Ketagih Makan Cupcakes Gara-Gara WONDERMILK. Apa Istimewanya Kafe Comel Ini?

Sebut sahaja Wondermilk, pasti ramai yang menggambarkan kemanisan kek cawannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, Wondermilk pernah mencetuskan fenomena kek cawan di Lembah Klang dan melabelkan produknya sebagai Cuppacakes.

Oleh sebab sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Wondermilk membuka sebuah kafe moden pertamanya di Damansara Uptown yang dikenali sebagai Wondermilk Café. Selepas hampir 17 tahun, kini Wondermilk memiliki tiga cawangan kafe iaitu di Publika, Citta Mall dan IOI Mall.

Di samping memiliki lebih 10 perisa kek cawan, pelanggan turut berpeluang menghasilkan sendiri kek cawan mereka mengikut kreativiti. Menarik bukan?

So lepas ini, ibu bapa atau suami isteri boleh ambil peluang untuk tunjukkan rasa kasih terhadap orang tersayang bila singgah ke mana-mana cawangan Wondermilk ya.

Setiap kek cawan yang ada di sini juga dijual dengan harga berpatutan. Yang pasti, anda tidak akan berasa rugi menikmati kek-kek tersebut kerana ia diperbuat daripada produk tenusu berkualiti dan dijamin halal.

Biarpun tarikan utama di kafe ini adalah kek cawan, namun Wondermilk sebenarnya turut menyediakan aneka pilihan makanan lain termasuk sandwic, burger, salad dan pasta.

Pelanggan yang inginkan sesuatu yang manis pula boleh mencuba seleksi kek Oh Lola Cakes, La Belle Lola Buttercream

dan Lola Figurines. Tidak cukup dengan itu, ditawarkan juga cake in jar dan biskut dengan harga di antara RM15 ke RM30.

Mengintai menu minumannya pula terdapat pelbagai variasi yang dijual di sini. Daripada hidangan kopi dan teh panas mahupun sejuk sehingga jus segar Blackcurrant, Lemon Crush dan Minty Lime Chiller.

Antara sajian kegemaran ramai di kafe ini ialah kek cawan Foxy Red Velvet, Bing Bong Burger, King Aglio Olio pasta dan biskut Salted Caramel Dark Chocolate.

Sambil-sambil menjamu selera di hujung minggu nanti boleh bawa anak-anak ke Wondermilk Publika. Pemilihan palet-palet kayu yang disusun untuk menggantikan dinding kafe dan diserikan dengan perhiasan minimalis menghidupkan suasana.

Ditambah pula perabot dan aksesori hiasan yang diatur kemas menyerlahkan lagi gaya moden yang ingin diketengahkan.

Pembahagian ruang mainan kanak-kanak yang disediakan di kafe ini juga nyata memberi kelegaan kepada ibu bapa untuk menikmati setiap hidangan. Anda bukan hanya dapat berehat dan menghirup minuman segar di sini malah dapat mengisi masa terluang bersama anak-anak.

Buat pelanggan yang gemar mengunjungi kafe moden dan merasai sajian ringan yang menyelerakan, Wondermilk adalah destinasi yang harus anda lawati. Suziana Abu Daud

IKLAN
Share