
Anak Reda Pemergian Allahyarham Cik Man
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT dan sudah pun tertulis di Luh Mahfuz. Industri seni tanah air pada 5 Ogos lalu kehilangan seorang bintang berbakat besar dikenali sebagai Cik Man yang telah lama mewarnai dunia hiburan sejak 40 tahun lepas.
Pemergian Cik Man atau nama penuhnya Kamarozaman Yusoff nyata mengejutkan penggiat seni negara terutama dalam kalangan peminat. Apatah lagi, Allahyarham masih aktif memenuhi undangan seni dan tiada masalah kesihatan serius yang dilaporkan mengenainya kebelakangan ini.
Namun takdir Tuhan, Cik Man dijemput ke pangkuan ilahi pada usia 68 tahun selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah, Kelantan. Berita pemergian Allahyarham disahkan anak keduanya iaitu Fakhrol Aliff.
Jenazah Allahyarham Cik Man selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lama, Tanah Merah, Kelantan pada 6 Ogos.
Usai upacara pengebumian, anak sulung Allahyarham iaitu Nurul Najihah menerusi media sosial miliknya menzahirkan rasa syukur segala urusan berjalan dengan baik dan berterima kasih kepada mereka yang mendoakan serta membantu arwah bapa tersayang selama ini.
Titipnya, “Alhamdulillah selesai sudah urusan abah di dunia. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Terima kaish kepada semua ahli keluarga, sahabat-sahabat dan juga peminat abah yang mendoakan abah. Terima kasih juga yang mana banyak membantu kami sekeluarga dari hospital sampailah ke kubur.
Saya mewakili abah memohon maaf sekiranya arwah ada tersilap kata terkasar bahasa. Akhir kata, kita jumpa di syurga.”
Sebelum ini, Allahyarham yang terkenal menerusi watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja dilaporkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.
Menurut satu-satunya anak lelaki arwah iaitu Fakhrol, bapanya sempat mengadu sakit perut beberapa hari sebelum ditidurkan.
Allahyarham Cik Man turut meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. Pelakon lelaki veteran berkenaan pernah membintangi filem Rock Oo! dan terkenal dengan trademark tersendiri.
Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Allahyarham Kamarozaman Yusoff, dilapangkan kubur dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh.
Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham dan semoga kuat mendepani ujian ini.
This website uses cookies.