikh perkahwinan dengan ibu bapa Ustaz Don.
Bersempena hari istimewa itu, pengusaha restoran Smoked Kingdom by Don Daniyal ini menitipkan ucapan bermakna khusus buat suri hati kesayangan.
“Pertama kali kita bersua, menatap mata di tengah gala harian manusia. Suatu kesempatan yang aku suka. Terima Kasih Maha Esa. Dari situ aku sudah tahu kamu adalah Bidadariku yang dianugerahkan Sang Pencipta untuk mendiami pertiwi sunyiku.
“Sayang, apakah kamu sakit, ketika jatuh dari syurga turun ke bumi?” Kerana kau umpama Bidadari.
Kamu Permaisuri Damping. Tiada dua, bertahta mulia. Ya Tuhan, berkahi hidupnya, lindunginya, sayangi dia Paramesvari Pertiwi Sunyiku.”
Dr Husna Zahry sah bergelar isteri kepada Ustaz Don Daniyal pada 23 Ogos 2012.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang comel dan bijak iaitu Don Mustofa, Don Ibrohim, Don Sulaiman dan Don Yunus.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengumuman lelaki idaman Jepun yang juga ahli politik muda di sana mengenai berita perkahwinannya mencetus perbualan hangat di media sosial. Shinjiro Koizumi… ahli politik dari Parti Demokrat Liberal yang memerintah dan anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi membuat pengumuman gembira tersebut di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Dalam pengumuman berkenaan, Shinjiro yang empat tahun lebih muda berbanding bakal isterinya turut memaklumkan akan menjadi bapa tidak lama lagi. Shinjiro dilapor bakal mengahwini Christel Takigawa, personaliti televisyen berdarah Perancis-Jepun yang juga
dikenali sebagai wajah kejayaan bidaan Tokyo menjadi hos Olimpik 2020.
Shinjiro mendedahkan dia dan kekasihnya mula bercinta sejak dua tahun lalu sekitar 2018. Christel yang kini hamil dan meniti usia 42 tahun Oktober ini berkata perkenalan mereka berdua sebagai kawan sudah terjalin sejak beberapa tahun lepas sebelum hubungan kedua-duanya menerbitkan bibit-bibit cinta.
Kongsi Shinjiro, “Apabila bersamanya, saya boleh lupakan zon pertempuran politik, meninggalkan perisai, menjatuhkan senjata dan bertenang. Saya menjadi diri sendiri, ini benar-benar membantu saya.” Bagaimana pun dia tidak memberi sebarang petunjuk mengenai tarikh perkahwinan sebaliknya menyatakan Christel dijangka bersalin pada awal tahun depan.
Mengintai latar belakang Shinjiro, jejaka kacak ini mewarisi bakat politik bapanya yang pernah menjadi Perdana Menteri Jepun dari 2001 hingga 2006. Berdasarkan kaji selidik Asahi Newspaper Daily pada bulan Mei, Shinjiro meraih undian tertinggi sebagai pengganti
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe… mengalahkan enam calon berkaliber lain dengan 32 peratus undian adalah dari kaum wanita.
Meneliti latar belakang Christel pula, wanita bertuah ini dilahirkan di Paris dan mewarisi darah kacukan Perancis dari bapanya serta telah berkhidmat sebagai penyampai berita di Jepun untuk sekian lama. Dia mula dikenali selepas berbicara mengenai layanan tradisi Jepun, ‘omotenashi’ secara terbuka dalam usaha Tokyo membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan terulung itu.
Yang pasti, pengumuman ini menjadi topik paling hangat di Twitter Jepun ketika ini dengan rata-rata masyarakat di sana teruja dan terkejut mengetahui perkhabaran ahli politik muda paling menjadi idaman tersebut bakal menamatkan zaman solo.
Sumber: South China Morning Post
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.